Makan Di Kedai Makan Cina & Status “Pork Free”

Islam sangat menitikberatkan perkara-perkara yang berkaitan dengan halal dan haram termasuklah isu dimana umat Islam makan di kedai makan cina atau sebagainya.

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan hukum umat Islam makan di kedai makan cina dan penjelasan mengenai status pork free atau no pork.

Baca juga:

Garis panduan tentang makanan menurut Islam

kedai makan cina

Berikut adalah garis panduan dalam soal-soal makanan menurut Islam yang perlu anda tahu:

1. Memilih makanan yang halal

Mengambil makanan yang memberikan kesihatan iaitu dengan memilih makanan yang halal ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 172:

‎يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُلُوْا مِنْ طَيِّبٰتِ مَا رَزَقْنٰكُمْ وَاشْكُرُوْا لِلّٰهِ اِنْ كُنْتُمْ اِيَّاهُ تَعْبُدُوْنَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya."

2. Menjauhi makanan yang diragui

Menjauhi makanan yang diragui sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Abdullah bin Nu‟man Basyir ra: Katanya beliau telah mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“dan barang siapa yang terjatuh ke dalam perkara-perkara kesamaran jatuhlah ia ke dalam yang haram.”

3. Memilih makanan yang baik dan segar

Pengertian makanan yang baik di sini ialah asal zatnya, susunan komposisinya, baik cara memasak dan menghidangkannya serta halal cara mendapatnya.

4. Menjauhi makanan yang mengandungi bahan berbahaya

Menjauhi makanan yang mengandungi bahan kimia, makanan yang diawetkan serta mengandungi pewarna yang tinggi.

Dalam kontes ssemasa termasuk dalam kategori ini ialah makanan terproses, makanan dalam tin, botol, berbungkus, makanan segera dan ringan.

5. Memilih makanan yang berkhasiat

Memilih makanan yang bergizi tinggi iaitu makanan pembina badan dan makanan pemberi tenaga serta makanan untuk menjauhi penyakit dan mengambil makanan yang seimbang.

Apa itu “no pork” atau “pork free”?

kedai makan cina

Kadang kala kita keliru bila nampak logo “No Pork” atau “Pork Free” dalam signboard restoran atau kedai-kedai makan lain.

Maka timbullah persoalan, adakah restoran tersebut halal bagi umat Islam makan di situ.

Untuk pengetahuan anda, tindakan pengusaha makanan terutama dalam kalangan bukan Islam yang memaparkan logo pork free (bebas khinzir) hanya semata-mata mahu menarik pelanggan khususnya umat Islam.

Tujuannya tidak lain tidak bukan hanya untuk mengelakkan anda dari rasa was-was makan dan minum apa mereka jual.

Umumnya, halal dan no pork (tiada khinzir) atau pork free, ia dua perkara yang berbeza.

Halal adalah satu bentuk pematuhan mengikut ketetapan dan hukum-hukum yang ditetapkan oleh syarak.

Manakala, no pork pula hanya satu bentuk makluman bahawa kedai berkenaan tidak menjual makanan berasaskan daging khinzir.

Justeru, tidak semestinya kedai atau premis makanan yang memaparkan logo no pork itu boleh kita anggap sebagai menjual makanan halal. Statusnya halalnya masih diragui.

Hal ini kerana, untuk menentukan ia halal atau tidak, anda masih perlu memerhatikan dari aspek cara penyediaan makanan, bahan-bahan yang digunakan, penyimpanan bahan-bahan basah dan mentah, tempat memasak, tahap kebersihan dan segala perkara berkaitan.

Hukum makan di kedai makan cina

Hari ini banyak kita lihat di media sosial, orang tidak megampil peduli tentang isu minum atau makan di kedai cina atau mana-mana restoran bukan Islam.

Umat Islam sebenarnya wajib untuk mencari makanan dan barangan yang halal lagi baik dalam kehidupan sehariannya.

Tuntutan itu adalah wajib ke atas setiap Muslim sepertimana dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW.

Sabda baginda SAW: "Mencari yang halal itu adalah wajib bagi setiap orang Islam." (Riwayat al-Tabarani)

Tambahan lagi, dalam isu halal ini ia bukan sahaja mengambil kira tentang status hukum semata-mata. Tetapi juga pemilihan restoran juga.

Hukum makan masakan yang dimasak non-muslim

kedai makan cina

Dibolehkan bagi seorang muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh non-muslim (bukan ahli kitab) seperti Hindu, Sikh, Budha dan selainnya selagi mana makanan itu adalah halal dan bukannya dari hasil sembelihan mereka.

Justeru tidaklah menjadi kesalahan bagi seorang Muslim sekiranya diajak untuk bertandang ke rumah rakannya yang bukan non-muslim lalu dihidangkan makanan untuk dimakan selagi mana ianya halalan toyyiba.

Tips cari makanan halal

Biasa, kalau kita melancong ke luar negara khususnya negara-negara yang minoriti beragama Islam seperti Jepun dan sebagainya, kita akan mempunyai masalah untuk mencari makanan halal.

Ini adalah antara tips cari makanan halal yang boleh diamalkan.

1. Kenali dan fahami logo Halal

Setiap negara mempunyai tanda logo halal mereka sendiri. Untuk memudahkan anda, buatlah semakan terlebih dahulu di internet apabila merancang ingin membuat pembelian di kedai mahupun restoran.

2. Pelajari perkataan ringkas berkenaan produk makanan dalam bahasa tempatan

Agak sukar untuk anda memahami satu per satu isi kandungan bahan yang tidak halal dalam makanan.

Justeru, sebaiknya anda boleh mengambil tahu istilah tempatan yang umum khususnya berkenaan daging termasuklah khinzir dan arak.

3. Restoran yang menghidangkan makanan mesra Muslim

Alternatif lain, anda boleh boleh memilih restoran makanan laut, timur tengah atau vegetarian. 

4. Masak sendiri atau bawa bekalan pek makanan segera dari Malaysia

Akhir sekali dan tips yang paling mudah serta selamat adalah anda masak sendiri atau bawak bekalan pek makanan segera dari Malaysia.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan hukum makan di kedai makan cina berserta tips cari makanan halal dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. Al-Kafi #564: Hukum Memakan Makanan Yang Dimasak Oleh Non-Muslim (Bukan Ahli Kitab). Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Makanan Menurut Hukum Islam dan Kesihatan. Universiti Malaya
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.