Surah Ad-Dhuha Dalam Teks Arab & Rumi Berserta Kelebihannya
Artikel ini akan berkongsi kepada anda serba sedikit mengenai inti pati surah Ad-Dhuha yang sepatutnya anda perlu tahu. Di sini juga disediakan audio bacaan Surah Ad-Dhuha dalam bentuk MP3 dan juga teks bacaannya dalam rumi untuk memudahkan pembacaan.
Asal usul surah Ad-Dhuha
Antara surah yang sangat popular dan kerap dibaca oleh kita adalah surah Ad-Dhuha. Surah ini mempunyai 11 ayat dan merupakan surah ke 93 dalam turutan surah-surah di dalam Al-Quran.
Ia dinamakan Ad-Dhuha yang bermaksud waktu dhuha oleh kerana pada awal surah ini, Allah bersumpah dengan waktu yang tersebut.
Ia diturunkan di Mekah sebelum penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah. Asbabun Nuzul surah ini diturunkan ada disebut dalam sebuah hadis dari Jundub bin Abdillah bin Sufyan al Bajli RA, ia berkata:
اِحْتَبَسَ جِبْرِيْلُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ، فَقَالَتْ اِمْرَأَةٌ مِنْ قُرَيْشٍ: أَبْطَأَ عَلَيْهِ شَيْطَانُهُ. فَنَـزَلَتْ: وَالضُّحَى. وَاللَّـيْلِ إِذاَ سَجَى. مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَى
Maksudnya: “Jibril AS tertahan (tidak kunjung datang) kepada Nabi SAW, lalu berkata seorang wanita dari Quraisy : “Setannya terlambat datang kepadanya,” maka turunlah :
Demi waktu matahari sepenggalahan naik. Dan demi malam apabila telah sunyi. Rabb-mu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu.
(Hadis Riwayat Bukhari (1/378 no. 1073, 4/1892 no. 4667, 4/1906 no. 4698), Muslim (3/1421-1422 no. 1797), dan lain-lain. Lihat pula ash Shahih al Musnad min Asbab an Nuzul, hlm 267 dan al Isti’aab fii Bayan al Asbaab (3/520)).
Surah ini diturunkan untuk memberikan hiburan kepada Nabi SAW atas celaan orang-orang musyrik Quraisy yang menghina baginda. Dalam masa yang sama ia juga untuk membantah segala celaan mereka, dan menyakinkan bahawa Allah tidak meninggalkan ataupun membenci Muhammad SAW.
Ringkasan surah
Surah Ad-Dhuha mengajarkan kita tentang adanya rahmat Allah kepada manusia. Isi penting pada surah ini Allah SWT menerangkan berkali-kali tidak akan meninggalkan Nabi Muhammad SAW dan orang beriman.
Ini adalah isyarat daripada Allah SWT bahawa Nabi Muhammad SAW dan dakwahnya akan bertambah baik dan berkembang.
Selain itu, ada juga diingatkan tentang larangan menghina anak yatim dan mengherdik orang-orang yang meminta-minta dan perintah menyebut-nyebut nikmat yang diberikan Allah sebagai tanda bersyukur.
Bacaan surah Ad-Dhuha
وَالضُّحٰىۙ
Wad duhaa
Demi waktu dhuha
وَالَّيْلِ اِذَا سَجٰىۙ
wal laili iza sajaa
Dan malam apabila ia sunyi-sepi
مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلٰىۗ
Ma wad da’aka rabbuka wa ma qalaa
(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik)
وَلَلْاٰخِرَةُ خَيْرٌ لَّكَ مِنَ الْاُوْلٰىۗ
Walal aakhiratu khairul laka minal oola
Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.
وَلَسَوْفَ يُعْطِيْكَ رَبُّكَ فَتَرْضٰىۗ
Wa la sawfa y’uteeka rabbuka fatarda
Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda - berpuas hati.
اَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيْمًا فَاٰوٰىۖ
Alam ya jidka yateeman fa aawaa
Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?
وَوَجَدَكَ ضَاۤلًّا فَهَدٰىۖ
Wa wa jadaka daal lan fahada
Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu - Al-Quran)?
وَوَجَدَكَ عَاۤىِٕلًا فَاَغْنٰىۗ
Wa wa jadaka ‘aa ilan fa aghnaa
Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?
فَاَمَّا الْيَتِيْمَ فَلَا تَقْهَرْۗ
Fa am mal yateema fala taqhar
Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,
وَاَمَّا السَّاۤىِٕلَ فَلَا تَنْهَرْ
Wa am mas saa ila fala tanhar
Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;
وَاَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ
Wa amma bi ni’mati rabbika fahad dith
Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.
Kelebihan dan manfaat surah ini
Surah Ad-Dhuha mempunyai banyak manfaat yang kita boleh perolehi untuk diri dan keluarga. Antara kelebihannya adalah seperti:
1. Dicukupkan segala rezeki
Surah ini berkait rapat juga dengan solat sunat Dhuha. Yang mana ibadah ini memberikan kita kemurahan rezeki dengan segala kecukupkan di dunia, insha Allah.
Diriwayatkan daripada Nu‘aim bin Hammar bahawa ia berkata,
“Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda; Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepadaKu dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu.” – (Hadis Riwayat Abu Dawud).
2. Memperoleh keselamatan bagi dirinya dan keluarga di dunia
Menurut Al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Muhadir Haji. Joll, penasihat syariah Galeri Ilmu berkata mereka yang mengamalkan membaca surah Ad-Dhuha ketika terbit matahari dan ketika terbenam matahari sebanyak 7 kali, akan selamat bagi dirinya, anak-anaknya, dan keluarganya dari empat perkara.
Empat perkara itu adalah yang pertama musibah, sihir, binatang buas, dan rumahnya selamat dari kecurian.
3. Membuktikan kekuasaan dan kehebatan Allah SWT
Ad-Dhuha merupakan sumber kekuatan kepada kitas sebagai hamba Allah. Apabila kita menghayati bait-bait ayat dari surah ini, tafsirnya sangat mendalam.
Justeri, surah ini sesuai untuk mereka yang sedang down, putus asa dan sedih dengan nasib yang meminta. Berkata Tok Guru Nik Aziz, beliau setiap kali membaca surah ini, seolah-olah merasa Tuhan sedang berbicara dengannya.
4. Mengeluarkan diri dari masalah dan keserabutan hidup
Berkongsi seorang pendakwah bebas, Ustaz Amirul Amin atau lebih dikenali sebagai PU Amin berkata,
Gaji banyak tapi tak cukup, masalah bertimbun rasa beban, hutang makin bertambah tiap bulan, ahli keluarga degil payah nak dibentuk, hidup rasa serabut dengan kerja? Amalkan ayat 5 Surah Ad-Dhuha. Insha Allah SWT beri jalan dan rasa tenang.
5. Sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diberikan
Allah SWT berfirman dalam surah Ibrahim, ayat 7:
Maksudnya: “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”
Dalam ayat kesembilan surah Dhuha, Allah ada menyatakan bahawa apabila kita berhadapan dengan tekanan hidup maka lihatlah juga anak-anak yatim dan orang susah yang lebih sukar hidupnya dari kita.
Semoga dengan panduan membaca surah Ad-Dhuha ini dapat menjadikan kita semua semakin sayang dan mencintai kitab Al-Quran serta menghayati setiap bait ayatnya untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Sumber:
- Dahsyatnya Surah Ad-Dhuha. Ikim
- Tafsir Surah Ad-Dhuha Ayat 1-5 (Nikmat Untuk Rasulullah SAW). Celik Tafsir
- Ad-Dhuha Sumber Kekuatan. Harakah Daily
- Bagaimana Surah Ad-Dhuha Boleh Mengubah Kehidupan Kita? Tzkrh