Surah Al Ikhlas (الإخلاص): Teks Arab / Rumi dan Kelebihannya

Artikel ini akan berkongsi kepada anda serba sedikit mengenai inti pati surah Al Ikhlas (الإخلاص) yang sepatutnya anda perlu tahu.

Di sini juga disediakan audio bacaan surah ini dalam bentuk MP3 dan juga teks bacaannya dalam rumi untuk memudahkan pembacaan.

Pengenalan tentang surah Al Ikhlas

Surah Al Ikhlas ini terdiri daripada empat ayat dan merupakan surah yang ke-112 di antara surah-surah lain di dalam Al-Quran. Ia juga tergolong antara surah Makkiyyah iaitu yang diturunkan sebelum Hijrah.

Untuk pengetahuan anda, surah ini dikenali dengan nama tersebut kerana orang yang menyakini isi kandungannya akan menjadi ikhlas dalam menjalankan agama Allah SWT, dan dan orang yang mati dengan ikhlas, akan dijauhkan daripada api neraka.

Nama lain yang biasa orang panggil kepada surah ini antaranya adalah seperti Al-Tafrid, Al-Tajrid, Al-Tauhid, An-Najat, Al-Wilayah, Al-Nisbah, Al-Ma’rifah, Al-Jamal, Al-Muqasyqisyah, Al-Mu’awwizah, Al-Somad, Al-Asas, Al-Mani’ah, Al-Mahdhar, Al-Munaffirah, Al-Barra’ah, Al-Muzakkirah, Al-Nur, dan Al-Aman.

Ringkasan surah

Surah ini mengandungi sebuah penegasan bahawa hanya Allah lah Tuhan yang Maha Esa, seluruh makhluk di alam semesta bergantung kepada Nya, memohon kepada Nya, dan menyembah kepada Nya.

Allah Maha Esa iaitu tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tidak ada yang dapat setara dengan Nya.

Asbabun nuzul dari surah ini ialah sebagaimana diterangkan dalam riwayat Imam Ahmad bahwa orang-orang musyrik telah menyampaikan kepada Nabi SAW:

Maksudnya: “Hai Muhammad, terangkanlah nasab Tuhanmu kepada kami kemudian Allah menurunkan wahyu “katakanlah, dialah Allah Yang Maha Esa. Allah ialah Tuhan yang bergantung kepadanya segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.”

Secara keseluruhannya, ringkasan yang boleh kita fahami dari surah ini membincangkan mengenai pengesaaan Allah SWT yang mutlak, dan tiada tandingannya. 

Justeru, sebagai makhluk dan hamba Nya, kita wajib untuk yakin, percaya, dan beriman dengan keesaan tersebut.

Bacaan surah Al Ikhlas

(1) قُلْ هُوَ اللّٰهُ اَحَدٌۚ

Qul huwallaahu ahad

Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;

(2) اَللّٰهُ الصَّمَدُۚ

Allaahus samad

"Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;

(3) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُوْلَدْۙ

Lam yalid wa lam yuulad

"Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;

(4) وَلَمْ يَكُنْ لَّهٗ كُفُوًا اَحَدٌ ࣖ

Wa lam yakul lahu kufuan ahad

"Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".

Kelebihan surah Al Ikhlas

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW ada bersabda dalam sebuah hadis:

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang mendengar orang lain membaca ‘Qul hu wallah hu A’had’ dengan mengulang-ulangnya, maka tatkala pagi harinya, dia mendatangi Rasulullah dan menceritakan hal itu kepadanya dan seolah-olah orang itu menganggap remeh surah al-ikhlas, maka Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud : “Demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya, sesungguhnya surah itu sebanding dengan sepertiga al-Quran.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, Abu Daud, An-Nasaie)

Di samping itu, surah ini juga boleh dijadikan zikir atau doa perlindungan sebelum tidur bagi melindungi kita dari marabahaya. Hal ini dijelaskan sendiri oleh sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Jika kamu membaca surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas ketika berbaring di tempat tidurmu, kamu akan dilindungi dan menjadi tidak takut akan segala sesuatu kecuali kematian.” – (Tafsir Mazhari)

Semoga dengan panduan membaca surah Al Ikhlas ini dapat menjadikan kita semua semakin sayang dan mencintai kitab Al-Quran serta menghayati setiap bait ayatnya untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Sumber:

  1. Al-Quran dan Terjemahan
  2. Al-Kafi #346: Surah Al-Ikhlas dan Peristiwa Matahari Redup Kerana Muaqiyah. Mufti Wilayah Persekutuan
  3. Al-Kafi #1061: Rahsia Penamaan Surah Al-Ikhlas. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.