6 Doa Minta Jodoh Dalam Islam Agar Dipertemukan Dengan Pasangan Terbaik

Berkahwin adalah salah satu cara berkembangnya agama Islam ini. Oleh yang demikian, wajarlah Islam amat menggalakkan untuk kita berkahwin dan mendirikan rumah tangga. Namun tidak semua dari kita dipermudahkan untuk bertemu dengan jodoh yang terbaik. Sebagai manusia kita semestinya perlu berusaha dan berdoa agar dipertemukan dengan pasangan yang terbaik. Artikel pada kali ini akan berkongsi kepada anda, 6 doa minta jodoh dalam Islam.

Definisi perkahwinan dalam Islam

Perkahwinan dari segi istillahnya adalah akad yang menghalalkan di antara lelaki dan perempuan hidup bersama dan menetapkan tiap-tiap pihak daripada mereka hak-hak dan tanggungjawab.

Lafaz nikah atau ijab dan qabul ini menjadi akad yang menghalalkan hubungan lelaki dan perempuan yang dulunya ajnabi kini menjadi sah.

Tuntutan berkahwin

Dalam Al-Quran, banyak disebutkan perihal berkahwin ini untuk semua umat Islam. Pensyariatan perkahwinan dianjurkan secara langsung mahupun tiada langsung kepada manusia bersesuaian dengan fitrah semula jadi mereka.

Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisaa, ayat 3:

Maksudnya: “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil (bila menikah) anak-anak yatim, maka nikahilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Tetapi, jika kamu takut tidak dapatberlaku adil, maka seorang sajalah, atau hamba sahaya yang kamu miliki. Yang demikian itulah yang lebih memungkinkan kamu terhindar dari berlaku sewenang-wenangnya.”

Dari Anas bin Malik ra berkata: “Rasulullah saw memerintahkan kami untuk menikah dan melarang membujang dengan larangan yang keras.” Nabi saw bersabda:

تَزَوَّجُوا الْوَدُوْدَ الْوَلُوْدَ، فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ اْلأَنْبِيَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Kahwinlah kamu dan beranak pinaklah kamu kerana sesungguhnya aku berbangga kerana banyak bilangan kamu pada hari kiamat kelak.” – (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Perkahwinan menjadi sunnah Nabi Muhammad SAW. Banyak hikmah berkahwin yang boleh kita perolehi termasuklah kebahagiaan, ketenangan, dan keimanan.

Himpunan doa minta jodoh

Berikut adalah beberapa doa minta jodoh yang ada dicatatkan dalam Al-Quran untuk kita amalkan.

1. Surah Al-Anbiya, ayat 89

رَبِّ لَا تَذَرْنِيْ فَرْدًا وَّاَنْتَ خَيْرُ الْوٰرِثِيْنَ

Rabbi la tazarni fardan. Wa anta khirul warisin

Maksudnya: “Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan aku hidup seorang diri (tanpa keturunan) dan Engkaulah Pewaris yang terbaik.”

2. Surah Furqan, ayat 74

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ اَزْوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعْيُنٍ وَّاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ اِمَامًا

Rabbana hab lana. Min azwajina. Wa dzurriyyatina. Qurro ta a’yun. Waj ‘alna lil muttaqina imama

Maksudnya: “..Ya Tuhan, anugerahkan kepada kami isteri dan zuriat yang menyejukkan (hati) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertaqwa..”

3. Surah Al-Qasas, ayat 24

رَبِّ اِنِّيْ لِمَآ اَنْزَلْتَ اِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيْرٌ

Rabbi inni. Lima anzalta. Ilayya min. Khairin faqir

Maksudnya:“Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan suatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.”

4. Doa minta jodoh untuk perempuan

رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ زَوْجًا طَيِّبًا أَخْطُبُهَ وَأَتَزَوَّجُ بِهِ وَيَكُوْنُ صَاحِبًا لِى فِى الدُنْيَا وَالْأَخِرَة

Robbi hablii milladunka zaujan thoyyiban wayakuuna shoohiban lii fiddini waddunya wal aakhiroh

Maksudnya: “Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku suami yang terbaik dari sisi Mu, suami yang juga menjadi sahabatku dalam urusan agama, urusan dunia, dan akhirat.”

5. Doa minta jodoh untuk lelaki

رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ زَوْجَةً طَيِّبَةً أَخْطُبُهَا وَأَتَزَوَّجُ بِهَا وَتَكُوْنُ صَاحِبَةً لِى فِى الدُنْيَا وَالْأَخِرَةِ

Robbi hablii milladunka zaujatah thoyyibah akhtubuhaa wa atazawwaju biha watakunu shoohibatan lii fiddini waddunyaa wal aakhiroh.

Maksudnya: “Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku istri yang terbaik dan sisi Mu, istri yang aku lamar dan nikahi dan istri yang menjadi sahabatku dalam urusan agama, urusan dunia, dan akhirat.”

6. Doa minta jodoh oleh Tuan Guru Dr Harun Din

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah dia dikasihi pada hati-hati mereka yang beriman dan gembirakanlah dia dengan kekayaan sehingga memperolehi seratus dua puluh kebaikan. Allah adalah sebaik-baik pemelihara dan Dia amat mengasihi daripada segala-galanya.”

Jangan berputus asa soal jodoh

Bagi yang belum lagi mendapatkan jodoh, usahlah kalian risau. Hal ini kerana, jodoh sudahpun Allah tetapkan kepada diri masing-masing ribuan tahun sebelum kita lahir. Hanya sahaja mungkin rezeki itu belum sampai pada masanya untuk kita dapatkan kerana masih terdapat urusan lain yang perlu diselesaikan.

Insha Allah, bila tiba masanya kita juga dapat menikmati kebahagiaan memiliki pasangan dan mendirikan rumah tangga.

Sumber:

  1. Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-577: Jodoh Tak Lekat, Silap Siapa? Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Jom Ketahui Tujuan Konsep Perkahwinan Dalam Islam. Bidadari.My
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.