10 Nasihat Luqman Al-Hakim Yang Perlu Kita Tahu

Surah Luqman mempunyai 34 ayat dan menjadi surah ke 31 di dalam Al-Quran. Ayat-ayat yang terkandung dalam surah ini mempunyai bait-bait pesanan dan nasihat Luqman Al-Hakim kepada anak-anaknya praktikkan dalam kehidupan. Siapakah Luqman Al-Hakim ini? Dan apakah nasihatnya? Artikel pada kali ini akan berkongsi kepada anda dengan lebih lanjut mengenai wasiat yang ditiinggalkan Luqman.

Siapakah Luqman Al-Hakim?

Luqman Al-Hakim merupakan seorang hamba Allah yang soleh dan sangat bertaqwa. Dia diberikan kelebihan akan ilmu pengetahuan yang tinggi, kebijaksanaan, kefahaman agama yang sangat mendalam, juga kemuliaan dalam kedudukan yang tinggi. Dikatakan dari sirah terdahulu, Luqman Al-Hakim hidup pada zaman era Nabi Daud AS berada.

Gelaran “Al-Hakim” yang diberikan kepadanya adalah kerana butir kata-kata yang keluar dari bibirnya penuh hikmah dan mempunyai pengajaran serta teladan yang tersendiri kepada semua manusia. Nasihat Luqman Al-Hakim yang terdapat dalam surah Luqman ini boleh dijadikan panduan untuk ibu bapa di luar sana dalam mendidik anak-anak khususnya dalam kehidupan moden yang sangat mencabar.

Adakah Luqman seorang Nabi?

Sepakat para ulama berpendapat bahawa Allah SWT kurniakan kepada Luqman Al-Hakim hikmah dan nasihatnya melalui Al-Quran. Jumhur ulama’ mengatakan luqman adalah wali dan bukannya seorang Nabi.

Ibn Kathir berkata: Para ulama’ Salaf berbeza pendapat tentang Luqman, apakah dia seorang Nabi atau seorang hamba yang soleh yang bukan Nabi? Dalam hal ini terdapat dua pendapat dan majoriti berpendapat dengan pendapat kedua (iaitu orang yang soleh). – [Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 12/348]

Imam al-Nawawi berkata, “Para ulama berbeza pendapat berkenaan kenabian Luqman al-Hakim. Abu Ishaq al-Tsa’labi berkata, ‘Ulama bersepakat bahawa Luqman al-Hakim ialah orang bijaksana atau ahli hikmah dan bukan seorang nabi. Manakala Ikrimah pula berkata, bahawa Luqman ialah seorang nabi. Hanya beliau sahaja yang berpandangan dengan hal tersebut.” – [Lihat Syarh Sahih Muslim, oleh Imam al-Nawawi, 2/503]

Setelah meneliti pelbagai pendapat, kami cenderung kepada pendapat jumhur di kalangan sahabat dan ulama’ yang mengatakan bahawa Luqman al-Hakim seorang hamba yang soleh dan bukan seorang Nabi. Justeru, pendapat seperti Ikrimah dan al-Sya’bi adalah lemah. Inilah juga yang disokong oleh Imam al-Nawawi dan Ibn Kathir.” – [Rujuk Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, no. 9211].

Pesanan & nasihat Luqman Al-Hakim

Antara nasihat Luqman Al-Hakim yang boleh kita ambil iktibar dan contohi ketika mendidik anak-anak adalah seperti mengajar mereka untuk:

1. Tidak mensyirikkan Allah

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” – (Surah Luqman, ayat 13)

Konsep tidak menyekutukan Allah SWT dalam apa jua perkara atau benda adalah prinsip yang paling utama dalam kunci seorang Muslim. Ini berdasarkan kalimah syahadah yang dilafazkan dari bibir dan dipegang kuat dalam sanubari. Apabila seseorang itu sudah mensyirikkan Allah, maka tercemarlah sudah rukun Islam dan tauhidnya kepada agama Islam.

2. Sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberikan Allah

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا لُقْمَـٰنَ ٱلْحِكْمَةَ أَنِ ٱشْكُرْ لِلَّهِ ۚ وَمَن يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌۭ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” – (Surah luqman, ayat 12)

Rezeki itu datangnya dalam pelbagai bentuk, Tidak semua rezeki datang dari wang ringgit atau harta kekayaan. Tetapi setiap wang ringgit dan harta kekayaan itu adalah rezeki dari Nya. Rezeki boleh diberikan melalui nikmat kesihatan, kasih sayang, dipermudahkan urusan hidup, dan sebagainya,

3. Berterima kasih kepada ibu bapa

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:

وَوَصَّيْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ بِوَٰلِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُۥ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍۢ وَفِصَـٰلُهُۥ فِى عَامَيْنِ أَنِ ٱشْكُرْ لِى وَلِوَٰلِدَيْكَ إِلَىَّ ٱلْمَصِيرُ

Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” – (Surah Luqman, ayat 14)

Ibu dan bapa adalah insan yang sudah banyak berkorban dari segala bentuk pengorbanan semata-mata untuk membesarkan seorang anak menjadi seorang yang berguna.

4. Tidak melakukan perkara mungkar walaupun atas arahan ibu bapa

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:

وَإِن جَـٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشْرِكَ بِى مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌۭ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِى ٱلدُّنْيَا مَعْرُوفًۭا ۖ وَٱتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَىَّ ۚ ثُمَّ إِلَىَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.” – (Surah Luqman, ayat 15)

Walau bagaimana ibu bapa juga adalah seorang manusia biasa dan hamba Allah SWT yang tidak akan sesekali terlepas dari kesalahan dan kesilapan. Oleh yang demikian, kita sebagai seorang anak sepatutnya boleh membezakan antara perilaku dan suruhan yang baik dan betul menurut syariat Islam dengan yang dimungkari Allah dan mendatangkan dosa kepada pelakunya.

5. Menuruti jalan orang-orang yang bertaqwa

Jalan-jalan orang yang bertaqwa adalah jalan orang yang benar dan soleh. Kehidupan akhiratnya dia akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh kenikmatan di sisi Allah SWT.

6. Ingat kepada mati

Diterangkan melalui surah Luqman ayat 15 yang bermaksud,

“Nanti kamu akan kembali kepada Ku dan akan Aku beritakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”

Suruhan untuk ingat kepada kematian agar manusia sentiasa bersiap sedia untuk menyiapkan bekal amal sebelum ditarik nyawanya menghadap Allah SWT.

7. Allah Maha Mengetahui segala amal yang diperbuat

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:

يَـٰبُنَىَّ إِنَّهَآ إِن تَكُ مِثْقَالَ حَبَّةٍۢ مِّنْ خَرْدَلٍۢ فَتَكُن فِى صَخْرَةٍ أَوْ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ أَوْ فِى ٱلْأَرْضِ يَأْتِ بِهَا ٱللَّهُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٌۭ

Maksudnya: “(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.” – (Surah Luqman, ayat 16)

8. Solat adalah tiang agama

Solat adalah amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Ia diibaratkan seperti akaun bank. Apabila solat diterima oleh Allah, maka ke semua amalan yang dibuat sepanjang hidup juga akan diterima. Begitu jugalah sebaliknya.

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:

يَـٰبُنَىَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأْمُرْ بِٱلْمَعْرُوفِ وَٱنْهَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَٱصْبِرْ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ ٱلْأُمُورِ

Maksudnya: “”Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” – (Surah Luqman, ayat 17)

9. Melaksanakan amar makruf nahi mungkar

Amar makruf bermaksud mengajak, menyuruh, atau menyeru manusia untuk melakukan hal-hal yang baik. Sedangkan nahi mungkar adalah mencegah atau menghalang seorang manusia dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak yang mana ia membawa kepada dosa.

Kerja-kerja amar makruf nahi mungkar ini sangat penting untuk semua umat Islam. Ia wajib dilakukan mengikut kemampuan diri masing-masing.

10. Sikap tabah dalam menghadapi musibah

Ketabahan dan ikhlas dalam menerima ujian atau musibah adalah intipati penting dalam kehidupan kita. Ia membawa hakikat bahawa kita hanyalah seorang hamba yang lemah dan tidak terlepas dari sebarang ujian.

Sungguhpun begitu, sikap tabah dan ikhlas ini penting agar kita kembali semua kepada sandaran hanya semata-mata kepada Allah SWT yang Maha Esa.

Semoga dengan perkongsian nasihat Luqman Al-Hakim ini dapat memberikan para ibu bapa di luar sana sedikit pencerahan dalam mendidik anak-anak. Membentuk akhlak dan peribadi mereka menjadi anak yang soleh dan solehah.

Sumber:

  1. Irsyad Fatwa Siri Ke-246: Adalah Luqman Seorang Nabi? Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Tafsir Al-Quran
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.