Ucapan Terakhir Rasulullah Sebelum Wafat, Sebut “Ummati”?

Ramai orang masih keliru apakah ucapan terakhir Rasulullah sebelum wafat?

Rasulullah SAW meninggal dunia di usia 63 tahun iaitu pada hari Isnin, 12 Rabiul Awwal 11 Hijrah/08 Jun 632 Masihi.

Justeru, artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan ucapan terakhir Rasulullah sebelum wafat bagi menjawab hadis-hadis palsu yang semakin berleluasa dalam masyarakat kita hari ini.

Baca juga:

Detik terakhir Rasulullah sebelum wafat

ucapan terakhir rasulullah sebelum wafat

Kisah detik terakhir Rasulullah SAW sebelum wafat ini diambil dari perkongsian karangan Syeikh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri yang terkenal al-Rahiq al-Makhtum:

“Setelah waktu Dhuha semakin meninggi, Nabi SAW memanggil Fatimah lalu membisikkan sesuatu kepadanya, lantas Fatimah pun menangis. Kemudian baginda memanggilnya sekali lagi lalu membisikkan sesuatu sehingga Fatimah tertawa.

Aisyah R.anha bertanya tentang hal itu, lalu Fatimah menjawab: “Rasulullah SAW membisikkan kepadaku bahawa Baginda SAW akan wafat dengan sakit yang sedang dihadapinya, lantas aku menangis.

Kemudian Baginda SAW membisikkan kepadaku bahawa aku adalah ahli keluarganya yang pertama akan menyusul selepas daripada Baginda SAW.” 

Nabi SAW juga turut menghiburkan Fatimah bahawa dia adalah ketua atau penghulu wanita sekalian alam. Tatkala Fatimah melihat penderitaan hebat yang ditanggung oleh Rasulullah SAW, lalu dia berkata: “Alangkah deritanya ayahanda.” 

Lalu Rasullah SAW berkata kepadanya: “Selepas hari ini tidak ada lagi penderitaan ke atas ayahandamu.”

Setelah itu, Baginda SAW memanggil Hasan dan Husain lalu berpesan kepada mereka dengan kebaikan. Kemudian, Baginda SAW memanggil para isterinya lalu memberi nasihat dan peringatan kepada mereka.

Sakit Baginda SAW bertambah kuat akibat daripada kesan racun daging kambing yang dikunyahnya di Khaibar sehingga Baginda SAW bersabda: 

“Wahai Aisyah, aku masih lagi terasa bias makanan yang aku makan di Khaibar, maka sekarang tibalah masanya aku merasai bagaikan hendak terputus urat leherku disebabkan oleh racun ini.”

Tibalah saat terakhir kehidupan Rasulullah SAW dengan Aisyah menyandarkan Baginda SAW ke ribaannya.

Dalam hal ini, Aisyah berkata: “Antara nikmat-nikmat yang Allah kurniakan kepadaku ialah Rasulullah SAW wafat di dalam rumahku semasa giliranku dan dirangkulanku antara leher dan dadaku. Dan Allah SWT telah mengumpulkan air liurku dan air liur Baginda SAW ketika kewafatan Baginda SAW.” 

Abdulrahman bin Abu Bakar pun masuk dengan ditangannya kayu sugi dan ketika aku sedang meriba Rasulullah SAW. Baginda SAW memandang ke arah Abdulrahman dan aku menyedari bahawa Baginda SAW ingin kayu sugi tersebut. Aku pun bertanya kepada Baginda SAW: “Mahukah aku ambilkan kayu sugi untukmu?.”

Baginda SAW mengisyaratkan dengan kepalanya tanda setuju. Lalu aku hulurkankayu sugi tersebut tetapi ia kelihatan keras. Aku pun berkata: “Mahukah aku lembutkannya untukmu?.” 

Baginda SAW mengisyaratkan dengan kepalanya tanda setuju, lalu aku melembutkannya dan Baginda memerintahkan untuk disugi.

Di dalam satu riwayat yang lain menyatakan bahawa Baginda SAW bersugi dengan cara yang lebih baik berbanding sebelum daripada ini. Ketika itu, dihadapan Baginda SAW ada sebekas kecil berisi air.

Baginda SAW mencelupkan tangannya di dalam bekas air tersebut, lalu menyapunya di muka sambil berkata: “Tidak ada Tuhan selain daripada Allah, sesungguhnya bagi kematian itu kesakitan-kesakitan.”

Sebaik sahaja selesai bersugi Baginda SAW mengangkat tangannya atau jarinya serta mendongak ke bumbung sambil bibirnya bergerak.

Aisyah R.anha merapatkan telinganya kerana ingin mendengar apa yang diucapkan oleh Baginda SAW:

مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي، وَأَلْحِقْنِي بِالرَّفِيقِ الأَعْلَى اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى

Maksudnya: “Bersama orang-orang yang Engkau beri nikmat kepada mereka daripada kalangan para nabi, orang-orang benar (orang yang beriman), orang-orang syahid dan orang-orang soleh. Ya Allah, ampunilah aku dan rahmatilah aku serta pertemukan aku dengan Teman Yang Tertinggi, Ya Allah, Kekasih Yang Tertinggi.”

Baginda SAW mengulangi kalimah akhir tersebut sebanyak tiga kali, kemudian tangan Baginda SAW terkulai layu dan Baginda SAW pun pergi mengadap Kekasih Yang Tertinggi.”

(Lihat: al-Rahiq al-Makhtum, 430-432)

Apa yang dilakukan Rasulullah sebelum wafat?

Detik terakhir sebelum Rasulullah meninggal dunia, baginda meminta Aisyah RA untuk mengambil kayu suginya agar baginda boleh bersiwak.

Bersiwak adalah bermakna menggosok. Makna ini lebih menjurus pada maksud sebatang kayu yang digunakan untuk menggosok gigi dengan tujuan menghilangkan warna kuning pada permukaan gigi.

Hadis tentang bersiwak ini banyak disebutkan, antaranya Dari Abu Hurairah RA katanya: Bersabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Jikalau tidaklah memberatkan keatas umatku, nescaya aku suruh mereka membersihkan gigi pada setiap kali sembahyang.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis berkaitan ucapan terakhir Rasululah sebelum wafat

Antara hadis yang menceritakan tentang ucapan terakhir Rasululah sebelum wafat adalah seperti berikut:

Daripada Aisyah dan Abdullah bin Abbas R.anhuma berkata:

لَمَّا نَزَلَ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، طَفِقَ يَطْرَحُ خَمِيصَةً لَهُ عَلَى وَجْهِهِ، فَإِذَا اغْتَمَّ كَشَفَهَا عَنْ وَجْهِهِ، وَهُوَ كَذَلِكَ يَقُولُ: لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى اليَهُودِ، وَالنَّصَارَى اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ

Maksudnya: “Apabila turun wahyu kepada Rasulullah SAW, Baginda SAW memegang bajunya sambil menutup secarik kain ke wajahnya dan saat beliau beliau mula merasa sesak, kami pun membukanya. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Laknat Allah ke atas orang Yahudi dan al-Nasrani yang mana mereka menjadikan kubur para nabi mereka sebagai masjid.” [Riwayat al-Bukhari (4443)]

Daripada Aisyah R.anha berkata:

فَكَانَتْ آخِرَ كَلِمَةٍ تَكَلَّمَ بِهَا: اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى

Maksudnya: “Adapun ucapan terakhir yang diucapkan oleh Baginda SAW: اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Ya Allah, Kekasih Yang Tertinggi).” [Riwayat al-Bukhari (4463)(6348)(6509) dan Muslim (2444)]

Justeru, di sini maka jelaslah bahawa ucapan terakhir Rasulullah sebelum wafat itu adalah “Ar-Rafiqul A’laa” yang bermaksud Kekasih Yang Tertinggi.

Ucapan Terakhir Rasulullah Sebelum Wafat | Dr. Musyaffa Ad-Dariny,MA

Hadis “ummati” palsu ke?

ucapan terakhir rasulullah sebelum wafat

Hadis yang mengatakan Nabi SAW ketika menghampiri sakaratul menyebut “Ummati, Ummati.. atau Umatku, Umatku…” adalah hadis palsu dan tidak mempunyai sumber yang muktabar.

Dalam hal ini, kita perlu faham akan bahayanya isu penyebaran hadis palsu yang menisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW namun realitinya baginda tidak pernah mengeluarkan ucapan berkenaan.

Lebih-lebih lagi bila mana media sosial dan teknologi komunikasi tidak mempunyai sempadan untuk menghalang berita palsu atau fitnah berleluasa.

Sentiasalah berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu perkara khususnya hadis.

Hal ini kerana para ulama bersepakat bahawa sengaja berdusta ke atas Nabi Muhammad SAW adalah satu daripada dosa besar.

Bahkan pelakunya akan diancam dengan disediakan tempat duduk di dalam api neraka.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan ucapan terakhir Rasulullah sebelum wafat dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk rujukan bersama.

Dapatkan dengan segera: 40 Kisah Palsu Tetapi Masyhur & 40 Hadis Palsu Dan Lemah Popular untuk panduan anda dan keluarga di rumah.

Sumber:

  1. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-311: Ucapan Terakhir Nabi SAW. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Benarkah Rasulullah Tidak Menyebut “Umatku, Umatku” Tatkala Kewafatan Baginda? Sinar Plus
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.