Kisah Perang Badar: Peperangan Pertama Umat Islam Dalam Bulan Ramadhan

Peperangan sangat dekat membawa kehancuran dan kemusnahan harta serta jiwa seseorang. Namun, peperangan dalam Islam tidak lain untuk mempertahankan agama dan menyebarkan dakwah ke seluruh pelosok dunia. Dikatakan ada 7 buah perang yang berlaku ketika zaman Rasulullah SAW dan yang pertama adalah Perang Badar.

Artikel kali ini, kami akan berkongsi kepada anda mengenai perang ini dan fakta-fakta yang berlaku ketika itu.

Apakah Perang Badar?

Perang Badar merupakan peperangan pertama umat Islam untuk menentang kaum musyrikin. Ia berlaku selepsa hijrah (17 Ramadhan tahun kedua Hijrah bersamaan 624 Masihi) dan individu yang terlibat dalam peperangan ini adalah Rasulullah SAW sendiri bersama para sahabat.

Ia dinamakan sedemikian oleh kerana lokasi pertempurannya yang berlaku di pinggir sebuah telaga yang terletak di antara Mazkah dan Madinah yang dimiliki oleh seorang yang bernama Badr.

Kawasan Badar ini merupakan suatu kawasan yang dikelilingi oleh gunung-gunung yang tingi. 3 buah celah yang sering diperkatakan menjadi lokasi peperangan ini adalah:

  • celah dari selatan yang merupakan pinggir lembah yang jauh
  • celah dari utara yang merupakan pinggir lembah yang dekat
  • celah dari arah timur yang merupakan laluan masuk ke Madinah

Penyebab berlakunya perang ini

Setiap sesuatu yang berlaku pasti ada punca atau sebab yang membawa kepada ianya terjadi. Bagi Perang Badar, ia berlaku oleh kerana beberapa faktor iaitu.

1. Kebencian Abu Jahal terhadap Rasulullah

Susur galur keturunan Rasulullah SAW adalah dari Bani Hasyim iaitu suku Quraisy. Apabila Rasulullah sudah dilantik menjadi Nabi ketika umur baginda 40 tahun, kegiatan dakwahnya semakin giat dengan sokongan penuh yang diberikan oleh Abu Talib, pak ciknya.

Setelah kematian Abu Talib, penentangan Abu Jahal bersama kaum musyrikin semakin hebat untuk menguasai Mekah. Dakwah Rasulullah SAW ditentang habis-habisan.

Justeru itu, terbinalah satu rancangan dari Abu Jahal untuk mengusir Rasulullah dan mereka yang memperjuangkan Islam untuk keluar dari Kota Mekah.

2.Umat Islam ditindas

Proses penghijrahan umat Islam mendapat layanan yang sangat buruk dari kaum kafir Quraisy. Penghinaan satu persatu dilemparkan kepada agama Islam kerana tidak puas hati ajaran yang dibawa oleh Rasulullah ini tidak menyembah berhala Latta dan Uzza yang menjadi anutan turun-temuran dari nenek moyang lagi.

3. Perampasan harta benda dan pengusiran umat Islam

Selepas Nabi Muhammad SAW mula menyebarkan dakwah secara terang-terangan di Mekah, ramai masyarakat mula masuk agama Islam khususnya golongan kafir miskin.

Justeru ini telah menyebabkan kaum musyrikin Mekah melakukan penindasan dan menghalalkan pembunuhan kepada kaum Muslimin.

Bukan itu sahaja, penghijrahan umat Islam dari Mekah ke Madinah juga tidak dibenarkan membawa harta sehingga menjurus kepada Perang Badar yang mensasarkan harta umat Islam untuk dirampas.

Perang Badar diceritakan dalam Al-Quran

Allah SWT ada menceritakan perihal Perang Badar ini menerusi Surah Ali-Imran ayat 123 – 126:

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).

(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): “Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?

Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.

Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Apa yang berlaku dalam peperangan ini?

Kronologi peperangan ini panjang sebenarnya, namun akan diringkaskan kepada beberapa bahagian utama.

Rasulullah SAW mempelawa para sahabat untuk menyekat kafilah dagang Quraisy yang pulang dari Syam ke Mekah. Tujuan sekatan itu dilakukan adalah untuk membela nasib umat Islam dengan tidak membiarkan kerugian harta yang sudah dirampas.

Sebelum hijrah, Allah SAW memerintahkan umat Islam untuk bersabar dalam menanggung derita dalam firman Nya:

أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ قِيلَ لَهُمۡ كُفُّوٓاْ أَيۡدِيَكُمۡ وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ

Maksudnya : “Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang dikatakan kepada mereka: “Tahanlah tanganmu (dari berperang), dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat!.” – (Surah An-Nisa’, ayat 77)

Setelah hijrah, turunnya ayat dibenarkan untuk berperang sebagaimana dalam firman Allah SWT:


أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ  ٣٩ ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ ٤٠

Maksudnya : “Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, karena sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu (39) (yaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali karena mereka berkata: “Tuhan kami hanyalah Allah” (40) –  (Surah Al-Hajj : 39-40)

Maka Rasulullah SAW telah merancang untuk menyerang kabilah Abu Sufyan dari Syiria untuk mengambil semula hak mereka. Kafilah yang disertai seramai 70 orang dengan harta bernilai 50,000 dinar telah dipimpin oleh Abu Sufian bin Harb.

Abu Sufian yang sudah sedar akan rancangan itu, telah memberitahu Abu Jahal di Mekah untuk bantuan kententeraan. Seramai 950 hingga 1000 orang tentera telah dibawa.

Rasulullah SAW pula bersama tentera umat Islam lebih kurang 300 orang telah bergegas ke lembah Badar tanpa mengetahui bilangan tentera Abu Jahal. Sehinggalah baginda berjaya menangkap seorang budak suruhan barulah baginda tahu bilangan tentera kaum Musyrikin lebih kurang 1000 orang melalui bilangan unta yang mereka sembelih setiap hari.

Tidak gentar sedikit pun, Rasulullah SAW tekad untuk berperang oleh kerana kaum Musyrikin Mekah mahu memerangkap dan menghapuskan umat Islam.

Sebelum berlaku pertempuran secara besar-besaran, seramai enam orang iaitu tiga dari kaum Musyrikin dan tiga dari umat Islam telah berlawan antara satu sama lain.

Umat Islam telah diwakili oleh Saidina Ali bin Abi Talib, Saidina Hamzah bin Abd al-Muttalib dan Ubaidah bin al-Harith. Dalam masa yang sama, kaum Musyrikin pula diwakili oleh Al-Walid, Utbali dan Syaibah.

Kemenangan umat Islam

Peperangan hebat itu di atas doa Rasulullah SAW memohon pertolongan dan perlindungan Allah SWT agar umat Islam berjaya menentang kaum musyrikin.

Allah SWT seperti dalam firman Nya :

إِذۡ تَسۡتَغِيثُونَ رَبَّكُمۡ فَٱسۡتَجَابَ لَكُمۡ أَنِّي مُمِدُّكُم بِأَلۡفٖ مِّنَ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةِ مُرۡدِفِينَ  ٩

Maksudnya : “(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: “Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut.” – (Surah Al-Anfal, ayat 9)

Perang Badar berakhir dengan kemenangan umat Islam. Dianggarkan lebih kurang 70 orang kaum Musyrikin terbunuh  termasuk ketua mereka iaitu Abu Jahal dan lebih kurang 70 orang daripada mereka ditawan. 

Senarai nama para sahabat yang syahid badar

Pastinya peperangan sehebat seperti ini bakal mengorbankan nyawa dan menggugurkan para syahid. Berikut adalah senarai nama para sahabat yang meninggal syahid dalam Perang Badar:

  1. Umair bin Abi Waqas
  2. Safwan bin Wahab
  3. Dhu-Shimalayn bin ‘Abdi
  4. Mihja bin Salih
  5. ‘Aqil bin al-Bukayr
  6. ‘Ubaydah ibn al-Harith
  7. Sa’ad ibn Khaythama
  8. Mubashir ibn ‘Abd al-Mundhir
  9. Haritsah ibn Suraqah
  10. Rafi ‘ibn Mu’ala
  11. Umayr ibn Humam
  12. Yazid bin al-Harits
  13. Mu’awidh ibn al-Harith 
  14. ‘Awf ibn al-Harits.

Pengajaran yang boleh diambil

Pengajaran terbesar yang boleh kita pelajari dari Perang Badar adalah untuk sentiasa mengingati Allah SWT dalam keadaan apa jua baik susah mahupun senang.

Umat Islam juga haruslah sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT dengan tidak menyalahkan takdir yang berlaku dalam kehidupan kita. Sesungguhnya apa jua yang telah Allah tetapkan dalam hidup kita adalah yang terbaik di sisi Allah.

Rujukan:

  1. Perang Badar Perang Penentuan. Abdul Latip Talib. PTS Publication
  2. Perang Badar: Titik Penting Sejarah Dunia. Indahnya Islam
  3. Perang Badar dan Uhud: Satu Analisis Strategi Peperangan dan Pertahanan Nabi Muhammad SAW. USIM
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.