Rukun Umrah & Syarat Wajib Umrah Yang Perlu Anda Tahu
Rukun umrah yang digariskan dalam Islam ada lima keseluruhannya.
Sebelum mengerjakan ibadah umrah, adalah sangat penting untuk kita menguasai perkara-perkara penting dan larangan yang perlu kita elakkan semasa melakukan ibadah ini di tanah suci.
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai rukun umrah, syarat wajib umrah, perkara sunat dalam umrah, dan hikmah yang boleh diperoleh.
Baca juga:
Pengertian umrah
Umrah ialah mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah pada bila-bila masa untuk mengerjakan ibadah-ibadah tertentu menurut syarat-syaratnya.
Hukum menunaikan ibadah umrah adalah wajib sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan.
Umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun kecuali bagi orang yang berada dalam ihram haji.
Ibadah umrah tidak perlu berwukuf di Arafah, Mabit di Muzdalifah dan Mina serta melontar di Jamrah.
Persediaan sebelum umrah
- Mendekatkan diri dengan Allah seperti berzikir, baca Al-Quran dan memperbanyakkan berdoa.
- Melakukan senaman fizikal seperti berjalan kaki 5 km seperti jarak berjalan semasa umrah.
- Mendapat nasihat doktor bagi masalah kesihatan yang berat.
- Menambah ilmu dan pengalaman dari orang yang arif.
- Belajar solat jenazah dan solat atas kapal terbang.
Rukun umrah
Rukun umrah merujuk kepada elemen-elemen yang harus dilakukan dalam haji. Jika tidak, umrah dianggap tidak sah.
Berikut adalah rukun umrah yang perlu anda tahu:
1. Niat ihram
Berniat di tempat miqat yang telah ditentukan seperti Bir Ali atau Zulhulaifah, ini adalah bagi jemaah yang datang dari arah Madinah.
Yalamlam / Qarnul Manazil, bagi jemaah yang masuk ke Mekah melalui Malaysia, wajib berniat ihram sebelum pesawat Qarnul Manazil.
Selain itu, perbanyakkan juga talbiah semasa ihram seperti yang berikut:
لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَشَرِيْكَ لَكَ
Wajib meninggalkan perbuatan pantang larang dalam ihram seperti:
- Memakai pakaian berjahit atau bersarung seperti baju, seluar, kain pelikat dan sebagainya.
- Menutup kepala atau sebahagian daripada kepala.
- Memakai sarung tangan.
- Memakai wangi-wangian.
- Memakai minyak pada bahagian tubuh.
- Menanggalkan rambut atau bulu daripada mana-mana anggota badan.
- Mengerat atau memotong kuku.
- Memotong / menebang / mengerat / mencabut pokok-pokok di Tanah Haram Mekah.
- Memburu binatang.
- Lakukan permulaan persetubuhan.
- Bersetubuh.
- Berkahwin atau mengahwinkan atau menerima wakil kahwin.
2. Tawaf
Tawaf dalam hal ini terbahagi kepada tiga iaitu niat dalam hati, syarat tawaf serta sunat semasa dan selepas tawaf.
Syarat tawaf adalah seperti yang berikut:
- Suci daripada hadas besar dan kecil.
- Suci daripada najis, pakaian, badan, dan tempat.
- Menutup aurat sebagaimana di dalam solat.
- Tawaf hendaklah dimulakan pada sudut Hajar Aswad.
- Sewaktu berjalan melakukan tawaf, Baitullah hendaklah sentiasa berada di sebelah kiri bahu.
- Berjalan dengan tujuan tawaf.
- Cukup tujuh kali tawaf dengan yakin.
- Tawaf hendaklah dilakukan di dalam masjid dan di luar bahagian Kaabah seperti Hijir Ismail dan Syazarawan.
Antara sunat semasa dan selepas tawaf adalah seperti:
- Idtiba’ bagi lelaki sepanjang tujuh tawaf.
- Berjalan cepat bagi lelaki bagi 3 pusingan pertama.
- Menyentuh rukun Yamani dengan tangan kanan.
- Istilam (mengusap) dan mencium Hajar Aswad.
- Solat 2 rakaat selepas tawaf di belakang Maqam Ibrahim.
- Minum air zamzam lalu menyiramkam air di atas kepala setelah selesai solat sunat 2 rakaat.
- Menghadap Hajar Aswad ketika memulai tawaf dan mengangkat tangan sambil bertakbir ketika menghadap Hajar Aswad.
- Tiada doa dan zikir khusus sepanjang tawaf. Boleh berdoa, zikir, dan membaca Al-Quran.
- Membaca doa di bawah ini antara Rukun Yamani dan Rukun Hajar Aswad:
رَبَّنَا آتِنَا فِىْ الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِىْ الآخِرَةِ حَسَنَةً وَّقِنَا عَذَابَ النَّارِ
3. Sa’i
Syarat sa’i adalah seperti yang berikut:
- Hendaklah dilakukan selepas melakukan tawaf.
- Mula daripada Bukit Safa dan disudahi di Bukit Marwah.
- Cukup 7 kali dengan yakin, iaitu dari Safa ke Marwah sekali dan Marwah ke Safa sekali.
- Hendaklah sa’i sehingga sampai ke penghujung tempat sa’i di Bukit Safa dan Bukit Marwah.
- Hendaklah sa’i di tempat yang ditentukan.
- Mengekalkan niat untuk bersa’i sepanjang masa melakukan sa’i.
4. Tahalul
Bertahalul ini adalah bercukur botak atau memotong pendek rambut bagi lelaki. Manakala bagi wanita pula cukup sekadar mengguntingkan beberapa helai rambut.
Biasanya kita perlu gunting rambut sendiri terlebih dahulu sebelum potong rambut orang lain.
5. Tertib
Menunaikan umrah mengikut urutan bermula dengan niat, tawaf, sa’i dan bertahalul.
Syarat sah umrah
Syarat-syarat sah haji dan umrah itu adalah sama sahaja iaitu:
- Orang Islam: Tidak wajib atas orang kafir dan murtad.
- Baligh: Tidak wajib atas kanak-kanak tetapi sah hajinya dan tidak gugur wajibnya bila baligh.
- Berakal: Tidak wajib atas orang gila dan jika dilakukan juga, tidak sah hajinya.
- Merdeka (bukan hamba): Hamba abdi tidak diwajibkan, tetapi sah hajinya dan diberi pahala.
- Berkuasa dan berkemampuan (istito’ah)
Syarat wajib umrah
Wajib umrah terbahagi kepada dua perkara iaitu berniat ihram di Miqat dan meninggalkan perkara-perkara yang di larang semasa ihram.
1. Niat di Miqat
Miqat bermaksud sempadan bagi ibadat haji ataupun umrah. Jika kita berniat selepas Miqat, maka kita dikehendaki untuk membayar dam iaitu denda.
Dua jenis miqat iaitu tempat penduduk luar Mekah dan tempat penduduk di dalam Mekah.
Bagi miqat makani (tempat penduduk luar Mekah), antara miqat yang perlu anda tahu adalah:
- Juhfah: Tempat miqat bagi penduduk Syam
- Abyar Ali (Zul Hulaifah): Tempat miqat bagi penduduk Madinah di Zul Hulaifah.
- Qarnul Manazil: Tempat miqat bagi penduduk Najd
- Zaitul Irzin: Tempat miqat bagi penduduk Iraq
- Yalamlam: Tempat miqat bagi penduduk Yaman
2. Meninggalkan perkara larangan ihram
Perkara yang dilarang ketika ihram adalah seperti yang dinyatakan tadi di atas.
Perkara sunat dalam umrah
Antara perkara sunat umrah adalah:
- Memotong kuku
- Memotong bulu ketiak dan ari-ari
- Menyikat misai, janggut, dan rambut
- Memakai bau-bauan di tubuh
- Memakai minyak rambut
- Mandi sunat ihram
Perbezaan haji & umrah
Perbezaan | Haji | Umrah |
---|---|---|
Pengertian | Mengunjungi Baitullah (Kabah) pada masa-masa tertentu (bulan haji, Zulhijah) serta melaksanakan perkara-perkara yang wajib bagi ibadah haji | Mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah pada bila-bila masa untuk mengerjakan ibadah-ibadah tertentu menurut syarat-syaratnya |
Tempoh masa | Dikerjakan pada bulan haji sahaja, iaitu bermula 1 Syawal sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah | Pada bila-bila masa sepanjang tahun |
Hukum | Wajib bagi setiap individu | Sunat dilakukan jika berkemampuan (mengikut sebahagian pendapat) |
Waktu wukuf | Wukuf di Arafah pada hari 9 Zulhijjah, bermalam di Muzdalifah dan di Mina serta melontar jamrah | Tiada wukuf serta perkara-perkara yang disebutkan tadi |
Rukun | Rukun haji ada lima iaitu ihram, wukuf di Arafah, tawaf, sa’ie dan tahallul | Rukun umrah hanya empat iaitu ihram, tawaf, sa’i dan tahallul. |
Hikmah mengerjakan ibadah umrah
Selain merupakan ibadah yang paling baik, umrah juga memberikan banyak manfaat kepada umat Islam yang mengerjakannya.
1. Ganjaran pengampunan dosa
Dalam sebuah hadis, dari Abu Hurairah RA, beliau berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda,
“Daripada satu umrah ke satu umrah adalah penghapus dosa antara keduanya dan tidak ada balasan bagi haji yang mabrur melainkan syurga.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
2. Menyamai pahala haji bagi umrah di bulan Ramadhan
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya:
“Melakukan umrah pada bulan Ramadhan menyamai ibadah haji.” – (Hadis Riwayat Muslim)
3. Menjadi tetamu agung Allah
Di dalam Ihya’ Ulumiddin, Jarir bin Abdillah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:
“Tetamu Allah ada tiga golongan iaitu orang yang berhaji, berumrah dan berperang.”
4. Syiar perpaduan umat Islam
Hikmah berikutnya adalah ia mengajarkan kita tentang konsep perpaduan ummah dari ibadah umrah ini.
Syiar perpaduan ummah tercerna menerusi kesatuan hati seluruh umat Islam bagi menyempurnakan ibadah agama yang diperintahkan ke atas mereka.
Setiap Muslim dari pelbagai rupa dan keturunan akan bersama-sama berkumpul menyempurnakan kewajipan agama dengan rasa persamaan sebagai makhluk insan di bumi ini.
Kesimpulan
Kesimpulannya, ibadah umrah adalah bentuk ibadah yang penuh makna dan hikmah, serta menjadi salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai rukun umrah, dan syarat-syarat wajib serta sah yang dikongsikan ini dapat memberikan anda informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat.
Dapatkan panduan meraih umrah yang mabrurah di sini untuk memudahkan anda membuat rujukan dan semakan.
Sumber:
- Definisi Haji dan Umrah. Jawhar
- Edisi Istimewa Haji dan Umrah. Galeri Ilmu Sdn Bhd
- Soal Jawab Haji & Umrah. Maktabah Al Bakri