15 Kesalahan Dalam Solat Yang Ramai Orang Terlepas Pandang
Kesalahan dalam solat boleh memberi kesan kepada solat yang kita lakukan itu sama ada ia sah atau terbatal dan perlu diulangi semula.
Justeru, pada artikel kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan beberapa kesalahan dalam solat yang sangat lazim dilakukan setiap hari dalam kita tidak sedar.
Baca juga:
1. Tidak berdiri dengan lurus
Berdiri tegak bagi yang mampu berdiri ketika solat fardhu termasuk dalam rukun solat.
Sekiranya kita dengan sengaja tidak berdiri lurus walaupun tiada sebarang keuzuran, maka solat tersebut terbatal.
Hal ini jelas kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Solatlah dengan berdiri, sekiranya tidak mampu maka dengan duduk, sekiranya tidak mampu, maka dengan berbaring.” – (Hadis Riwayat Bukhari)
2. Lafaz takbiratul ihram dalam hati
Lafaz takbiratul ihram iaitu “ ﭐﷲ ﺃﻛﺒﺮ (Allahu Akbar)” perlu disebut dengan jelas dan didengar 100% melalui mulut tanpa meninggalkan salah satu huruf atau kalimah tersebut.
Ia tidak boleh dilafazkan di dalam hati atau dengan suara seperti berbisik baik secara keseluruhan kalimah atau salah satu kalimah.
Rasululullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Anak kunci solat ialah berwuduk, yang mengharamkan perlakuan yang dihalalkan sebelum solat ialah takbir dan yang menghalalkannya ialah salam.” – (Hadis Riwayat Tirmizi)
3. Kesalahan membaca Al Fatihah
Surah Al-Fatihah wajib dibaca ketika solat kerana ia termasuk dalam rukun qauli (ucapan/perkataan).
Ia perlu dibaca secara lisan iaitu dengan lidah bukannya di dalam hati.
Surah Al-Fatihah perlu dibaca dengan bacaan yang betul lagi sahih dengan meraikan bacaan dengan baris yang betul berserta dengan tajwid dan makhrajnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak (sah) solat bagi seseorang yang tidak membaca Fatihatul Kitab (surah al-Fatihah).” – (Hadis Riwayat Bukhari)
Bacaan surah Al-Fatihah yang boleh membatalkan solat adalah bacaan yang merubah maknanya.
Contohnya, kita membaca أَنْعَمْتُ (an’amtu) dengan dhommah (baris hadapan) dengan sengaja sedangkan bacaan yang sebetulnya adalah أَنْعَمْتَ (an’amta) dengan fathah (baris atas) maka batal solatnya.
Namun jika terlupa, maka perlu untuk mengulangi bacaan surah Al-Fatihah yang dibaca. Berikut kami kongsikan cara membaca surah Al-Fatihah yang betul:
4. Tidak thomakninah
Thomakninah bermaksud kestabilan atau penetapan sejenak anggota badan pada satu masa.
Menurut jumhur ulama seperti mazhab syafie, thomakninah adalah wajib untuk dilakukan dalam solat sama ada solat fardhu atau sunat.
Empat rukun solat yang diwajibkan untuk thomakninah adalah rukuk, i’tidal, sujud, dan duduk antara dua sujud.
Kenyataan ini berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA ketika Rasulullah SAW membetulkan solat seorang lelaki, Baginda bersabda:
“Jika engkau mendirikan sembahyang maka bertakbirlah, kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagimu (surah Al-Fatihah).
Kemudian ruku‘lah sehingga ruku‘ dengan thuma‘ninah. Kemudian bangkitlah sehingga berdiri dengan i‘tidal. Kemudian sujudlah sehingga sujud dengan thuma‘ninah.
Kemudian bangkitlah sehingga duduk dengan thuma‘ninah. Kemudian lakukanlah yang demikian itu kesemuanya dalam sembahyangmu.” – (Hadis Riwayat Muslim)
5. Posisi sujud yang tidak sempurna
Sujud adalah tindakan kita merendah dan tunduk. Sujud perlu dilakukan dengan cara meletakkan dahi yang terdedah ke tempat solat.
Ketika sujud, kita juga perlu memperhatikan cara dan posisi bersujud itu dengan tujuh anggota.
Sujud yang sempurna adalah dengan meletakkan semua tujuh anggota sujud di atas lantai.
Anggota yang terlibat adalah dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut, dan kedua-dua kaki.
Hal ini jelas dari sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Kami diperintahkan untuk sujud dengan tujuh anggota; kening dan beliau mengisyaratkan dengan tangannya sampai ke hidungnya, dua tangan, dua lutut dan dua telapak kaki.” – (Muttafaq Alaih)
6. Lafaz tahiyyat akhir yang salah
Tahiyyat akhir atau tasyahud akhir adalah rukun solat yang wajib dilakukan ketika solat.
Perbuatan ini terdiri daripada pergerakan anggota dan kerja lidah yang mesti dilaksanakan dengan cara-cara tertentu.
Kesalahan dalam solat yang biasa kita lakukan ketika tahiyyat akhir adalah dengan tidak membacanya mengikut makhraj serta tajwid yang betul.
Sekiranya lafaz tahiyyat itu dilafazkan dengan suara angin juga, ia akan membatalkan solat.
Antara sebutan yang sering terlepas pandang adalah pada perkataan “sayyidina” yang mempunyai tanda sabdu pada huruf ya dan membacanya dengan “saidina
7. Cara sebutan lafaz salam
Seperti mana lafaz takbiratul ihram dan tahiyyat akhir, lafaz salam juga perlu dilafazkan secara jelas dari mulut.
Ia tidak boleh dilafazkan di dalam hati atau menggunakan suara angin.
Bacaan lafaz salam yang betul adalah ﭐﻟﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻢﻭﺭﺣﻤﺔﭐﷲ (assalaamu’alaikum warahmatullaah).
Sekiranya menyebut “asalaamu’alaikum”, “salaamu’alaikum”, menukar huruf ﻉ kepada ﺃ, huruf ﺡ kepada ﻫ, atau apa sahaja sebutan, yang selain daripada ﭐﻟﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻢﻭﺭﺣﻤﺔﭐﷲ , ia akan membatalkan solat.
8. Tangan diayunkan semasa i’tidal
Tidak boleh sama sekali menggerakkan badan 3 kali berturut-turut iaitu secara berterusan tanpa henti.
Pergerakan yang dimaksudkan ini adalah gerakan yang tidak ada di dalam solat seperti menggaru-garu, mengusap muka, dan sebagainya.
Dari Abu Bakar ra., Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila seseorang kamu berdiri untuk solatnya, maka hendaklah dia menenagkan segala anggota tubuhnya(tangannya,kakinya) dan janganlah berhoyong-hayang sebagai hoyongan orang Yahudi.” – (Hadis Riwayat Al Hakim dan At-Tirmidzi)
9. Berhenti seketika selepas rukuk
Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff dan al-Sayyid Ahmad al-Syatiri ada menyebutkan bahawa disunatkan bagi orang bersolat untuk diam di dalam solat mereka pada enam tempat.
Dan setiap tempat tersebut disunatkan untuknya diam dengan kadar tempoh bacaan “Subhanallah”.
Antara tempat yang dimaksudkan itu adalah:
- Antara takbiratul ihram dan doa iftitah.
- Antara doa iftitah dan isti’azah.
- Antara isti’azah dan surah al-Fatihah.
- Antara akhir ayat di dalam surah al-Fatihah dan lafaz “Amin”.
- Antara lafaz “Amin” dan bacaan surah (selain al-Fatihah). Disunatkan juga bagi imam untuk memanjangkan diamnya itu di dalam solat jahriyyah bagi memberi ruang kepada makmum menyelesaikan bacaan surah al-Fatihah mereka.
- Antara surah (selain al-Fatihah) dan rukuk.
Ketika ingin rukuk dan sujud, kita perlu berhenti seketika dalam kadar yang paling minimum iaitu kira-kira sepanjang kadar lafaz subhanallah.
10. Dada berpaling dari arah kiblat
Menghadap kiblat adalah salah satu daripada syarat sah solat sama ada ada solat fardu, solat qada dan solat solat sunat pada waktu selain solat sunat ketika musafir dan solat khauf.
Sekiranya kita memulakan solat dalam keadaan tidak menghadap kiblat maka tidak sah solat itu.
Namun sekiranya, kita yang beralih daripada kiblat ketika solat secara sengaja maka batallah solat itu.
11. Memejamkan mata ketika solat
Hukum memejamkan mata ketika solat adalah makruh sebenarnya kerana ia bercanggah dengan tuntutan memandang ke tempat sujud.
Namun, sekiranya dengan memejamkan mata, seseorang itu akan bertambah fokus dan khusyuk dalam solat maka dibolehkan ia berbuat demikian.
12. Tidak merapatkan saf ketika berjemaah
Mengikut pandangan sebahagian ulama seperti Ibnu Hajar dan sebahagian ulama hadis bahawa meluruskan saf itu hukumnya adalah wajib.
Menurut Ibnu Hajar juga, sekiranya seseorang dengan sengaja tidak meluruskan saf dalam solat berjemaah, maka hukumnya adalah haram, sekalipun tidak sampai ke tahap membatalkan solat.
Ulama fekah telah bersepakat mengatakan bahawa adalah sunat bagi para jemaah untuk memenuhi saf yang pertama terlebih dahulu sehingga tidak ada ruang yang kosong atau renggang, kemudian barulah diikuti dengan saf yang kedua dan seterusnya.
Ini jelas dari sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
“Sempurnakanlah oleh kamu saf yang depan (saf yang pertama), kemudian saf-saf berikutnya, maka saf yang kurang itu (disebabkan sedikit makmum) hendaklah di saf bahagian belakang.” – (Hadis Riwayat Abu Daud dan Nasai)
Oleh yang demikian, adalah makruh bagi para jemaah untuk mendirikan saf yang kedua atau berikutnya melainkan selepas sempurnanya saf yang pertama atau berikutnya.
13. Cara memberi salam
Menundukkan muka sebelum memberi salam adalah salah satu dari kesalahan dalam solat.
Dari Abu Dzar, Nabi SAW bersabda:
“Allah SWT sentiasa berharap kepada para hamba Nya dalam solatnya, selama hamba itu tiada berpaling-paling. Apabila hamba itu memalingkan mukanya,berpalinglah Allah SWT daripadanya.” – (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
14. Mendahului imam ketika berjemaah
Terdapat sebuah hadis daripada Imam Malik RA yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Orang yang mengangkat dan menurunkan kepalanya sebelum imam, maka ubun-ubunnya berada di genggaman syaitan.” (Hadis Riwayat Malik, at-Tabarani, al-Bazzar dan al-Haithami)
Jelasnya, ketika mendirikan solat berjemaah, para makmum hendaklah mengikuti imam dan tidak boleh mendahuluinya bermula dari takbiratul ihram hingga salam.
Apabila imam telah rukuk, barulah makmum rukuk. Begitu juga apabila imam sujud, makmum juga perlu sujud juga.
Demikian halnya apabila imam telah angkat kepala dari rukuk dan sujud, maka barulah diikuti oleh makmum pula.
15. Menahan buang air besar dan kecil
Dari Abdullah ibn Al Arjam, Nabi SAW bersabda:
“Apabila telah didirikan solat, maka jika pada ketika itu seseorang perlu buang air, hendaklah dia pergi buang air sebelum bersolat.” – (Hadis Riwayat Al Bukhari, Muslim dan lain-lain)
Tindakan ini adalah salah satu cara agar seseorang mendapatkan khusyuk di dalam solat dan mengelakkan fikiran daripada memikirkan hal duniawi ketika mendirikan solat.
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan kesalahan dalam solat dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber:
- 400 Kesalahan Dalam Solat, Mahmud Al-Misri. Al Hidayah
- Al-Kafi #489: Adakah Batal Solat Jika Membaca Al-Fatihah Tanpa Tajwid? Mufti Wilayah Persekutuan