Surah Al-Insyirah (سورة الشرح): Teks Arab dan Terjemahannya

Artikel ini akan berkongsi kepada anda serba sedikit mengenai inti pati surah Al-Insyirah yang sepatutnya anda perlu tahu.

Di sini juga disediakan audio bacaan surah ini dalam bentuk MP3 dan juga teks bacaannya dalam rumi untuk memudahkan pembacaan.

Baca juga:

Asal usul surah Al-Insyirah

surah al-insyirah

Surah Al-Insyirah atau lebih cenderung dipanggil sebagai surah Alam Nasyrah ini adalah surah yang ke-94 daripada keseluruhan jumlah dalam Al-Quran.

Surah ini terdiri daripada 8 ayat sahaja dan diturunkan di Mekah sesudah surah Ad-Dhuha.

Ia dinamakan Al-Insyirah yang bermaksud perihal melapangkan dada Nabi.

Awal kepada surah ini, Allah SWT menegaskan nikmat kelapangan dada Nabi Muhammad SAW dengan hidayah dan iman yang dikurniakan untuk baginda.

Ringkasan surah

Menurut Ustaz Ibnu Omar mengenai tafsiran surah Al-Insyirah, ia menceritakan bahawa Allah SWT memberikan kelapangan (Islam) kepada Nabi Muhammad SAW (juga umumnya kepada seluruh manusia).

Surah ini menceritakan nikmat-nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW iaitu antaranya adalah diberikan kelapangan dada untuk menerima hidayah dan petunjuk.

Selain itu ada juga disebutkan tentang keringanan beban tugas Baginda dalam menyiarkan syiar Islam kerana diberikan pelbagai kemudahan dalam melaksanakannya.

Kemulian yang Allah berikan kepada Nabi Muhammad ini sehinggkan diletakkan nama baginda dalam lafaz dua kalimah syahadah.

Allah perintahkan Nabi Muhammad SAW untuk tetap beramal soleh dan bertawakal berada dalam agama Islam.

Dari beberapa tafsiran lain pula ada juga yang mengatakan bahawa surah ini adalah penyeruan agar kita melapangkan dada dengan ilmu pengetahuan, pemahaman, kemenangan serta keyakinan yang teguh. 

Bacaan surah Al-Insyirah

اَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَۙ

Alam nashrah laka sadrak

Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)?

وَوَضَعْنَا عَنْكَ وِزْرَكَۙ

Wawa dok naa’ anka wizrak

Dan Kami telah meringankan daripadamu: Bebanmu (menyiarkan Islam);

الَّذِيْٓ اَنْقَضَ ظَهْرَكَۙ

Allazi anqhadha dhahrak

Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?

وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَۗ

Wa rafa na laka zikrak

Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?

فَاِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًاۙ

Fa inna ma al usri yusraa

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,

اِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًاۗ

Inna ma al usri yusraa

Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

فَاِذَا فَرَغْتَ فَانْصَبْۙ

Faa iza faragta fansab

Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),

وَاِلٰى رَبِّكَ فَارْغَبْ ࣖ

Waa ila rabbika fargab

Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).

Kelebihan dan manfaat surah ini

surah al-insyirah

Surah Al-Insyirah mendidik kita sebagai hamba Allah mestilah sentiasa bersungguh-sungguh dan istiqamah dalam melakukan kebaikan, amal soleh dan setiap pekerjaan yang kita lakukan.

Selain itu, terdapat banyak lagi kelebihan surah ini yang boleh kita ambil pengajaran. Antara pengajarannya itu adalah seperti yang berikut:

1. Dipermudahkan dan dilancarkan segala urusan

Selepas manusia berusaha dan berikhtiar dalam melakukan sesuatu perkara, selebihnya hanya bertawakal kepada Allah.

Minta Allah permudahkan segala urusan kita di dunia dan akhirat.

Dengan amalan membaca surah Al-Insyirah setiap kali selepas solat fardhu. Insha Allah, akan dipermudahkan segala urusan kita oleh Nya.

2. Dilimpahkan dengan rezeki kekayaan

Rezeki dan kekayaan itu datangnya dari Allah. Sungguh walaupun kita membanting tulang siang dalam malam, kita tidak mampu untuk menghasilkan rezeki dari setiap keringat itu tanpa keizinan Allah.

Rezeki bukan sahaja dari segi bentuk kewangan, tetapi juga kesihatan, dan sebagainya.

Kita mahu menjadi hamba Allah yang kaya di dunia dan akhirat. Amalkan membaca surah ini sebanyak 40 kali setiap kali selepas solat.

3. Jauh dari segala masalah

Kehidupan tidak pernah berhenti dari menguji kita.

Lantaran itu perkukuhkanlah sandaran kita kepada Allah agar kita tidak lena dengan larutan rasa susah di hati.

4. Terhindar dari kesempitan hidup

Rasa sempit yang kita rasa di dada adalah kerana kita tiada ketenangan dalam menjalani perjalanan hidup yang singkat.

Peluklah jiwa dengan kekuatan yang teguh dari Allah.

Dada justeru akan menjadi lapang kerana mengamalkan membaca surah ini dengan istiqamah.

5. Menghilangkan rasa dukacita

Sedih adalah ujian dari Allah SWT. Bukankah Imam al-Bukhari merekodkan satu riwayat yang bersumber daripada Abu Sa’id Khudri RA dan Abu Hurairah RA; bahawa Nabi SAW bersabda,

“Tidaklah menimpa seseorang Muslim sama ada letih, sakit, kerisauan, kesedihan, kesusahan atau kebimbangan bahkan tusukan duri sekali pun melainkan Allah SWT akan menjadikan semua itu sebagai kifarah kepada dosa-dosanya.”

Bacalah surah ini, moga ia menjadi penawar kepada rasa sedih yang terbuku di hati.

Lalu asbab kerana rasa sabar dan redha itu Allah mengantikan kesedihan dengan kegembiraan yang lain.

Semoga dengan panduan membaca surah Al-Insyirah ini dapat menjadikan kita semua semakin sayang dan mencintai kitab Al-Quran serta menghayati setiap bait ayatnya untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Sumber:

  1. Al-Quran dan Terjemahannya
  2. Al-Kafi #1517: Bolehkah Membaca Al-Quran Untuk Mendapat Habuan Dunia Semata-Mata. Mufti WIlayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.