Perjalanan Kisah Israk Mikraj, Peristiwa Yang Punya Banyak Hikmah

Salah satu dari sirah terbesar yang perlu diketahui oleh umat Islam adalah kisah israk mikraj. Mungkin ramai yang pernah dengar dengan kisah ini tetapi tidak ramai yang masih ingat dan memahami secara mendalam tentang kronologi atau peristiwa penting yang berlaku semasa ia terjadi.

Artikel pada kali ini, kami terpanggil untuk berkongsi mengenai rentetan secara ringkas tetapi padat mengenainya untuk dijadikan pengajaran kepada semua.

Apa itu kisah israk mikraj Nabi Muhammad

Nabi Muhammad SAW adalah Nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah untuk menerangi hidup seluruh umat manusia. Kisah israk mikraj ini akan membawa anda mengenal salah satu dari tanda keagungan dan kebesaran Nya yang berlaku dalam satu malam sahaja.

Dua perkataan yang memberi makna dalam peristiwa ini adalah israk dan mikraj.

Israk membawa maksud perjalanan Rasulullah SAW dibawa oleh Malaikat Jibrail AS dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Al-Aqsa di Palestin dengan menunggang Buraq.

Mikraj pula adalah perjalanan Nabi merentas tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha dan ke Mustawa.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Israk, ayat 282:

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Peristiwa ini berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab iaitu kira-kira 18 bulan sebelum hijrah.

Peristiwa sebelum kisah israk mikraj

Sebelum israk mikraj berlaku, Nabi Muhammad SAW telah dibelah dadanya oleh Malaikat Jibrail AS.

Hati baginda dicuci dengan air zam zam sebanyak 3 kali sebagai persediaan untuk memikul amanah besar dalam Islam. Jiwa baginda dibersihkan dari kekotoran dosa.

Peristiwa semasa israk

Nabi Muhammad SAW telah dibawa oleh Malaikat Jibrail AS dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan menunggang Buraq. Apabila dalam perjalanan, baginda sampai ke tempat-tempat tertentu, Jibrail telah mengarahkan Rasulullah untuk bersembahyang dua rakaat.

Tempat yang dimaksudkan itu adalah seperti:

  • Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
  • Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah.
  • Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa AS dilahirkan).

Sepanjang perjalanan, banyak peristiwa ganjil yang dilihat baginda. Kemudian, baginda tiba di Masjid Al-Aqsa dan mengimamkan solat dua rakaat dengan para anbia dan mursalin menjadi makmum.

Selepas solat, Rasulullah dihidangkan dengan dua jenis air. Satu, arak. Dua, susu. Jibril bagi air-air ini kepada Rasulullah. Lantas, Rasulullah memilih susu.

Jibril berkata, “Engkau telah memilih fitrah.” (Ada riwayat berkata tiga air, air ketiga itu air biasa dan riwayat lain kata air yang dicampurkan dengan madu).

Peristiwa semasa mikraj

Titik permulaan mikraj berlaku daripada Masjid Al-Aqsa, di mana Rasulullah SAW telah diangkat ke langit menaiki tangga daripada syurga.

Rasulullah SAW bersama Malaikat Jibril AS naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Dari langit pertama hingga ke sepuluh, baginda naik dan setiap itu juga dapat bertemu dengan para Nabi dan melalui peristiwa yang luar biasa.

Rasulullah naik ke Mustawa. Mustawa ini mikraj Rasulullah yang ke sembilan. Di sinilah Rasulullah menerima syariat solat 5 waktu.

Dan lalu baginda turun untuk balik ke Mekah dengan menunggang Buraq. Peristiwa israk dan mikraj ini hanya berlaku dalam satu malam sahaja.

Apa yang berlaku selepas israk mikraj?

Selepas kisah israk mikraj, maka bermulalah perintah Allah SWT yang mewajibkan umat Islam untuk mendirikan solat 5 waktu sehari semalam.

Manakala ibadah-ibadah lain seperti puasa, zakat, dan haji hanya difardhukan ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah selepas berlakunya peristiwa ini.

Sesungguhnya peristiwa israk dan mikraj ini adalah mukjizat yang sangat besar diberikan kepada Nabi Muhammad SAW.

Di antara sifat orang yang beriman adalah mengakui dan mempercayai perkara-perkara yang ghaib seperti mana firman Nya:

ٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِٱلْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ يُنفِقُونَ

Maksudnya : “Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” – (Surah Al-Baqarah, ayat 3)

Lantaran itu, sebagai umat Islam kita mestilah percaya dan yakin akan kekuasaan Allah dan kebenaran Rasulullah SAW.

Asas penting israk dan mikraj ada tiga yang melibatkan akidah, syariat, dan akhlak. Pertama, pengakuan kepada kebenaran ajaran Islam yang sebenar yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Kedua, dari segi akidah. Kita boleh lihat bagaimana seorang sahabat seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq boleh mempertahankan akidahnya melalalui kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Ketiga, dari segi akhlak yang ditonjolkan oleh khalifah Islam yang pertama apabila beliau menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Peristiwa ini menjadi “ubat” dengan janji-janji Allah kepada mereka yang sentiasa sabar dan redha ketika ditimpakan kesedihan kepada mereka.

Sumber:

  1. Kisah Israk & Mikraj Nabi Muhammad SAW.  Imam As-Sayuti Ibnu Hajar Al-Asqalani. Penerbit Al-Hidayah
  2. Tashih Al-Mafahim #17: Kisah Israk dan Mi’Raj Palsu Kerana Menzahirkan Kelemahan Nabi SAW. Mufti Wilayah Persekutuan
  3. Kisah Israk & Mikraj Berdasarkan Riwayat Al-Bukhari & Muslim. Ustaz Ahmad Adnan Fadzil. Penerbit Telaga Biru
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.