Puasa Hari Syak: Maksud, Tempoh Waktu, dan Hukum Berpuasa

Kita biasa dengar tentang Hari Syak sebagai salah satu hari yang diharamkan untuk berpuasa.

Namun apakah pengertian sebenar hari tersebut dan maklumat-maklumat penting yang perlu kita tahu?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai perkara ini untuk rujukan anda bersama.

Apa Itu Hari Syak?

Hari Syak (يَوْمُ الشَك) dinamakan sebagai hari yang diragukan oleh kerana ia diragukan sama ada pada hari tersebut merupakan hari terakhir bulan Sya’ban atau hari pertama bulan Ramadan.

Fenomena ini terjadi disebabkan oleh anak bulan tidak kelihatan lagi disebabkan oleh faktor mendung atau sebagainya untuk menentukan masuknya 1 Ramadhan.

Bilakah Hari Syak?

Ia berlaku pada hari ke-30 dari bulan Syaban sebagaimana yang dinyatakan oleh para fuqaha’. Imam Al-Nawawi berkata :

قَالَ أَصْحَابُنَا يَوْمُ الشَّكِّ هُوَ يَوْمُ الثَّلَاثِينَ مِنْ شَعْبَانَ

Maksudnya: “Para ashab kami berkata bahawa hari syak adalah hari ke-30 dari bulan Syaban. – (Rujuk Al-Majmu’, Al-Nawawi, 6/401)

Hukum Berpuasa Pada Hari Syak

Secara umumnya, hukum berpuasa pada hari ini adalah haram sekiranya tidak terdapat sebarang sebab atau alasan yang dibenarkan oleh syarak.

Hal ini dijelaskan oleh sebuah riwayat daripada Silah beliau berkata:

كُنَّا عِنْدَ عَمَّارٍ فِي الْيَوْمِ الَّذِي يُشَكُّ فِيهِ فَأُتِيَ بِشَاةٍ فَتَنَحَّى بَعْضُ الْقَوْمِ فَقَالَ عَمَّارٌ مَنْ صَامَ هَذَا الْيَوْمَ فَقَدْ عَصَى أَبَا الْقَاسِمِ صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: “Kami berada di sisi ‘Ammar (bin Yasir RA) pada hari syak. Kemudian beliau dihidangkan dengan daging kambing, maka sebahagian orang menjauhkan diri dari memakannya. Lalu ‘Ammar berkata : ‘’Sesiapa yang berpuasa pada hari ini (hari syak) sesungguhnya dia telah menderhakai Abu al-Qasim SAW.” – (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 2334)

Namun begitu, puasa yang dilakukan pada hari tersebut menjadi sah apabila terdapat perkara-perkara yang difardhukan ke atasnya.

Berikut ini adalah pendapat-pendapat yang menjadi hujah kepada kenyataan tersebut.

Imam Al-Nawawi berkata:

وإن صام فيه عن فرض عليه كره وأجزأه

Maksudnya : Sekiranya seseorang berpuasa padanya (hari syak) yang menjadi kefardhuan ke atas dirinya, maka ia dimakruhkan dan puasa tersebut adalah sah.

Kemudian Imam Al-Nawawi berkata lagi :

لَا يَصِحُّ صَوْمُ يَوْمِ الشَّكِّ عَنْ رَمَضَانَ بِلَا خِلَافٍ لِمَا ذَكَرَهُ الْمُصَنِّفُ فَإِنْ صَامَهُ عَنْ قَضَاءٍ أَوْ نَذْرٍ أَوْ كفارة أجزأه

Maksudnya : Tidak sah berpuasa pada hari syak (sebagai puasa) Ramadhan tanpa sebarang khilaf (di sisi para ulama) berdasarkan apa yang disebutkan oleh musannif (pengarang kitab). Sekiranya seseorang itu berpuasa qadha’, nazar, atau kaffarah padanya, maka puasanya sah.

Kemudian beliau menukilkan dua pendapat antara yang memakruhkan hal tersebut dan juga ulama yang tidak memakruhkannya. Jumhur Al-Syafi’eyyah mengatakan bahawa ia tidak makruh. – (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, Al-Nawawi, 6/399)

Antara hujah yang menguatkan pendapat di atas adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

لاَ تَقَدَّمُوا صَوْمَ رَمَضَانَ بِيَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ إِلاَّ أَنْ يَكُونَ صَوْمًا يَصُومُهُ رَجُلٌ فَلْيَصُمْ ذَلِكَ الصَّوْمَ

Maksudnya: “Janganlah kamu mendahulukan puasa Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari (sebelumnya) melainkan seseorang yang berpuasa lalu hari tersebut jatuh pada hari dia berpuasa, maka dia boleh berpuasa pada hari tersebut.” – (Hadis Riwayat Abu Daud, No, 2335)

Penutup

Kesimpulannya, larangan berpuasa pada Hari Syak merupakan langkah berhati-hati.

Adapun apabila hari itu bertepatan dengan puasa sunat yang biasa dilakukan ataupun sedang menggantikan puasa wajib yang pernah ditinggalkan, maka tidak mengapa untuk kita berpuasa.

Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai perkara ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan dalam menjalani ibadah di bulan Syaaban.

Sumber:

  1. #766: Maksud Hari Syak. Maktabah Al Bakri
  2. Al-Kafi #1710: Hukum Berpuasa Qadha’ Pada Hari Syak. Mufti Wilayah Persekutuan
  3. Apa itu Puasa Hari Syak? Konsultasi Syariah
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.