Sejarah Masjid Al-Aqsa Yang Ramai Orang Tak Tahu
Sejarah Masjid Al-Aqsa melalui perjalanan yang panjang bermula dari zaman Nabi terdahulu sehinggalah ke hari ini.
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan sejarah Masjid Al-Aqsa dan kelebihan yang ada padanya sehingga ia menjadi salah satu tempat istimewa umat Islam dan dipertahankan kesuciannya sampai sekarang.
Baca juga:
Sejarah Masjid Al-Aqsa
Sejarah Masjid Al-Aqsa melalui pengembaraan sejarah yang sangat panjang. Apatah lagi masjid ini pernah menjadi kiblat pertama umat Islam suatu ketika dahulu sebelum adanya Mekah.
Bagi umat Islam, Al-Aqsa menjadi saksi sejarah penting atas perjalanan Isra Mikraj Nabi Muhammad SAW mendapat wahyu Allah SWT.
Bukan itu sahaja, sejarah Masjid Al-Aqsa ini juga dipercayai menjadi rumah bagi ramai Nabi dan pusat dakwah tauhid sepanjang sejarah.
Dalil berkenaan Masjid Al-Aqsa
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Isra, ayat 1 yang bermaksud:
سُبْحٰنَ الَّذِيْٓ اَسْرٰى بِعَبْدِهٖ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ اِلَى الْمَسْجِدِ الْاَقْصَا الَّذِيْ بٰرَكْنَا حَوْلَهٗ لِنُرِيَهٗ مِنْ اٰيٰتِنَاۗ اِنَّهٗ هُوَ السَّمِيْعُ الْبَصِيْرُ
Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Kemudian, Abu Sa’id Al-Khudri meriwayatkan, Nabi SAW bersabda:
Tidak boleh bermusafir melainkan menuju ke tiga buah masjid. Masjid Al-Haram (Makkah), Masjid al-Aqsa dan masjid saya ini (Masjid Nabawi).” (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zar RA. Beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Wahai Rasulullah, masjid apa yang paling awal dibina? Baginda menjawab Masjidil Haram. Abu Zar bertanya lagi: Kemudian masjid apa? Baginda menjawab: Masjid al-Aqsa. Saya (Abu Zar) bertanya lagi:
Berapakah tempoh binaan antara kedua masjid tersebut? Baginda menjawab: 40 tahun. Sesiapa yang berada di mana-mana tempat tersebut, tunaikan solat di situ. Ini kerana ada kelebihan di tempat tersebut.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Maidah, ayat 21 yang bermaksud:
“(Nabi Musa berkata lagi): Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat).”
Pintu-pintu Masjid Al-Aqsa
1. Pintu Al-Asbat
Pintu ini terletak di sebelah utara paling kiri Masjid Al-Aqsa. Ia telah diperbaharui pada masa pemerintahan Ayyubiyah pada tahun 610 Hijriah.
Pintu ini diperbaharui lagi ketika kerja-kerja baik pulih lorong utara. Pada penjuru pintu di bahagian dalam terdapat tangga yang terhubung terus ke lorong utara.
2. Pintu Hittah (Remission Gate)
Pintu ini terletak di antara pintu kuno masjid yang terletak di sebelah utara, di lorong utara.
Kedudukannya di antara Madrasah al-Karimiyah dan Madrasah at-Turbah al-Auhadiyah.
Ia diperbaharui pada masa pemerintahan Ayyubiyah tahun 617 Hijriah ketika al-Malik alMu’adzam Isa berkuasa.
3. Pintu Al-Atam (King Faisal’s Gate)
Pintu ini berada terletak Pintu Hittah dan Pintu Ghawanimah di sebelah utara Masjid al-Aqsa.
Nama lain bagi Pintu Al-Attam adalah Pintu Raja Faisal, Pintu ad-Duwaidariyah, dan Pintu Syaraf al-Anbiya.
Pintu ini diperbaharui pada masa pemerintahan alMalik al-Mu’adzam bin al-Malik al-Adil Abu Bakar bin Ayyub dari kesultanan Ayyubiyah pada tahun 610 Hijriah.
4. Pintu Al-Gawanimah (Gate of The Bani Ghanim)
Pintu Al-Ghawanimah merupakan pintu pertama di lorong barat. Ia terletak di sebelah timur laut dari Masjid Al-Aqsa.
Pintu ini dibina pada masa Umawiyah, dan dikenali juga dengan sebutan pintu al-Walid. Pintu ini agak kecil, bentuknya persegi panjang.
Untuk memasuki pintu ini, seseorang perlu menaiki lapan anak tangga. Di atasnya terdapat rumah penduduk.
5. Pintu An-Nazir (Al-Nazir Gate)
Pintu An-Nazir juga disebut sebagai Pintu al-Habs, yang bermaksud penjara. Dinamakan
dengan Pintu al-Habs kerana ia terletak dekat dengan penjara pada masa kesultanan
Uthmaniah.
Nama lainnya adalah Pintu al-Majlis. Pintu ini terletak di sebelah barat Masjid Al-Aqsa. Ia telah diperbaharui pada masa pemerintahan Ayyubiyah pada tahun 600 Hijriah.
6. Pintu Al-Hadid (Iron Gate)
Pintu Al-Hadid terletak di sebelah barat Masjid Al-Aqsa. Pintu ini adalah salah satu daripada beberapa pintu yang merupakan cabang dari Jalan Bab al-‘Amud, iaitu salah satu jalan masuk tembok Al-Quds.
Ia dinamakan juga sebagai Pintu Argun kerana diperbaharui pada
masa Amir Argun, yang wafat tahun 758 Hijriah.
Jauh di atas pintu ini terdapat ruangan yang pernah digunakan pada masa Mamalik. Di tengah-tengahnya terdapat jendela segi empat yang dikelilingi batu dengan ornament melengkung berbentuk zig zag.
7. Pintu Al-Qatanin (Gate of the Cotton Merchants)
Pintu Al-Qatanin terletak di sebelah barat dari Masjid Al-Aqsa. Ia merupakan antara
pintu masjid yang paling utama dan paling besar, sejajar dengan pasar Qathanin.
Ketika Sultan Mameluk Muhammad Qalawun berkuasa, beliau telah memerintahkan gabenornya alAmir Saifuddin an-Nashiri untuk merenovasi pintu ini pada tahun 737 Hijriah.
8. Pintu Al-Mitharah (Ablution Gate)
Pintu Al-Mitharah terletak di sebelah barat Masjid Al-Aqsa, yang mengarah langsung ke
tempat mengambil wuduk.
Oleh itu ia dinamakan Pintu al-Mitharah, yang bermaksud pembersihan. Pintu ini merupakan sebuah pintu lama, sebagaimana pintu-pintu lainnya.
9. Pintu As-Silsilah (Chain Gate)
Pintu As-Silsilah terletak di sebelah barat Masjid Al-Aqsa, yang bersilang dengan lorong
barat. Sebahagian pendapat mengatakan pintu ini ada dua, bukan satu.
Pintu pertama dinamakan As-Silsilah (rantai) kerana diyakini dahulunya terdapat rantai yang tergantung di
pintu.
Pintu kedua dinamakan As-Sakinah. Pintu kedua ditutup dan akan dibuka hanya
dalam keadaan darurat. Pintu yang selalu dibuka adalah pintu As-Silsilah.
Pintu ini diperbaharui pada masa pemerintahan Ayyubiyah tahun 600 Hijriah ketika al-Malik al-Adil Saifuddin Abu Bakar memerintah.
Bahagian atas pintu As-Silsilah tertutup oleh kubah, di mana kubah ini berdiri di atas dinding-dinding pintu.
Dekorasi kubah sangat indah kerana ia berbentuk persegi lapan. Bagian atas pintu terdapat bangunan berupa ruangan, yang sejarah pembinaanya kembali ke zaman Mameluk dan Kesultanan Uthmaniah.
10. Pintu Al-Magharibah (Marocco Gate)
Pintu Al-Magharibah juga dikenali dengan sebutan Pintu An-Nabi atau Pintu Al-Buraq.
Pintu ini mempunyai akses langsung ke perkampungan orang-orang Maroko (Morocco district).
Dari arah luar masjid, pintu ini berbentuk melengkung di atasnya. Dari arah dalam masjid, pintu ini berbentuk persegi panjang dengan perbandingan panjang dan lebar adalah 2:3.
11. Pintu Al-Janai
Pintu Al-Janaiz terletak di sebelah timur Masjid Al-Aqsa. Pagar masjid sebelah timur juga merupakan tembok kota al-Quds.
Di tembok ini hanya ada dua pintu, iaitu Pintu Al-Janaiz dan Pintu Ar-Rahmah.
Pintu Al-Janaiz khusus digunakan untuk membawa jenazah dari masjid ke perkuburan Rahmah, di sebelah masjid. Ia ditutup pada masa Sultan Salahuddin untuk menjaga masjid dan al-Quds dari berbagai serangan.
12. Pintu Ar-Rahmah dan At-Taubah (Az-Zahabi/ Golden Gate)
Pintu Ar-Rahmah merupakan pintu kedua di sebelah timur Masjid Al-Aqsa. Ia terdiri dari dua pintu masuk, yang dinamakan dengan Ar-Rahmah dan at-Taubah.
Pintu Ar-Rahmah berada di sebelah selatan dan pintu At-Taubah berada di utara Masjid Al-Aqsa.
13. Pintu Ats-Tsulasi
Pintu Ats-Tsulasi terletak di selatan masjid dan menjadi pintu masuk ke musolla Marwani.
Ia ditutup atas perintah Sultan Salahuddin untuk menjaga masjid dan al-Quds dari serangan.
14. Pintu Al-Muzdawij
Pintu Al-Muzdawij, yang bermaksud dua, dinamakan sedemikian kerana pintu tersebut
berjumlah dua. Ia terletak di selatan masjid Aqsa. Pintu ini dibina sebagai pintu masuk Amir dan Sultan.
Kerana pintu ini berhimpitan langsung dengan istana Bani Umayyah yang berada di selatan masjid, ia ditutup atas perintah Sultan Salahuddin Al-Ayubi untuk menjaga masjid dan al-Quds dariserangan.
Ini adalah kerana pagar Masjid Al-Aqsa di sebelah selatan juga menjadi pagar
Kota al-Quds.
15. Pintu Al-Munfarid
Tidak banyak bahan sejarah yang menjelaskan tentang Pintu Al-Munfarid kerana
keadaannya yang telah tertutup ketika masa Sultan Salahuddin Al-Ayubi mengalahkan
tentera Salib dan membebaskan Masjid Al-Aqsa
Menara Masjid Al-Aqsa
1. Menara Pintu Al-Magharibah
Menara ini dinamakan juga Menara Al-Fakhriyah kerana dibina oleh al-Qadhi Syarafuddin Abdurrahman bin Ash-Shahib Fakhruddin Al-Khalili pada masa Sultan Malik Sa’id Muhammad Nasiruddin Barkah Khan.
Bahagian atas menara ini pernah hancur akibat gempa bumi pada tahun 1922 M, kemudian dibina semula pada tahun yang sama.
Ini adalah menara Masjid Al-Aqsa yang paling kecil, dengan ketinggian 23.5 meter dan
diameter 2.5 meter. Struktur bangunannnya berbentuk empat segi, dan sebahagian
tapaknya berhimpitan dengan Masjid an-Nisa’.
2. Menara Pintu As-Silsila
Menara ini dinamakan juga Menara Mahkamah kerana ia berdampingan dengan Madrasah Tankaziyah yang berubah menjadi bangunan mahkamah pada masa kesultanan Uthmaniah.
Ia dibina pada masa Mamalik pada tahun 730 Hijriah oleh Amir Saifuddin Tankiz an-Nashiri.
3. Menara Pintu Al-Ghawanimah
Menara ini berada di timur laut dari Masjid Al-Aqsa, di sudut pertemuan antara pagar utara dan barat masjid. Nama Al-Ghawanimah diambil dari kampung yang berada di sekitar pintu tersebut.
Dinamakan juga Menara Qalawun dan Menara As-Sarai pada masa Mameluk.
Menara ini dibina pada masa Mamalik tahun 697 Hijriah oleh al-Qadhi Syafafuddin
Abdurrahman bin Ash-Shahib al-Wazir Fakhruddin al-Khalili.
Ia kemudian diperbaharui pada tahun 730 Hijriah oleh al-Amir Saifuddin at-Tankizi an-Nashiri ketika membina Menara Pintu As-Silsilah.
Menara ini adalah menara tertinggi di Masjid Al-Aqsa dengan ketinggian 38.5
meter dan diameter tapak 5.5 meter serta diameter badan menara 4.5 meter.
4. Menara Pintu Al-Asbat
Menara ini berada diantara pintu Al-Asbat dan pintu Hittah, di sebelah utara Masjid Al-Aqsa.
Ini adalah satu-satunya menara di utara Masjid Al-Aqsa. Ia dibina pada masa Mameluk pada tahun 769 Hijriah oleh Al-Amir Saifuddin, pengawas dua kota suci (al-Quds dan al-Khalil).
Pada tahun 1927, terjadi gempa bumi sehinggakan bahagian atas menara ini hancur. Ia
kemudian direnovasi pada tahun yang sama oleh Dewan Tinggi Islam dengan merubah
bentuk asal.
Sekarang ia berbentuk tabung silinder dan menjadi satu-satunya menara dengan bentuk seperti itu.
Sebelum terjadi gempa, menara ini dikatakan berbentuk segi empat. Tinggi menara ini mencecah 28.5 meter dengan lebar tapaknya 4.5 meter dan diameter tabung silindernya berukuran 3 meter
Masjid dalam kompleks Al-Aqsa
1. Masjid Qibli
Masjid Al-Qibli juga disebut sebagai Al-Jami’ Al-Qibli. Umumnya orang mengenalinya dengan panggilan Masjid Al-Aqsa. Panggilan tersebut tidak tepat.
Hal ini kerana menurut sejarah Masjid Al-Aqsa, ia merupakan salah satu bahagian daripada Masjid Al-Aqsa yang terdiri daripada tanah dan bangunan serta binaan lain.
Ia terletak di sebelah selatan Masjid Al-Aqsa iaitu tempat paling hujung mengarah kiblat. Kerana kedudukannya arah kiblat, maka dinamakan dengan Al-Qibli.
Masjid al-Qibli dibina oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan dari Bani Umayyah dan disempurnakan pada masa anaknya Al-Walid bin Abdul Malik antara tahun 86-96 Hijriah.
Ketika dibina pertama kali, masjid ini mempunyai 15 lorong, kemudian diperbaharui menjadi tujuh lorong seperti sekarang ini oleh Az-Zahir li I‘zazi Dinillah pada masa dinasti Fathimiyah, setelah terjadi gempa bumi.
Sejarah awalnya, ketika Khalifah Umar bin Khathab RA datang ke Al-Quds untuk
membebaskan Baitulmaqdis pada tahun 15 Hijriah, beliau bertanya kepada Ka’bu AlAhbar tentang lokasi yang baik untuk membina tempat solat.
Ka’bu Al-Ahbar menjawab: Menghadap ke ash-Shakhrah, sehingga dapat menghimpun kiblat Nabi Musa dan Nabi Muhammad. Tetapi Umar RA menolak usul ini dan memilih tempat yang sekarang terbinanya Masjid Al-Qibli.
Kemudian Umar membina masjid yang dikenali dengan nama Jami’ Umar (Masjid Umar).
Bahan bangunan masjid terdiri daripada kayu dan batang pohon sebagaimana Masjid Nabawi dahulu. Pada waktu itu ia dapat menampung 1,000 orang ahli jamaah.
Kemudian ia diperbaharui dan diperluas oleh Khalifah Mu’awiyah bin Sufyan sehingga dapat menampung 3,000 orang.
Ketika tentera Salib menguasai al-Quds, mereka membahagi Masjid Al-Qibli menjadi
tiga bahagian:
- Pertama, dijadikan sebagai pejabat komando pimpinan tentara Salib.
- Kedua, Masjid Al-Qibli dijadikan tempat tinggal pasukan berkuda
- Ketiga, dijadikan gereja.
Ketika Salahuddin Al-Ayyubi membebaskan Al-Quds pada tahun 583 Hijriah, beliau mengembalikan fungsi Masjid Al-Qibli sebagaimana sebelumnya.
Masjid Al-Qibli sering diperbaharui bangunanya semasa fasa – fasa pemerintahan
Islam, di antaranya pada masa Mameluk, masa Utnmani dan ketika awal penjajahan
British ke atas Palestin.
Masjid ini terdiri dari satu lorong besar di tengah dan tiga lorong masing-masing di sisi kanan dan kirinya. Ia memiliki satu kubah besar yang terbuat dari kayu di sisi dalamnya dan dilapisi timah di sisi luarnya, dengan tinggi 17 meter.
Panjang masjid ini mencapai 80 meter dan lebarnya 55 meter. Luasnya mencapai 4000 meter persegi. Di dalamnya terdapat 11 pintu masuk dan sekarang ini dapat menampung 5500 orang ahli Jemaah.
2. Masjid Kubah As-Sakhrah
Masjid Kubah As-Sakhrah atau dikenali sebagai Masjid Kubah Batu adalah salah satu
mercu bangunan Islam terkenal di dunia. Ia dibina oleh Khalifah Abdul Malik bin
Marwan.
Pembinaannya bermula pada tahun 66 Hijriah dan selesai pada tahun 72 Hijriah.
Pembinaan ini diketuai oleh dua orang arkitek, iaitu Roja’ bin Hiwah alKanadi yang merupakan seorang tabi’in yang berasal dari kota Bisan di Palestin, dan Yazid bin Salam, iaitu anak didik Abdul Malik bin Marwan yang juga seorang arkitek bangunan dari tanah Al-Quds.
Bangunan bersegi lapan ini merupakan antara bangunan yang paling baik. ia terletak di tengah-tengah jantung Masjid Al-Aqsa.
Di tengah bangunan ini terdapat As-Sakhrah Al-Musyarrafah (batu yang dimuliakan).
Posisi Ah-Sakhrah berada di ketinggian 1.5 meter dari tanah dan bentuknya tidak sekata.
3. Musalla Al-Marwani
Musalla Al-Marwani terletak di sebelah tenggara Masjid al-Aqsa. Ia dibina ketika AlQuds di perintah oleh Dinasti Umawiyah dengan tujuan agar halaman sebelah selatan dan utara Masjid Al-Aqsa sama rata.
Oleh kerana itu, dahulu bangunan ini dikenali dengan nama “Taswiyah Syarqiyah” (Pemerataan Tanah Bahagian Timur).
Bangunan besar ini mempunyai keluasan lebih dari 4000 meter persegi. Musalla ini
terdiri dari 16 lorong. Ini merupakan tempat solat beratap terbesar yang ada di
Masjid Al-Aqsa.
Tentera Salib menjadikan musolla ini sebagai kandang kuda, sehinggalah Salahuddin membebaskannya.
Ketika Shalahuddin membebaskannya, beliau mengembalikan fungsi bangunan ini sebagaimana asalnya, iaitu sebagai tempat pemerataan antara bahagian utara dan selatan Masjid Al-Aqsa dan sebagai tempat penyimpanan (gudang) sehinggalah Zionis menjajah kawasan Masjid AlAqsa.
Di dalam Musalla Al-Mawarni terdapatnya Mihrab Siti Maryam iaitu Ibu kepada Nabi Isa AS.
4. Masjid Qadim
Sejarah Masjid Al-Aqsa yang berikutnya adalah Masjid Qadim. Masjid ini merupakan bangunan kuno yang terletak tepat di sebelah selatan Masjid Al-Aqsa dan di bawah Masjid Al-Qibli.
Masjid ini dibina pada masa Umawiyah dan terdiri daripada dua lorong. Lorong ini mengarah ke Pintu Al-Muzdawij, iaitu pintu di selatan Masjid Al-Aqsa yang sudah ditutup.
Dari pintu Al-Muzdawij ini boleh menuju terus ke istana Umawiyah di selatan masjid. Tujuan pembangunan masjid Al-Qadim adalah untuk meratakan bahagian selatan halaman al-Aqsa agar sama rata dengan bahagian utara.
Selama berabad-abad, Masjid Al-Qadim tidak terurus dan banyak debu serta batu hinggalah dibuka kembali pada tahun 1420 Hijriah oleh Yayasan al-Aqsa untuk pembangunan kota suci ini. Masjid ini dapat menampung 1,000 orang ahli jemaah solat di dalamnya.
5. Masjid Al-Buraq
Masjid Al-Buraq terletak di barat daya Masjid Al-Aqsa dan berada di bawah pintu AlMagharibah. Untuk memasukinya, seseorang perlu melalui tangga turun dari ruwak
gharbi (lorong barat).
Terdapat 38 anak tangga menuju ke bawah. Masjid ini dibuka pada hari Jumaat untuk diziarahi. Ia dinamakan Al-Buraq kerana tempat tersebut dipercayai sebagai tempat Nabi Muhammad SAW meletakkan kenderaannya Buraq pada malam Israk dan Mikraj.
Di dalamnya terdapat ‘halqah’ (lingkaran besi) di mana dikatakan tempat Nabi SAW mengikat buraq pada malam tersebut. Di sebelah barat masjid, dahulunya terdapat pintu yang dinamakan Pintu Al-Buraq.
Pintu ini sudah ditutup setelah masa Umawiyah. Pintu ini boleh membuka laluan terus ke
halaman buraq yang berada di luar Masjid Al-Aqsa.
6. Masjid Al-Magharibah
Masjid Al-Magharibah terletak di sudut barat daya Masjid Al-Aqsa atau sebelah
selatan dinding Al-Buraq. Masjid ini mempunyai dua pintu, satu di sebelah utara
(sekarang tertutup) dan satu lagi sebelah timur (terbuka).
Masjid ini dibina oleh Sultan Salahuddin al-Ayyubi pada tahun 590 Hijriah. Ketika itu ia diguna sebagai tempat solat mazhab Imam Malik.
Sekarang ini Masjid Al-Magharibah diguna sebagai ruangan utama muzium Islam. Muzium ini diwujudkan sejak tahun 1929 M, yang merupakan perpindahan dari Rabat pada masa al-Manshury ke masjid ini.
7. Masjid An-Nisa’
Masjid An-Nisa merupakan bangunan besar di sisi barat Masjid Al-Qibli, terbentang
hingga ke dinding barat Masjid al-Aqsa.
Ada yang mengatakan, masjid ini dibina pada masa tentera Salib menguasai Masjid Al-Aqsa untuk dijadikan gereja di dalam masjid.
Kemudian datang Salahuddin dan membersihkan tempat tersebut serta menjadikannya tempat solat untuk wanita.
Sekarang ini Masjid An-Nisa’ dibahagi menjadi tiga bahagian:
- Pertama, untuk tambahan bangunan muzium yang berada di paling barat masjid.
- Kedua, untuk perpustakaan umum yang berada di tengah.
- Ketiga, untuk gudang (dindingnya bersambung dengan masjid Al-Qibli).
Hukum menziarahi Al-Aqsa
Mengenai hukum menziarahi Masjid Al-Aqsa, berlakunya perselisihan pendapat di kalangan para ulama.
Hal ini kerana, ada sebahagian ulama yang mengharamkannya dan ada juga yang mengharuskannya.
Berikut adalah antara tokoh yang mengharamkan umat Islam untuk ziarah masjid ini:
- Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia
- Syeikh Dr. Ahmad Tayyib, Syeikhul Azhar
- Syeikh Faisal Maulawi, Naib Pengerusi Majlis Fatwa dan Kajian Eropah (European Council of Fatwa and Research)
Berikut adalah antara tokoh yang mengharuskan umat Islam untuk ziarah masjid ini:
- Syeikh Abdul Aziz Bin Baz, Mantan Mufti Besar Arab Saudi dalam fatwanya tatkala wujud perjanjian persefahaman antara negara Arab dan Yahudi berkata : “Ziarah masjidil Aqsa dan solat padanya adalah sunat jika memungkinkannya berdasarkan hadis Rasulullah SAW”.
- Syeikh Abdurrahman al-Barrak berkata : “Ziarah Masjidil Aqsa sekarang ini harus dan disyariatkan berdasarkan Rasulullah SAW dan para sahabat melakukan umrah ketika Makkah di bawah penguasaan orang musyrikin.”
- Syeikh Masyhur Hasan Alu Salman daripada Jordan.
- Saud al-Funaisan dari kalangan ulama Saudi.
- Syeikh Naim Tarnafa, Mufti Kosovo.
- Syeikh Syauqi Umar Baasyistash, Mufti Croatia.
- Syeikh Muammar Zoukorlic, Mufti Serbia.
- Syeikh Najad Gharabus, Mufti Slovenia.
- Syeikh Raf’at Fizitash, Mufti Jabal Aswad.
- Syeikh Ali Hasan al-Halabi daripada Jordan.
- Syeikh Ali Jum’ah, bekas Mufti Mesir.
- Syeikh al-Habib Ali Zainal Abidin al-Jufri.
- Ulama di wilayah Balkan dan ramai di kalangan mereka menziarahi Baitul Maqdis.
Ada pun pendapat dari Mufti Wilayah Persekutuan sendiri, beliau cenderung mengatakan hukum menziarahi Masjid Al-Aqsa adalah harus.
Untuk huraian lebih lanjut, anda boleh rujuk di sini.
Hukum mempertahankan Al-Aqsa
Hukum umat Islam mempertahankan Masjid Al-Aqsa adalah wajib. Hal ini kerana, tanah masjid ini adalah tanah wakaf umat Islam.
Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menjaga dan mempertahankan kesuciannya dari sebarang ancaman dan kerosakan.
Seperti yang berlaku sekarang ini, di mana seluruh saudara kita di Palestin yang mempertahankan Masjid Al-Aqsa kerana masjid ini adalah milik mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW dan semua pada Rasul yang telah diutuskan.
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan sejarah Masjid Al-Aqsa dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber:
- Kenali Dan Cintai Masjid Al-Aqsa. Haluan Palestin
- Irsyad l-Hadith Siri Ke-388: Kelebihan Melihat Masjid Al-Aqsa. Mufti Wilayah Persekutuan
- Bayan Linnas Siri Ke-15: Hukum Menziarahi Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa Pada Masa Kini. Mufti Wilayah Persektuan