Rasul Ulul Azmi Penghayatan 5 Kisah Ketabahan Seorang Rasul

Siapakah Rasul ulul azmi yang perlu anda ketahui?

Nabi dan Rasul diutuskan oleh Allah SWT untuk menyampaikan ajaran agama Islam sekaligus membawa manusia ke jalan yang diredhai Nya.

Sungguhpun terdapat ratusan orang Rasul dan dan ribuan Nabi yang ada, namun hanya terdapat 5 orang Rasul ulul azmi yang istimewa sekali.

Baca juga:

Maksud Rasul ulul azmi

rasul ulul azmi

Rasul ulul azmi adalah maksud yang boleh dipecahkan kepada dua bahagian. Azmi dari segi bahasa beerti azam atau tekad yang kukuh dan kesungguhan.

Gelaran bagi azmi ini hanya diberikan kepada beberapa orang Rasul tertentu kerana keazaman mereka dalam menghadapi segala cabaran yang lebih berat dan besar berbanding Rasul atau Nabi yang lain.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran,

Maksudnya: “(Jika demikian orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad SAW) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya rasul-rasul ulul azmi (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) daripada kalangan rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu).” – (Surah Al-Ahqaf, ayat 35)

Kunci bagi kemuliaan bagi golongan ini adalah sikap sabarnya yang sungguh luar biasa melebihi segalanya.

Siapakah Rasul ulul azmi?

Terdapat 5 orang Rasul ulul azmi yang patut kita sebagai umat Islam tahu. Mereka ini adalah:

  • Nabi Nuh
  • Nabi Ibrahim
  • Nabi Musa
  • Nabi Isa
  • Nabi Muhammad

Kisah-kisah Rasul ulul azmi

Setiap Rasul ulul azmi mempunyai kisah, mukjizat, dan riwayat hidupnya yang tersendiri. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita hayati kisah mereka satu persatu.

1. Nabi Nuh

rasul ulul azmi

Kesungguhan dan ketekunan Nabi Nuh berdakwah selama 950 tahun lamanya hanya membawa sebahagian kecil orang sahaja untuk beriman kepada Allah SWT iaitu kira-kira sebanyak 80 orang.

Bukti ini ada difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah al-Ankabut ayat 14:

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggallah ia dalam kalangan mereka selama 950 tahun.”

Ini adalah satu usaha gigih yang tiada batasnya. Bagi orang biasa dengan diberikan panjang umur sehingga 950 tahun itu sudah cukup luar biasa jika berlaku hari ini.

Apatah lagi jika seseorang itu istiqamah menggunakan tempoh masa yang lama dan panjang itu dalam kerja-kerja dakwah.

Namun apa yang menyedihkan bagi Nabi Nuh adalah bukan sahaja golongan yang beriman kepada Allah SWT sedikit.

Malah keluarga iaitu anak dan isteri baginda juga tidak mahu terlibat dalam usaha dakwah ini dan memilih kekal tidak beriman kepada Allah SWT.

Allah berfirman dalam Surah at-Tahrim ayat 10:

Maksudnya: “Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut;

mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati);

dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan):

“Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ).”

Dalam ayat ini, Allah SWT memberi tahu kita dengan jelas bahawa isteri Nabi Nuh kufur dengan dakwah baginda.

Sungguhpun statusnya adalah suami isteri tetapi itu tidak menjamin sesekali untuk iman tersebut diwarisi.

Allah berfirman lagi dalam Surah Hud ayat 42:

Maksudnya: “Dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang kafir.”

Ketika Allah SWT memerintahkan Nabi Nuh untuk membina bahtera yang begitu besar di atas bukit apa yang berlaku adalah ejekan dan cacian yang mengatakan baginda gila atau tidak siuman.

Namun baginda kekal taat kepada perintah Allah SWT. Dan akhirnya anak baginda dan orang-orang kufur tidak selamat lalu ditenggelami air dan mati apabila banjir besar datang atas kuasa Allah.

2. Nabi Ibrahim

rasul ulul azmi

Sosok Nabi Ibrahim ini adalah Nabi keenam yang digelar sebagai Khalilullah (kesayangan Allah).

Baginda dikatakan salah satu Nabi yang memperoleh hidayah dari Allah saat masih kecil. Bagi Nabi Ibrahim, tugas dakwahnya adalah kepada orang tuanya sendiri dan kaumnya yang sangat gemar menyembah binatang dan berhala.

Ayahnya sendiri yang bernama, Azar adalah pengukir patung berhala dan taat menyembah berhala.

Ketika Nabi Ibrahim AS mengajak ayahnya untuk mentaati Allah, ajakan itu sama sekali tidak diendahkan.

Allah berfirman tentang kisah itu dalam Surah al-Anbiya’ ayat 68:

Maksudnya: “(Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya.”

Lantara itu, Raja Namrud yang sangat kejam telah menghukum Nabi Ibrahim kerana menyampaikan dakwah yang di luar dari kepercayaan kaum mereka yang menyembah berhala.

Allah berfirman as-Saffat ayat 102: Nabi Ibrahim berkata:

“Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintah kepadamu.”

Lalu, Nabi ibrahim telah dicampakkan ke dalam api dan baginda di bakar hidup-hidup. Atas izin Allah baginda selamat kerana api yang membakar baginda menjadi sejuk.

Kemudian, sekali lagi Nabi Ibrahim diuji apabila Allah memeritah baginda untuk menyembelih Nabi Ismail iaitu anaknya sendiri.

Nabi Ismail adalah permata yang cukup berharga kepada Nabi Ibrahim dan isterinya kerana di saat umur 80 tahun barulah baginda memperoleh anak.

Atas ketaatan itu Nabi Ibrahim rela menjalankan perintah Allah itu dan lalu Nabi Ismail digantikan dengan seekor sembelihan iaitu seekor kibas.

3. Nabi Musa

Nabi Musa lahir pada zaman kegemilangan Firaun. Kisah baginda lebih kepada cabaran dalam berhadapan dengan kekuasaan kejam Firaun.

Allah berfirman dalam Surah asy-Syu’ara ayat 10 hingga 11:

Maksudnya: “Dan (ingatlah peristiwa) tatkala Tuhanmu menyeru Nabi Musa: Hendaklah engkau mendatangi kaum yang zalim, iaitu Firaun.”

Walaupun baginda dicabar, diugut, diancam bunuh, dan ditentang habis-habisan oleh kaumnya tetapi Nabi Musa tidak gentar untuk berlawan dengan mereka.

Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 55:

Maksudnya: “Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: Wahai Musa! Kami tidak beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepada kami).”

4. Nabi Isa

Nabi Isa lahir tidak berbapa. Ini yang menyebabkan baginda dan ibunya, Maryam dicela dan dicaci oleh masyarakat. Sejak kecil juga baginda sudah diuji dengan ujian yang berat.

Dalam Surah Maryam, Allah SWT berfirman dalam ayat 30-33 yang bermaksud:

“Sesungguhnya aku ini hamba Allah. Dia memberi aku alkitab (Injil) dan menjadikan aku seorang nabi. Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana sahaja aku berada. Dia menyuruhku mendirikan solat dan menunaikan zakat selagi aku hidup.

Dan (memerintahkan juga) supaya aku berbakti kepada ibuku dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong dan celaka.

Semoga keselamatan dilimpahkan kepadaku, pada hari aku dilahirkan, pada hari aku mati, dan pada hari aku dibangkitkan kembali.”

5. Nabi Muhammad

Nabi terakhir yang diutuskan oleh umat Islam adalah Nabi Muhammad SAW.

Baginda turut diuji sejak kecil lagi apabila kehilangan satu persatu ahli keluarga yang disayangi bermula dengan ayah, ibu, dan datuk, bapa saudara, dan lain-lain.

Dakwah yang dibawa Nabi Muhammad tidak pernah aman kerana sering ditentang dari dalam dan luar sehinggakan baginda terpaksa berhijrah ke Madinah.

Allah berfirman dalam Surah al-Anfal ayat 30:

“Dan ingatlah (wahai Muhammad SAW), ketika orang-orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka).”

Berkat usaha dan kegigihan Rasulullah SAW, kita hari ini dapat menikmati agama Islam dan lahir dalam orang yang beriman kepada Allah SWT.

Terlalu besar sumbangan dan pengorbanan Rasul dan Nabi ini kepada Islam dan keseluruhannya.

Sumber:

  1. Al-Afkar #27: Tertib Turutan Sebaik-Baik Makhluk. Mufti Wilayah Persekutuan
  2.  Ab. Latif Muda & Rosmawati Ali. (2015). Perbahasan Akidah Islam. Pustaka Salam.
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.