Surah Al-Kafirun Dalam Teks Arab & Rumi Berserta Kelebihannya
Artikel ini akan berkongsi kepada anda serba sedikit mengenai inti pati surah Al-Kafirun yang sepatutnya anda perlu tahu.
Di sini juga disediakan audio bacaan surah ini dalam bentuk MP3 dan juga teks bacaannya dalam rumi untuk memudahkan pembacaan.
Asal usul surah Al-Kafirun
Surah Al-Kafirun merupakan surah yang ke-109 dalam Al-Quran. Ia mengandungi 6 ayat dan juga tergolong sebagai surah yang diturunkan di Mekah.
Nama Al-Kafirun (orang-orang kafir) diambil dari kata yang muncul pada ayat pertama surat ini.
Latar belakang surah ini mengisahkan bagaimana kaum kafir Quraisy tidak henti-henti mencari cara untuk menghentikan Rasulullah SAW daripada terus menyebarkan agama Islam.
Ringkasan surah
Menerusi pernyataan Imam ibn Kathir Rahimahullah di dalam Kitab Tafsir al-Quran al-‘Azim mengenai surah Al-Kafirun, dikatakan surah ini adalah surah yang melepaskan diri daripada perbuatan-perbuatan yang dilakukan oleh orang-orang musyrik.
Ia diturunkan khusus ke atas orang-orang kafir Quraisy. Dikatakan orang kafir Quraisy ini telah mengajak Rasulullah SAW untuk menyembah berhala mereka selama setahun.
Rentetan itu, Allah SWT menempelak mereka lalu menurunkan surah Al-Kafirun yang mengarahkan Rasulullah SAW berlepas diri daripada agama mereka secara keseluruhannya.
Bacaan surah Al-Kafirun
قُلْ يٰٓاَيُّهَا الْكٰفِرُوْنَۙ
Qul yaa ayyuhal kaafirun
Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir!
لَآ اَعْبُدُ مَا تَعْبُدُوْنَۙ
Laa a’budu maa ta’buduun
"Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
وَلَآ اَنْتُمْ عٰبِدُوْنَ مَآ اَعْبُدُۚ
Wa laa antum aabiduuna maa a’bud
"Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.
وَلَآ اَنَا۠ عَابِدٌ مَّا عَبَدْتُّمْۙ
Wa laa ana aabidun maa abadtum
"Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.
وَلَآ اَنْتُمْ عٰبِدُوْنَ مَآ اَعْبُدُۗ
Wa laa antum abiduuna maa a’bud
"Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.
لَكُمْ دِيْنُكُمْ وَلِيَ دِيْنِ ࣖ
Lakum diinukum wa liyadin
"Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku".
Kelebihan dan manfaat surah ini
Surah Al-Kafirun mendidik kita sebagai hamba Allah mestilah sentiasa bersungguh-sungguh dan istiqamah dalam melakukan kebaikan, amal soleh dan setiap pekerjaan yang kita lakukan.
Selain itu, terdapat banyak lagi kelebihan surah ini yang boleh kita ambil pengajaran. Antara pengajarannya itu adalah seperti yang berikut:
1. Terlepas dari syirik dan kekafiran
Jabalah bin Harisah RA berkata,
Maksudnya: “Aku telah meminta akan Rasulullah SAW dengan kataku: Ajarilah aku suatu amalan yang memberi menafaat akan daku.
Sabda Rasulullah: “Apabila kamu berbaring di tempat tidurmu maka bacalah: Qul Ya Ayyuhal Kafirun sampai habis maka sungguhnya ia kelepasan daripada syirik.” – (Hadis Riwayat Imam An-Nasaai)
2. Diangkat martabat oleh golongan pembaca Al-Quran
Daripada Umar Bin Al-Khattab RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al-Quran.” – (Hadis Umar bin Al-Khattab ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim)
3. Mendapat ketenangan di hati
Daripada Barra’ bin ‘Azib RA telah melaporkan: “Seorang lelaki membaca Surah Al-Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya.
Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad SAW dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda: Itulah (sakinah) ketenangan yang turun disebabkan bacaan Al-Quran.” – (Hadis Barra’ RA. bin ‘Azib RA ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari, Kitab Fadhail Al-Quran, Bab Fadhlu Surah Al-Kahfi, No hadith 5011)
4. Mendapat syafaat di akhirat kelak
Daripada Abu Umamah RA melaporkan: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.” – (Hadis Abu Umamah ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim, kitab Solat Al-Musafirin Wal Qasruha, Bab Fadhlu Qiraat Al-Quran Wa Surah Al-Baqarah, No hadith 252)
5. Mendapat rahmat dan lindungan daripada malaika
Para malaikat juga akan memberikan perlindungan daripada segala kejahatan yang dapat dilihat mahupun tidak kepada orang-orang yang membaca kitab Al-Quran.
Semoga dengan panduan membaca surah Al-Kafirun ini dapat menjadikan kita semua semakin sayang dan mencintai kitab Al-Quran serta menghayati setiap bait ayatnya untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Sumber:
- Sayyid Quthb, Tafsir Fi Zhilalil Qur’an (Di Bawah Naungan Al-Qur’an), Penerbit: Gema Insani, Jakarta, 2001.
- Tafsir Al Azhar karya Buya Hamka
- Manfaat Membaca Surah Al-Kafirun Sebelum Tidur. Dapat Membentengi Daripada Kemusyrikan. Nauzubillah. Islam Itu Indah