Malam Nifsu Sya’ban: Doa, Amalan & Kelebihannya
Malam Nifsu Sya’ban adalah malam yang penuh dengan syafaat dan kelebihannya. Apakah sebenarnya rahsia dan keistimewaan yang ada di dalamnya ini?
Artikel pada ini, kami akan kongsikan mengenai malam Nifsu Sya’ban dengan lebih terperinci.
Apa itu malam Nifsu Sya’ban?
“Nifsu” adalah perkataan dari bahasa Arab yang bermaksud “pertengahan”. Ini bertepatan dengan istilahnya iaitu pertengahan bulan Sya’ban yang dipanggil sebagai Nifsu Sya’ban.
Berkata Imam Ghazali pada malam ke-13 bulan Sya’ban ini, Allah SWT memberikan sepertiga syafaat kepada hamba Nya. Manakala pada malam ke-14, seluruh syafaat itu diberikan secara penuh.
Seterusnya, pada malam ke-15 umat Islam dapat memiliki banyak sekali kebaikan sebagai penutup catatan amalnya selama satu bulan.
Dalam masa yang sama juga, segala catatan perbuatan manusia penghuni bumi akan dinaikkan ke hadapan Allah SWT pada hari tersebut.
Bila malam Nifsu Sya’ban berlaku?
Nifsu Sya’ban berlaku pada malam ke-15 bulan Sya’ban. Tarikh malam Nisfu Syabaan 2023 Masihi 1444 Hijrah di Malaysia adalah pada 8 Mac 2023.
Doa pada malam Nifsu Sya’ban
Maksudnya: “Wahai Tuhanku yang Maha Pemberi, Engkau tidak memerlukan pemberian. Wahai Tuhan Pemilik Kebesaran dan Kemuliaan. Wahai Tuhan pemberi segala Kekayaan dan segala nikmat.
Tiada Tuhan selain Engkau, kekuatan orang yang meminta pertolongan, lindungan orang yang mencari perlindungan, dan tempat yang aman bagi orang yang ketakutan.
Tuhanku, seandainya Engkau mencatatkan bagi diriku di sisi Mu pada Luh Mahfuzh sebagai orang yang sengsara atau orang yang sempit rezeki, maka hapuskanlah catatan itu.
Sebaliknya, catatkanlah aku aku di sisi Mu sebagai orang yang bahagia, murah rezeki dan memperolehi taufiq Mu untuk berbuat kebaikan. Sesungguhnya Engkau telah berfirman dan bahawasanya firman Mu adalah benar di kitabmu yang diturunkan melalui ucapan Rasul utusan Mu.
Allah menghapuskan dan menetapkan apa yang ia kehendaki. Di sisi Nya Luh Mahfuzh. Semoga Allah memberikan selawat kepada Sayyidina Muhammad SAW dan keluarga beserta para sahabatnya. Segala puji bagi Allah SWT.” – (Hadis Riwayat Ibni Abi Syaibah dan Ibni Abi Al-Dunya)
Kelebihan malam Nifsu Sya’ban
Nikmat yang paling besar Allah berikan kepada kita sebagai umat Islam adalah pengampunan atas dosa-dosa kita selama ini.
Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan.” – (Sahih Ibn Hibban, no. Hadis 5665)
Setiap manusia pastinya tidak akan lari dari berbuat dosa, sama ada dosa kecil atau besar. Sejahat-jahatnya manusia apabila ditanya mahu ke syurga atau neraka, pasti mereka tetap memilih untuk ke syurga biarpun bergelumang dengan dosa.
Itulah fitrah kita sebagai manusia. Justeru itu, ambillah masa dan kesempatan ini untuk meminta ampun sepenuh hati dan sebenar-benar penyesalan kepada Allah SWT.
Amalan yang boleh dilakukan
Umumnya, tiada amalan yang dikhususkan ketika bertemu dengan malam ini. Amalan yang disarankan ini adalah panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
Waktu maghrib
- Mendirikan solat maghrib
- Melakukan wirid dan doa
- Mendirikan solat hajat dan doa solat hajat
- Membuat bacaan yasin dan doa
- Membaca doa Nifsu Sya’ban
- Membaca selawat kamilah
Waktu isyak
- Mendirikan solat isyak
- Melakukan wirid dan berdoa
- Membaca surah Al-Mulk
- Membaca Asmaul Husna
- Berqiamulail
- Mendirikan solat-solat sunat (solat sunat tahajud, solat sunat taubat, solat sunat hajat, solat sunat tasbih, solat sunat istikharah, dan solat sunat witir)
- Melakukan amalan-amalan dan zikir (membaca Al-Quran, membaca istighfar, membaca selawat, dan membaca tasbih atau zikir)
Diharapkan semoga artikel berkenaan dengan malam Nifsu Sya’ban ini dapat memberikan anda informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dipraktikkan dalam kehidupan seorang Muslim.
Sumber:
- Irsyad Al-Hadith Siri Ke-70: Kelebihan Malam Nifsu Sya’ban. Mufti Wilayah Persekutuan
- Panduan Menghidupkan Malam Nifsu Sya’ban. Jabatan Islam Negeri Johor
- Hukum Menghidupkan Malam Nifsu Sya’ban. Mufti Negeri Terengganu