Doa Hindari Wabak Penyakit dan Bala Bencana
Apakah doa hindari wabak penyakit yang terbaik boleh kita baca sebagai amalan bersama?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan doa hindari wabak penyakit yang boleh anda amalkan bagi memohon perlindungan diri dan keluarga khususnya ketika dunia sedang menghadapi pandemik Covid-19.
Baca juga:
Wabak penyakit sebagai tanda akhir zaman
Sabda baginda Rasulullah: Dari ‘Auf bin Malik RA berkata:
Aku pernah menemui Nabi SAW ketika terjadi perang Tabuk dan baginda sedang berada di dalam sebuah khemah yang terbuat dari kulit. Lalu baginda bersabda: Hitunglah enam perkara yang akan terjadi menjelang hari kiamat iaitu:
- Kematianku
- Pembebasan Baitulmaqdis
- Kematian yang menyerang kamu sekalian bagaikan penyakit yang menyerang kambing sehingga mati tiba-tiba
- Melimpahnya harta benda sehingga ada lelaki yang diberi seratus dinar namun masih marah
- Timbulnya fitnah sehingga tidak ada satu pun rumah orang Arab (dalam riwayat lain: rumah orang Islam) melainkan ia akan memasukinya
- Akhir sekali perjanjian yang akan berlaku antara kamu sekalian dan bangsa kulit kuning (Bani al-Asfar iaitu Rom), lalu mereka akan mengkhianati perjanjian tersebut dan mereka akan datang menghadapi kalian di bawah lapan puluh (80) panji-panji perang, di bawah setiap panji pula terdiri daripada dua belas ribu (12,000) tentera. – (Hadis Riwayat Al-Bukhari, 2940).
Dalam masa yang sama, Rasulullah SAW juga ada menyebut bahawa azab yang Allah turunkan kepada hamba-hamba Nya itu berlaku apabila manusia melakukan beberapa jenis kerosakan seperti:
- Tidaklah nampak zina di suatu kaum, sehingga dilakukan secara terang-terangan kecuali akan tersebar di tengah-tengah mereka taun (wabak) dan penyakit-penyakit yang tidak pernah menjangkiti generasi sebelumnya.
- Tidaklah mereka menipu dalam timbangan kecuali akan ditimpa dengan kemarau berpanjangan serta kezaliman penguasa atas mereka.
- Tidaklah mereka menahan zakat (tidak membayarnya) kecuali hujan dari langit akan ditahan dari turun ke atas mereka, dan sekiranya bukan kerana haiwan-haiwan (yang sentiasa berzikir kepada Allah), nescaya manusia tidak akan diberikan hujan.
- Tidaklah mereka melanggar perjanjian mereka dengan Allah dan Rasul Nya, kecuali Allah akan menjadikan musuh mereka dari kalangan orang kafir berkuasa atas mereka, lalu musuh tersebut mengambil sebahagian apa yang mereka miliki.
- Dan selama pemimpin-pemimpin mereka (kaum muslimin) tidak berhukum dengan Kitabullah (Al-Quran) dan mengambil yang terbaik dari apa-apa yang diturunkan oleh Allah (syariat Islam), melainkan Allah akan menjadikan permusuhan di antara mereka.” – (Hadis Riwayat Ibnu Majah, 4009)
Himpunan doa hindari wabak penyakit
Berikut adalah beberapa doa elak wabak penyakit yang boleh kita baca dan amalkan setiap hari bagi kesejahteraan diri dan orang sekeliling.
Doa 1:
بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Bismillahillazi la yadhurru ma’asmihi syai un fil ardhi wala fissamaa’i wa huwas samii’ul ‘aleem
Bismillahillazi la yadhurru ma'asmihi syai un fil ardhi wala fissamaa'i wa huwas samii'ul 'aleem
Maksudnya: “Dengan nama Allah yang bila disebut, segala sesuatu di bumi dan langit tidak akan berbahaya, Dia lah yang Maha Mendengar lagi Mengetahui.” – (Hadis Abu Daud, Tirmidzi)
Doa ini diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya bagi menghindari segala kemudaratan di sepanjang hari. Ia disarankan untuk diamal dan dibaca 3 kali waktu pagi dan 3 kali waktu petang.
Doa 2:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْبَرَصِ وَالْجُنُونِ وَالْجُذَامِ وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Allahumma inni a’uuzu bika minal barosi wal jununi wal juzami wa miin sayyi’il asqaami
Maksudnya: "Ya Allah aku berlindung dengan Mu daripada penyakit sopak, penyakit gila, penyakit kusta, dan daripada segala penyakit berbahaya yang lain." - (Hadis Riwayat Abu Daud)
Doa ini diajarkan oleh para ulama untuk meminta perlindungan umum dari pelbagai jenis penyakit.
Doa 3:
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّـدِنَا مُحَمَّدٍ أَشْرَفِ الأَنْـبِيَاءِ وَالمُرْسَلِينَ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ
اَللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّـا البَلآءَ وَالغَلاَءَ وَالوَبَاءَ وَالطَّاعُونَ وَالفَحْشَاءَ وَالمُنْـكَرَ وَالبَغْيَ وَالسُّوءَ المُخْتَـلِفَ وَالشَّدَائِدَ وَالمِحَنَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ مِنْ بَلَدِنَا وَقَرْيَتِـنَا هَذِهِ خَآصَّةً وَمِنْ بُلْدَانِ المُسْلِمِينَ كَآفَّةً عَآمَّةً إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ وَبِالإِجَابَةِ جَدِيرٌ
تَحَصَّـنَّا بِذِى العِزَّةِ وَالجَبَرُوتِ، وَاعْتَصَمْـنَا بِرَبِّ المَلَـكُوتِ، وَتَوَكَّـلْنَا عَلَى الحَيِّ الَّذِي لاَ يَمُوتُ، اَللَّهُمَّ اصْرِفْ عَنَّا هَذَا الوَبَاءَ، وَقِنَا شَرَّ الرَّدَى، وَنَجِّنَا مِنَ الطَّعْنِ وَالطَّاعُونِ وَالبَلاَءِ، بِلُطْفِكَ يَا لَطِيفُ، يَا خَبِيرُ، إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّـدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ وَالحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam, selawat dan salam ke atas Saidina Muhammad semulia-mulia nabi dan rasul, ahli keluarga dan para sahabatnya.
Ya Allah! Jauhilah kami daripada bala’ bencana, wabak penyakit, taun, pelbagai perlakuan keji dan mungkar, segala kepayahan dan dugaan yang zahir dan yang tersembunyi.
Ya Allah! Selamatkanlah negeri kami ini khususnya, dan negara umat Islam amnya daripada segala bencana tersebut. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa ke atas segala-galanya dan Engkaulah yang selayaknya memberi perkenan.
Aku berlindung dengan Allah Tuhan yang Maha Gagah Perkasa dan yang Mempunyai Kekuasaan Mutlaq. Aku berpegang teguh kepada Allah Tuhan yang Memiliki Kerajaan yang Maha Agung dan aku berserah diri kepada Allah yang Hidup dan tidak akan mati.
Ya Allah! Wahai Tuhan kami jauhilah kami daripada wabak yang datang ini dan peliharalah kami daripada segala kejahatan yang merosakkan serta selamatkanlah kami daripada segala fitnah dan penyakit taun serta segala bala’ yang datang, dengan kelembutan Mu ya Allah,
Tuhan yang Maha Berlemah Lembut, wahai Tuhan yang Maha Halus Pengetahuan Nya, Engkau Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu, selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabatnya. Segala puji bagi Allah Tuhan pencipta alam semesta.
Doa ini disarankan unutk dibaca setiap kali selepas solat fardhu atau sunat.
Semoga perkongsian berkenaan dengan doa hindari wabak penyakit ini dapat memberikan panduan yang berguna untuk pembaca sekalian.
Sumber:
- Ambil Iktibar Musibah Wabak Penyakit Yang Allah SWT Turunkan, Dr. Nur Mohamad Hadi Bin Zahalan. Universiti Sains Islam Malaysia
- Irsyad Al-Hadith Siri Ke-269: Doa Menolak Wabak (Ebola). Mufti Wilayah Persekutuan