Pengertian Makmum Masbuk dan Muafik: Hukum & Penjelasannya

Apakah yang dimaksudkan oleh makmum masbuk dan muafik dalam solat berjemaah?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan makmum masbuk dan muafik yang perlu anda ketahui.

Baca juga:

Pengertian makmum masbuk

makmum masbuk dan muafik

Dari segi bahasa, ia dinamakan sebagai “isim maf’ul” atau sabaq (mendahului orang lain).

Dari segi istilah, ia bermaksud seseorang yang solat berjemaah bersama imam, tetapi ketika qiam, dia tidak sempat menghabiskan bacaan Al-Fatihah.

makmum masbuk dan muafik

Contoh situasi 1 yang berlaku:

Seorang makmum lewat berjemaah sedangkan imam sudah hampir selesai membaca surah Al-Ikhlas dan makmum berkenaan tidak sempat menghabiskan bacaan Al-Fatihah, maka itu dinamakan makmum masbuk.

Bacaan Al-Fatihah ditanggung imam sama ada dia sempat menghabiskan sebahagian dari surah Al-Fatihah atau tidak sempat membaca keseluruhannya.

Makmum berkenaan hendaklah rukuk bersama imam. Jika dia rukuk bersama imam pada kadar tamakninah di dalam rukuknya, maka dia dikira mendapat rakaat berkenaan.

Contoh situasi 2 yang berlaku:

Sekiranya didapati imam sedang rukuk hendaklah ia terus bertakbir serta niat dan setelah berdiri sebentar (lamanya dalam kadar bacaan Subhanallah) teruskanlah rukuk bersama imam.

Sekiranya dapat berhenti bersama imam semasa rukuk, maka itu dikira satu rakaat walaupun tidak membaca surah Al-Fatihah kerana orang yang masbuk Al-Fatihahnya ditanggung oleh imam.

Contoh situasi 3 yang berlaku:

Sekiranya berkesempatan berdiri bersama imam dalam masa yang singkat, maka hendaklah ia membaca surah Al-Fatihah sekadar mana yang dapat dan teruskan mengikut imam dalam rukuk dengan syarat dapat berhenti bersama dalam rukuk itu.

Sebab-sebab masbuk

1. Makmum masbuk dikehendaki mengikut imam pada setiap perbuatan dan dikehendaki tambah mana-mana rukun yang tertinggal umpamanya satu rakaat dapat bersama imam pada solat maghrib maka dikehendaki tambah dua rakaat lagi setelah imam memberi salam.

2. Pada solat subuh, makmum makbuk mestilah berqunut sekali lagi untuk dirinya meskipun ia telah berqunut bersama imam di awal solat tadi.

3. Jika makmum masbuk sedang membaca surah tiba-tiba imam rukuk maka hendaklah diputuskan bacaan suruh itu dan rukuk bersama imam, tidak boleh ditangguh lagi.

4. Jika imam dalam keadaan sujud atau duduk tahiyat, makmum masbuk hendaklah terus takbiratul ihram kemudian duduk bersama imam.

Kalau imam sedang rukuk disunatkan takbir sekiranya dapat tomakninah dalam rukuk itu maka rakaatnya akan dikira.

5. Jika makmum sedang takbir tiba-tiba imam memberi salam, maka ia ditegah duduk kerana duduk itu untuk mengikut imam. Jika makmum itu duduk dengan sengaja dan tahu akan tegahannya maka batallah solat itu.

Tetapi jika ia terlupa atau jahil maka tidaklah batal solat itu dan wajib ia bangun dengan segera dan sunat melakukan sujud sahwi pada akhir solat itu.

Pengertian makmum muafik

Mereka yang berjemaah bersama imam dan sempat menghabiskan bacaan surah Al-Fatihah di dalam qiam imamnya.

Dimaafkan sekiranya ketinggalan di belakang imam sehingga tiga rukun yang panjang iaitu rukuk, dua sujud.

Perlu untuk menghabiskan bacaan Al-Fatihah sekiranya masih belum selesai membacanya sehinggalah sebelum imam selesai sujud dan bangun daripada sujud yang kedua.

Jika masih tidak selesai sedangkan imam sudah tahiyyat akhir, maka makmum boleh pilih sama ada untuk mufaraqah atau ikut perbuatan imam namun rakaat itu tidak diambil kira. Kalau tidak buat salah satu maka batallah solat.

Contoh situasi 1 yang berlaku:

Makmum yang masih belum selesai membaca Al-Fatihah sedangkan imam telah rukuk, maka ini dinamakan makmum muafik.

Justeru apabila berlaku situasi ini, anda hendaklah ia menghabiskan surah Al-Fatihah itu sehingga imam selesai sujud dan bangun daripada sujud yang kedua.

Contoh situasi 2 yang berlaku:

Sekiranya makmum masih tidak selesai (habiskan surah Al-Fatihah) sedang imam sudah pun bangun berdiri ataupun duduk tahiyat akhir maka hendaklah makmum itu memilih sama ada:

  • Berpisah dengan niat mufaraqah (berpisah) atau
  • Terus mengikut perbuatan imam dan rakaat itu tidak diambil kira.

**Jika tidak berbuat salah satu antara kedua hal tersebut, maka terbatallah solat itu.

Sebab-sebab muafik

1. Makmum yang lambat membaca kerana kelemahan semula jadi.

2. Makmum yang syak sebelum rukuk dan kemudian dari rukuk iman lalu ia teringat yang ia belum lagi membaca Fatihah.

3. Makmum yang lupa membaca Fatihah hingga rukuk imam dan sebelum ia rukuk maka teringat bahawa ia masih belum membaca Fatihah.

4. Makmum yang membaca doa iftitah dan ta’awuz lalu imam pun rukuk sedang makmum masih belum sempat menghabiksna bacaan Fatihahnya.

5. Makmum yang dengan sengaja tidak membaca Fatihah sebab menanti diam imam selepas membaca Fatihah terus rukuk ataupun imam membaca surah yang pendek hingga tidak sempat makmum menghabiskan bacaan Fatihahnya.

Tindakan makmum ketika solat berjemaah

  • Jika imam di rakaat pertama sedang membaca surah makmum segera membaca takbiratul ihram lalu membaca surah Al-Fatihah.
  • Jika imam hampir rukuk, makmum segera membaca takbiratul ihram kemudian membaca takbir lalu rukuk ikut imam tanpa membaca Al-Fatihah.
  • Jika imam sujud, makmum membaca takbiratul ihram kemudian bertakbir lalu sujud.
  • Jika makmum dapat rukuk bersama imam = bermakna dia telah dapat rakaat tersebut.

Kaifiat solat bagi makmum masbuk

  • Tidak tergesa-gesa mendapatkan rakaat bersama imam.
  • Berdiri tegak, berniat, takbiratulihram dan tamakninah serta terus mengikut pergerakan imam.
  • Tidak memberi salam bersama-sama dengan imam, sebaliknya berdiri selepas imam memberi salam untuk menyempurnakan rakaat yang tertinggal.
  • Menyempurnakan segala rukun solat hingga salam.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan makmum masbuk dan muafik dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-444: Hukum Makmum Masbuq Kejar Imam. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Al-Kafi #1332: Hukum Seorang Masbuq Terus Bangun Apabila Imam Bagi Salam Yang Pertama. Mufti Wilayah Persekutuan
  3. Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-695: Makmum Masbuq Ketika Imam Tahiyat Akhir, Perlu Membaca Tahiyat Akhir atau Awal? Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.