Doa Barang Hilang atau Dicuri Agar Ditemukan Semula
Fadhilat membaca doa barang hilang membantu seseorang yang kehilangan barang atau harta bendanya agar ditemukan dalam keadaan yang selamat.
Memang runsing bila memikirkan barang peribadi milik kita yang hilang atau dicuri oleh orang lain.
Apatah lagi sekiranya barang yang hilang itu adalah barang berjenama atau barang yang mempunyai hubungan sentimental dengan diri kita sendiri.
Justeru artikel pada kali ini, kami akan kongsikan kepada anda beberapa doa barang hilang dan keadah yang boleh dijadikan panduan apabila anda berhadapan dengan situasi tersebut. Doa ini adalah ikhtiar yang boleh kita amalkan.
Baca juga:
Kaedah cari barang hilang menurut Islam
Dalam isu barang hilang atau manusia hilang, agama Islam tidak menolak akan kemampuan syaitan dalam menyorokkannya hingga tidak mudah dijumpai oleh manusia dengan mata kasar.
Ada juga keadaan yang berlaku apabila kedua-dua mata kita tidak dapat melihat sesuatu yang besar di depan mata oleh kerana pandangan kita ditutupi oleh jin atau syaitan.
Justeru itu, kita amat digalakkan untuk kembali kepada ajaran Islam dalam menangani masalah ini.
Selain memperbanyakkan ibadah fardhu dan sunat, kita juga boleh berdoa untuk mengembalikan semula barang yang hilang.
Himpunan doa barang hilang
Terdapat beberapa doa barang hilang dan langkah-langkah yang boleh kita lakukan sebagai ikhtiar untuk menemukan atau mendapatkan semula barang milik kita itu.
Berikut ini, kami kongsikan antara doa dan amalan yang boleh dibaca.
Doa hilang barang 1
اَللَّهُمَّ يَا جَامِعَ النَّاسِ لِيَوْمٍ لَا رَيْبَ فِيْهِ اِجْمَعْ بَيْنِيْ وَبَيْنَ ضَالَّتِيْ فِيْ خَيْرٍ وَعَافِيَةٍ
Allahumma ya jami‘an nasi li yaumin la raiba fihi, ijma’ baiia wa baina dlallati fi khairin wa ‘afiyah
“Ya Allah, wahai Tuhan yang mengumpulkan semua manusia di hari yang tiada ragu lagi padanya. Pertemukan aku dan barangku yang hilang dengan kebaikan dan ‘afiyah.“
Doa hilang barang 2
Dalam riwayat yang lain pula, terdapat sebuah kisah yang menceritakan bagaimana Ummu Salamah yang telah kehilangan suaminya, lalu Rasulullah SAW mengajarkan sebuah doa:
إِنّا للهِ وَإِنَا إِلَـيْهِ راجِعـون ، اللهُـمِّ اْجُـرْني في مُصـيبَتي، وَاخْلُـفْ لي خَيْـراً مِنْـها
Inna lillahi wa inna ilayhi raji`un, Allahumma jurni fi musibati wa ‘khluf li khayran minha
“Kita milik Allah semata dan sesungguhnya hanya kepada-Nya semata kita kembali. Ya Allah berilah aku pahala dalam musibah yang menimpaku, dan berilah aku ganti yang lebih baik daripada musibah yang telah menimpa.
Doa hilang barang 3
يَا جَامِعَ النَّاسِ لِيَوْمِ لاَ رَيْبَ فِيهِ، اِجْمَعْ عَلَيَّ ضَآلَّتِي
Ya Jami’an Naasi li yaumil la raiba fihi, ijma’ alayya dhollati
“Wahai Tuhan Yang Menghimpunkan menusia di hari yang tidak ada ragu-ragu lagi padanya, himpunkanlah aku dengan barangku yang hilang itu.”
Doa hilang barang 4
اللّهُمَّ أجِرْنِي فِيْ مُصِيْبَتِيْ وَاخْلُفْنِيْ خَيْرًا مِنْهَ
Allahumma ajini fii musiibatii wakhlufni khoiran minha
“Ya Allah berilah ganjaran atas musibah yang menimpaku ini, dan gantilah dengan yang lebih baik daripadanya..”
Doa hilang barang 5
بسم الله يا هادي الضلال وراد الضالة اردد علي ضالتي بعزتك وسلطانك فإنها من عطائك وفضلك
Bismillahi yaa haadi al dhalal wa raadi al dhaalah, urdud ‘ala dhaalatii bi izzatika wa sulthanika fainnahaa min ‘athaaika w fadhlika
Bismillah, wahai Yang Maha Memberikan Petunjuk sesuatu yang hilang arah, wahai yang Maha Mengembalikan sesuatu yang hilang, kembalikanlah kepadaku barangku yang hilang dengan kemuliaan Mu dan kekuasaan Mu, sesungguhnya itu adalah dari pemberian Mu dan kemurahan Mu
Doa hilang barang 6
اَللّٰهُمَّ يَارِبِّ الضَّآلَّةِ وَيَاهَادِيًا مِنَ الضَّلاَلَةِ رُدَّ ضَآ لَّتِىْ
Allaahumma ya rabbadl dloollati wa yaa haadiyan minadl dlolaalati rudda dloollati
Ya Allah Tuhan dari sesuatu yang hilang. Ya Tuhan yang memberikan petunjuk dari kesesatan, kembalikanlah barangku yang hilang
Cara mengikhlaskan jika kehilangan
Kunci kepada rasa lapang dada setiap kali ditimpa ujian dan musibah dalam hidup adalah sabar dan ikhlas. Kita perlu faham juga tentang konsep ujian yang ditimpakan itu sendiri.
Setiap dari kita, hamba yang lemah ini tidak akan pernah terkecuali dari ditimpa ujian oleh Allah.
Kerana ujian itulah yang akan menentukan tahap keimanan kita yang sebenar.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahwa Nabi SAW bersabda:
مَا يُصِيبُ المُسْلِمَ، مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ، وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ، حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا، إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ
“Tidak ada satu musibah yang menimpa setiap muslim, baik rasa penat, sakit, gusar, sedih, gangguan orang lain, resah yang mendalam, sampai duri yang menancap di badannya, kecuali Allah jadikan hal itu sebagai sebab pengampunan dosa-dosanya.” – (Hadis Riwayat Bukhari 5641)
Kita perlu terima dengan apa yang terjadi dan redha dengan musibah yang Allah berikan seperti misalnya hilang barang yang disayangi atau orang yang disayangi.
Bergembiralah dengan apa yang telah ditakdirkan untuk kita kerana apabila kita sabar dan ikhlas, kita akan memperoleh pahala yang lebih banyak.
Diharapkan semoga perkongsian kami berkenaan dengan doa ini dapat memberikan anda semua panduan yang berguna setiap kali ditimpa musibah dalam hidup.
Sentiasalah kita bersikap positif dan berlapang dada dalam menghadapi segala ujian yang telah ditetapkan kepada kita kerana setiap yang berlaku itu pastinya mempunyai sebab dan kebaikan yang tertentu.
Sumber:
- Al-Kafi #262: Barang Hilang Di Masjid. Mufti Wilayah Persekutuan
- Kaedah Mencari Barang Hilang Menurut Islam. Dr Hj. Jahid bin Hj. Sidek, Ahli Panel Pakar Tasawuf JAKIM