Doa Pilihan Raya & Doa Agar Dapat Pemimpin Yang Baik, Elak Keliru Memilih

Negara Malaysia bakal mengadakan Pilihan Raya Malaysia tidak lama lagi. Pastinya kita sebagai rakyat Malaysia yang tinggi semangat nasionalismanya mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memilih masa depan dan hala tuju negara ini. Namun kita tidak lari dengan hakikat manusia yang serba kekurangan dalam memilih yang terbaik. Artikel pada kali ini akan berkongsi kepada anda doa pilihan raya dan doa mendapat pemimpin yang baik untuk anda amalkan sebelum keluar mengundi.

Pilihan Raya Malaysia (PRU)

Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di bawah raja berperlembagaan. Individu penting dalam negara selainSeri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sudah semestinya Perdana Menteri.

Setiap 5 tahun sekali, pilihan raya akan dibuat untuk memilih calon-calon yang sesuai dan menjadi pilihan rakyat dalam parlimen.

Hukum mengundi

Terdapat perselisihan pendapat mengenai hukum mengundi. Namun begitu, ramai ulama yang mengatakan bahawa mengundi ini sebagai persaksikan kepada calon yang layak diberi mandat.

Justeru, ini juga bertepatan dengan pandangan yang dikeluarkan oleh Imam Hassan al-Banna, Sheikh Yusuf al-Qaradawi, Sheikh Ali Jum’ah dan Sheikh Ahmad Tayyib.

Warganegara yang layak dan bijak wajib untuk mengundi pemimpin yang layak dan adil. Hukumnya, wajib. Sebab, mengundi itu persaksian kepada calon yang layak.

Imam Hassan al-Banna berkata, “Memberikan undian adalah suatu penyaksian, manusia akan ditanya akannya (calon mana yang akan dipilih dan kenapa), maka putuslah untuk memberikan undian berdasarkan hati-hati kamu dan akal kamu, dan jadilah orang yang membantu akan kebenaran dan berani dalam memilih calon yang baik (serta amanah).”

Wajib hukumnya kita mengundi dengan adil. Namun jika terdapat unsur emosi, iri hati, dengki dan sebagainya, hukumnya adalah haram kerana ia akan memberi kesan kepada masyarakat dan kehancuran negara sendiri.

Doa pilihan raya

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ

Allahumma arinal haqqo haqqon warzuqnat tiba’ah wa arinal bathilan warzuqnaj tina bah

Maksudnya: “Ya Allah tunjukkanlah kepada kami yang benar itu benar dan bantulah kami untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kepada kami yang batil itu batil dan bantulah kami untuk menjauhinya.”

Doa mendapat pemimpin yang baik

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Allahumma walla umurona khiyarona wala tuwalla umurona syiro rona

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang terburuk di kalangan kami.”

Calon mana yang tidak layak dipilih menurut mufti?

1. Calon yang telah menzahirkan permusuhan dengan Islam

Allah menyebut dalam al-Quran Surah Ali ‘Imran ayat 118:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi bitanah (orang penting yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu.

Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulut mereka, dan apa yang dada mereka sembunyikan itu lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) berakal”.

2.  Calon yang jelas menyokong pihak yang memusuhi Islam

Dalam Surah al-Nisa ayat 138-140, Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang perit; (139) (Iaitu) Mereka yang mengambil golongan kafir (anti-Islam) menjadi teman setia dengan meninggalkan mereka yang beriman.

Adakah mereka (orang-orang munafik) mencari izzah (kekuatan dan kemuliaan) di sisi orang-orang kafir itu, padahal sesungguhnya izzah (kekuatan dan kemuliaan) itu semuanya ialah milik Allah.

Dan sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain;

kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang manufik dan orang kafir di dalam neraka Jahannam.”

3. Calon yang ada/berpotensi melakukan rasuah atau salahguna kuasa

Sabda Nabi SAW:


وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ مَا كَانَ يَظُنُّ أَنْ تَبْلُغَ مَا بَلَغَتْ يَكْتُبُ اللَّهُ لَهُ بِهَا سَخَطَهُ إِلَى يَوْمِ يَلْقَاهُ

Maksudnya: “Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat dari kemurkaan Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan  untuknya sehingga hari dia bertemu Allah.” – (Hadis Riwayat Malik dan al-Tirmizi)

4. Calon yang menzahirkan sikap zalim dalam pengurusan atau pentadbiran

Firman Allah Surah al-Maidah, ayat 8:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu membawa kamu kepada tidak melakukan keadilan.

Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

5. Calon yang mempunyai rekod perkhidmatan yang buruk

Sabda Nabi SAW:

لاَ يُلْدَغُ المُؤْمِنُ مِنْ جُحْرٍ وَاحِدٍ مَرَّتَيْنِ

“Seorang mukmin tidak disengat dari satu lubang sebanyak dua kali” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

6. Calon yang zahir tanda tidak berkeupayaan untuk menjalankan peranannya

Sabda Nabi SAW:

وَمَنْ أَشَارَ عَلَى أَخِيهِ بِأَمْرٍ يَعْلَمُ أَنَّ الرُّشْدَ فِي غَيْرِهِ فَقَدْ خَانَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang memberikan pendapat untuk saudaranya dalam sesuatu perkara sedangkan dia tahu bahawa kebaikan itu pada perkara yang lain (pendapat lain) maka dia telah mengkhianatinya.” – (Hadis Riwayat Abu Daud, dinilai sebagai hasan).

7. Calon yang mempunyai latar suka berbohong

Sabda Nabi SAW:

وَإِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ، فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ، وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَكْذِبُ وَيَتَحَرَّى الْكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّابًا

Maksudnya: “Jauhilah kamu daripada berbohong. Sesungguhnya pembohongan membawa kepada kejahatan. Sesungguhnya kejahatan membawa kepada neraka. Seseorang itu selalu berbohong dan berusaha untuk berbohong sehingga ditulis di sisi Allah sebagai pembohong.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tambahan lagi, kata Khalifah Abu Bakr al-Siddiq ketika memberikan ucapan sebagai khalifah:

الصدق أمانة والكذب خيانة

“Benar adalah amanah dan dusta adalah khianat.” – (Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah, 4/232. Beirut: Dar al-Khair)

Semoga perkongsian artikel berkenaan dengan doa pilihan raya ini dapat memberikan anda pengetahuan dan informasi yang bermanfaat. Kita sama-sama doakan yang terbaik demi masa depan generasi akan datang dan keamanan negara ini.

Sumber:

Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.