Selawat Syifa Ikhtiar Penyembuhan Dari Sakit (Dalam Rumi)

Sakit adalah ujian yang diberikan Allah kepada setiap makhluk di atas muka bumi ini. Selain perubatan moden yang sedia ada, kita sebagai umat Islam turut digalakkan untuk mencari usaha penyembuhan dari sudut agama sendiri.

Artikel pada kai ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai selawat syifa yang baik untuk diamalkan sebagai salah satu ikhtiar untuk penyembuhan sakit seseorang.

Sejarah selawat syifa

Selawat syifa ini adalah selawat khusus bagi kesihatan dan penyembuhan penyakit. Sesungguhnya kesemua penyakit yang ada di atas muka bumi ini pasti ada penawarnya.

Hal ini bertepatan dengan sabda dari Nabi SAW yang bermaksud:

“Tidak ada sesuatu penyakit yang diturunkan oleh Allah SWT kecuali bersamanya juga terdapat kesembuhan.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dalam menghurai maksud selawat syifa, menurut Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din, perkataan “Tib” adalah bermaksud “ilaj” iaitu dalam Bahasa Melayunya bererti “Ubat” atau “Penawar”.

Menurut catatan Syekh Yusuf bin Ismail an-Nabhani, selawat syifa adalah salah satu jenis selawat yang ditulis oleh Syekh Hasan Abul Halawah al-Ghazali.

Beliau ini merupakan salah seorang ulama tersohor dengan keilmuannya yang hidup pada zaman abad ketiga belas Hijriah.

Perkara ini disebutkan sendiri di dalam kitabnya:

اَلصَّلَاةُ التَّاسِعَةَ عَشَرَ صَلَاةُ سَيِّدِيْ الشَّيْخِ حَسَنِ أَبِي حَلَاوَةِ اَلْغّزِّيْ

Maksudnya: “Selawat yang kesembilan belas adalah selawat yang ditulis oleh As-Sayyid Syekh Hasan Abul Halawah Al-Ghazali.” – (Yusuf an-Nabhani, Sa’adatud Darain fis Shalati ‘ala Sayyidil Kaunaini, [Beirut, Darul Kutub al-‘Ilmiah: 2010], halaman 323)

Cara menggunakan selawat ini sebagai ikhtiar penyembuhan

1. Baca lafaz Basmalah (بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ) sebanyak 1 kali.

2. Kemudian, baca selawat syifa sebanyak 1 kali.

3. Baca doa di bawah ini, lalu hembuskan ke dalam secawan air. Air tersebut boleh diminum atau diberikan minum kepada orang yang sakit.

selawat syifa

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan dengan kalimah-kalimahMu yang sempurna daripada bahaya angin ahmar (strok), penyakit yang paling besar, dan daripada tiap-tiap penyakit di dalam jiwa, darah, daging, kulit, urat dan tulang.

Tiada tuhan kecuali Engkau, Maha Suci Engkau apabila Engkau telah menetapkan sesuatu, cukuplah Engkau mengatakan, ‘Jadilah’ maka terjadilah ia.”

4. Amalkan secara istiqamah sebelum tidur.

Selawat ini telah diamalkan oleh ramai ulama tersohor, antaranya ialah al-’Allamah Sayyid Muhammad ’Alawi al-Maliki yang disajikan dalam buku wiridnya, Syawariq al-Anwar min Ad’iyah al-Sadah al-Akhyar, hlm. 95.

Selawat Syifa’ ini, selain amalan Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din, ia juga merupakan wirid Tuan Guru Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan.

Teks bacaan selawat syifa

أَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ طِبِّ الْقُلُوْبِ وَدَوَائِهَا وَعَافِيَةِ الأَبْدَانِ وَشِفَائِهَا وَنُوْرِ الأَبْصَارِ وَضِيَائِهَا وَعَلَى آَلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ

Allahumma solli ‘ala sayyidina Muhammad. Tibbil qulubi wadawaa iha. Wa ‘afiyatil abdani wa syifa iha. Wanuu ril absori wa dhiya iha. Wa ‘ala aalihi wasohbihi wasallim

Maksudnya: “Ya Allah, limpahkanlah selawat ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad yang merupakan ubat kepada hati-hati manusia dan penawarnya,

kesembuhan bagi badan-badan dan penyembuhnya, cahaya segala penglihatan dan sinarannya, (begitu juga selawat ini dilimpahkan) ke atas ahli keluarga baginda, para sahabatnya, serta limpahkanlah kesejahteraan (ke atas mereka).”

Ayat-ayat syifa dalam Al-Quran

Secara asasnya, Al-Quran adalah penyembuh, doa dan zikir yang paling mustajab. Berikut ini kami kongsikan beberapa ayat syifa dalam Al-Quran yang boleh diamalkan.

Surah Fussilat, ayat 44


وَلَوْ جَعَلْنَاهُ قُرْآناً أَعْجَمِيّاً لَّقَالُوا لَوْلَا فُصِّلَتْ آيَاتُهُ أَأَعْجَمِيٌّ وَعَرَبِيٌّ قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آمَنُوا هُدًى وَشِفَاء وَالَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ فِي آذَانِهِمْ وَقْرٌ وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى أُوْلَئِكَ يُنَادَوْنَ مِن مَّكَانٍ بَعِيدٍ

Maksudnya: “Dan kalaulah Al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: “Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)?

Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya berbangsa Arab?”

Katakanlah (wahai Muhammad): “Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman; dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (AL-Quran itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar);

dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi).

Mereka itu – (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Quran, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata).”

Surah At-Taubah, ayat 14


قَاتِلُوهُمْ يُعَذِّبْهُمُ اللّهُ بِأَيْدِيكُمْ وَيُخْزِهِمْ وَيَنصُرْكُمْ عَلَيْهِمْ وَيَشْفِ صُدُورَ قَوْمٍ مُّؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Ia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman.”

Surah Yunus, ayat 57

يٰٓاَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاۤءَتْكُمْ مَّوْعِظَةٌ مِّنْ رَّبِّكُمْ وَشِفَاۤءٌ لِّمَا فِى الصُّدُوْرِۙ وَهُدًى وَّرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِيْنَ

Maksudnya: “Wahai manusia! Sungguh, telah datang kepadamu pelajaran (Al-Qur’an) dari Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.”

Surah Al-Nahl, ayat 69


ثُمَّ كُلِي مِن كُلِّ الثَّمَرَاتِ فَاسْلُكِي سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلاً يَخْرُجُ مِن بُطُونِهَا شَرَابٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ فِيهِ شِفَاء لِلنَّاسِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَةً لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”.

(Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit).

Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.”

Surah Asy-Syu’ara, ayat 80

وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ

Maksudnya: “Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;

Surah Al-Israa’, ayat 82


وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاء وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ وَلاَ يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إَلاَّ خَسَاراً

Maksudnya: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”

Diharapkan semoga perkongsian kami ini mengenai selawat syifa dapat memberikan anda ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan dalam kehidupan seharian.

Sumber:

  1. Shalawat Syifa’: Sejarah, Penulis, dan Keutamaannya. Islam Nu
  2. Selawat Syifa’: Kekeliruan Berterusan Kesan Kedangkalan Akal. Pondok Habib
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.