Imam Abu Hanifah: Biografi dan Sejarah Hidupnya

Artikel pada kali ini, kita akan mengupas tentang sejarah dan kehidupan tokoh Imam Abu Hanifah secara lengkap tetapi ringkas.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsian artikel ini sehingga ke penghujung.

Biodata Imam Abu Hanifah

Imam Abu Hanifah
  • Nama sebenar:  Nu’man bin Thabit bin Zuta bin Mah al-Taymi al-Kufi atau dalam riwayat lain adalah al-Nu’man bin Thabit bin al-Nu’man bin al-Marzuban. 

  • Tempat lahir: Kufah, Iraq ketika zaman pemerintahan ‘Abd al-Malik bin Marwan (khalifah kelima dari Dinasti Umaiyah).

  • Tarikh dilahirkan: tahun 80 Hijrah bersamaan 5 September 699 Masihi.

  • Keturunan: satu-satunya daripada imam 4 mazhab yang bukan keturuna Arab tetapi berketurunan Parsi.

  • Tarikh meninggal dunia: tahun 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi.

  • Tempat dimakamkan: Kota Baghdad.

  • Pengasas: Mazhab Hanafi.

Sifat peribadi

Berikut adalah sifat peribadi Imam Ahmad yang boleh kita contohi.

1. Waraq dan mulia

Suatu hari dikisahkan beliau mempunyai seorang jiran yang mabuk. Jiran ini akan mabuk setiap malam sambil menyanyi “semua orang abaikan aku..semua orang abaikan aku…”

Dalam keheningan malam, pemabuk ini sudah semestinya menganggu ketenteraman penduduk setempat. Jiran yang paling dekat dengannya tidak lain adalah beliau sendiri.

Sehinggalah pada satu malam, Abu Hanifah tidak mendengari nyanyian pemabuk tersebut.

Sekiranya kita ditempat beliau sudah tentu kita berasa sangat lega dan berpuas hati. Tetapi tidak bagi Abu Hanifah.

Apabila diselidik tahulah beliau bahawa pemabuk tersebut telah ditangkap oleh pihak berkuasa. Lalu imam bergegas ke rumah Gabenor Kufah pada ketika itu.

Sebagai seorang Imam besar yang terkenal, kedatangan beliau disambut baik oleh Gabenor. Dengan rasa curiga gabenor terbabit menanyakan urusan kedatangan Abu Hanifah.

Beliau memohon supaya jirannya dibebaskan. Gabenor tersebut berasa hairan mengapa beliau ingin memberi syafaat kepada jirannya sedangkan dia selalu mengganggu ketenteraman dia sendiri?

Imam Abu Hanifah

Balas Imam, kerana dia adalah jiran aku dan jiran mempunyai hak untuk dibela dan diberikan ihsan dan aku tidak mahu termasuk daripada golongan orang yang mengabaikan hak jiran, sementara Rasulullah SAW bersabda:

من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليحسن إلى جاره

Maksudnya: "Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berlaku ihsan terhadap jirannya." - (Hadis Riwayat Muslim)

Setelah dibebaskan, si pemabuk terbabit datang berjumpa dengan Abu Hanifah, lalu ditanya,

“Bagaimana sekarang? Adakah orang mengabaikan kamu atau mengambil berat terhadap kamu?” lalu si pemabuk tersebut tunduk dan berjanji untuk mendampingi Imam dalam majlis ilmunya selepas ini.

2. Pendebat yang hebat

Imam Abu Hanifah

Pada suatu hari dikisahkan, beliau berdebat dengan para ateist yang tidak mempercayai kewujudan tuhan. Beliau memberi satu analogi dalam perdebatannya.

“Bagaimanakah pendapat kamu, sekiranya ada sebuah kapal yang berlayar di tengah lautan. Kapal itu padat dengan para penumpang dan barang-barang mereka.

Kapal itu berlayar berhari-hari lamanya menuju ke pelabuhan, berserta angin yang kencang dan ombak yang bergelora. Akhirnya, mereka berjaya sampai ke pelabuhan dengan selamat.

Tetapi apabila diperiksa kapal itu tidak mempunyai nakhoda. Bahkan kapal itu berlayar sendiri membawa penumpang di dalamnya. Bagaimana menurut kamu cerita saya?”

Kesemua ateist tersebut mengingkari cerita beliau. Mereka mengatakan bahawa itu adalah suatu perkara yang mustahil.

Abu Hanifah membenarkan pengakuan mereka seraya menjawab.

“Sedangkan kapal yang tidak mempunyai apa-apa ini sudah mustahil berlayar sendiri, bagaimanakah dengan alam semesta yang sebegini luas, adakah mungkin kesemua ini tiada pencipta dan pengaturnya?”

Mereka semua terdiam dan tunduk patuh atas hujah imam, lalu memeluk agama islam sesudahnya.

3. Berani menegakkan kebenaran

Beliau tidak gentar utuk mempertahankan harga diri dan kesucian Islam jika didapati apa yang melawannya adalah kezaliman terhadap agama yang dicintainya itu.

Walaupun yang melawan itu adalah seorang pemerintah, beliau rela menanggung keperitan seksaan dan bahaya dari tidak amanah dengan tanggungjawab sebagai seorang imam.

4. Usahawan berjaya yang dermawan

Berasal dari keluarga seorang pedang yang berjaya. Ayah dan datuknya sebenarnya merupakan seorang pedagang kain.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah darah seorang ahli perniagaan itu sudah lama mengalir dalam dirinya.

Apatah lagi sejak kecil sudah pun terdidik dengan matlamat untuk menyambung legasi keluarganya itu.

Ujian dan cabaran

Beliau pernah ditangkap, dipenjara, dicambuk, diseksa, dan dipaksa minum racun oleh pemerintah lalu yang telah meninggal dunia kerana tidak bersetuju dengan dasar-dasar pemerintah.

Latar belakang pendidikan

Bermula dengan menghafal Al-Quran sejak kecil, beliau seterusnya belajar agama dari pelbagai ulama terkemuka di Kota Kufah.

Beliau menunjukkan minat yang tinggi akan ilmu pengetahuan khususnya hukum Islam.

Di samping itu, beliau turut mendalami ilmu tafsir, hadis, Bahasa Arab, dan ilmu hikmah yan telah membawanya sebagai seorang ahli fiqh.

Kemampuan dan kepakarannya sendiri diakui ulama sezamannya iaitu Imam Hammad bin Abi Sulaiman.

Guru-guru dan pendidik Imam Abu Hanifah

Beliau sempat untuk berjumpa dengan 9 atau 10 orang sahabat Nabi SAW seperti Anas Bin Malik, Sahl bin Sa’d, Jabir bin Abdullah, dan ramai lagi.

Bahkan ketika berusia 16 tahun ketika berziarah ke Kota Madinah, sempat beliau berguru dengan tokoh tabi’in seperti Atha bin Abi Rabah yang merupakah salah seorang ulama terbaik di Kota Mekah pada masa itu.

Dikatakan jumlah guru beliau adalah sebanyak 4,000 orang.

Daripada jumlah itu, 7 orangnya adalah dari sahabat Nabi SAW, 93 orang dari kalangan tabi’in, sedangkan selebihnya dari kalangan tabi’ at-tabi’in.

Guru beliu memang ramai kerana beliau sendiri merantau dan berkunjung ke pelbagai kota demi mencari ilmu pengetahuan dari para ilmuan dan agamawan.

Antara guru beliau adalah seperti:

  • Asy-Sya’bi
  • Adi bin Tsabit
  • Abdurrahman bin Hurmuj al-A’raj
  • Amru bin Dinar
  • Abu Ja’far Al-Baqir
  • Ibnu Syihab Az-Zuhri
  • Muhammad bin Munkandar dan sebagainya.

Kehebatan beliau telah dipuji oleh Imam Syafie:

“Abu Hanifah adalah tokoh seluruh ulama fiqah.”

Murid-murid Imam Abu Hanifah

Dikatakan dalam satu riwayat bahawa beliau mula mengajar kira-kira pada tahun 120 Hijrah di usia 40 tahun, selepas daripada kewafatan guru tercintanya iaitu Hamad bin Sulaiman.

Sebelum menceburi bidang pendidikan beliau sudah lama terlebih dahulu menceburi bidang perniagaan.

Secara umumnya, murid-murid Imam Abu Hanifah boleh dikategorikan kepada dua golongan iaitu mereka yang melazimi beliau sehingga beliau wafat dan mereka yang belajar dengan beliau dalam tempoh masa tertentu sahaja kemudian pulang semula ke negeri asal membawa pendekatan serta ilmu yang diajarkan Imam Abu Hanifah.

Abu Yusuf adalah contoh murid beliau yang setaraf dengannya. Abu Yusuf bahkan pernah dilantik sebagau ketua hakim dengan gelaran Qadi-al-Qudah.

Abu Yusuf ada meriwayatkan:

Tidak ada di dunia ini suatu majlis yang lebih aku sukai selain daripada pengajaran Abu Hanifah dan Ibn Abi Layla.

Sesungguhnya aku tidak dapati seorang yang lebih dalam ilmunya selain dari Abu Hanifah dan tidak ada seorang qadi yang paling baik selain Ibn Abi-Layla.”

Antara murid beliau yang terkenal adalah seperti:

  • Zufar bin al-Hudhayl (mahir dalam qiyas)
  • Abd Allah bin Mubarak (mahir bidang hadis dan fiqh)
  • Ya’qub bin Ibrahim bin Habib al-Ansari (pakar bidang sejarah)
  • Muhammad bin al-Hassan al-Syaibani (guru Imam Syafie)
  • Al-Hakam bin Abdullah bin Salamah al-Balkhi (meriwayatkan kitab al-Fiqh al Akbar II)
  • Al-Hassan bin Ziyad al-Lu’lu’i al-Kufi (mahsyur dalam meriwayatkan pendapat Abu Hanifah)
  • Hafs Bin Salam al-Samarqandi (terkenal dengan gelaran Abu Muqatil)

Karya yang dihasilkan

Secara keseluruhannya, Imam Abu Hanifah telah menghasilkan 23 karya merangkumi ilmu akidah, fiqh, pendidikan, dan hadis. Kitab yang paling mahsyur adalah Fiqh al-Akbar.

Beliau mengasaskan fatwa berdasarkan fatwa para sahabat (Aqwal Sahabat), qias, istihsan, ijmak, dan uruf.

Yahya bin Ma’in pernah berkata:

“Abu Hanifah adalah orang yang tsiqah. Dia tidak membicarakan hadis kecuali yang dia hafal dan tidak membicarakan apa-apa yang tidak dihafal.”

Selain itu beliau juga menulis kitab lain seperti:

  • Al-Fiqh al-Absat
  • Risalah ila ‘Uthman al-Batti
  • Wasiyyah Abu Hanifah fi al-Tauhid
  • Al-Alim wa al-Muta’allim

Kesimpulannya, Imam Abu Hanifah adalah seorang tokoh yang sangat hebat tetapi zuhud dalam perjuangannya memartabatkan Islam.

Sumbangan beliau pastinya meninggalkan kesan yang sangat besar kepada umat Islam di seluruh dunia.

Sumber:

  1. Biografi Imam Abu Hanifah. Abdul Aziz Asy-Syinawi
  2. Ketokohan Imam Abu Hanifah Al-Nu’man (M.150h/767M) Dalam Bidang Pendidikan – Mohd Anuar Mamat
  3. Biografi Abu Hanifah, Ulama Terkenal Bidang Ilmu Fiqih. Republika
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.