7 Syarat Sah Puasa Yang Patut Anda Tahu Dengan Penjelasannya
Apakah yang dimaksudkan dengan syarat sah puasa dan rukun puasa Ramadhan dalam Islam?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan syarat sah puasa yang kita sebagai umat Islam perlu tahu.
Apa itu syarat sah puasa?
Syarat sah puasa adalah syarat yang diperlukan supaya puasa yang dilakukan oleh seseorang itu dianggap sah oleh syarak.
Mereka yang tidak menepati salah satu dari syarat sah ini maka puasanya akan menjadi tidak sah atau terbatal secara tiba-tiba.
1. Beragama Islam
Puasa bulan Ramadhan hanya sah dilaksanakan oleh mereka yang beragama Islam sahaja. Selain itu tidak sah puasa oleh orang kafir atau orang yang murtad dari agama.
2. Baligh
Syarat sah puasa yang kedua adalah baligh. Tidak diwajibkan anak kecil yang belum baligh untuk melaksanakan puasa di bulan Ramadhan.
3. Berakal
Wajib hukumnya bagi orang yang berakal untuk melaksanakan puasa. Hal ini bertepatan dengan ijmak para ulama bahawa orang tidak siuman atau gila termasuk dalam kategori orang yang tidak berakal dan tidak diwajibkan untuk berpuasa.
4. Sihat
Sihat yang dimaksudkan di sini adalah sihat dari segi fizikal. Orang yang sakit dan uzur dibolehkan untuk meninggalkan puasa tetapi wajib untuk mereka menggantikannya semula pada hari atau waktu lain selepas sembuh nanti.
Penyakit yang dimaksudkan pada syarat ini adalah penyakit yang akan bertambah parah apabila harus berpuasa atau ditakutkan sakitnya akan terlambat sembuh.
5. Mampu
Allah SWT mewajibkan puasa bagi orang yang mampu melakukannya. Orang tua yang sudah lemah atau uzur dan tidak memungkinkan untuk terdaya berpuasa maka boleh untuk meninggalkannya.
Namun, kita diwajibkan untuk menggantikannya dengan membayar fidyah sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 184:
(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain;
dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.
Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya;
dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.
Selain itu dalam satu hadis Ibnu Abbad RA ada juga berkata maksudnya:
“Yang dimaksudkan ialah orang lelaki dan perempuan yang terlalu tua, keduanya tidak mampu untuk berpuasa, kedua-duanya hendaklah menggantikan setiap hari puasa dengan memberi makan seorang fakir miskin.” (Hadis Riwayat Bukhari, No 4235)
6. Tidak dalam perjalanan
Orang yang sedang bermusafir boleh meninggalkan puasa tetapi wajib baginya untuk menggantikan puasa tersebut pada hari lain dengan jumlah puasa yang sama ditinggalkan.
7. Suci dari haid dan nifas
Hanya wanita yang suci dari hadas besar seperti haid dan nifas sahaja yang diwajibkan untuk berpuasa. Menurut ijma’ para ulama, puasa bagi wanita yang sedang haid atau nifas adalah haram hukumnya.
Rukun puasa Ramadhan
Bagi rukun puasa Ramadhan pula, terdapat dua perkara yang perlu anda tahu. Berikut ini adalah rukun puasa Ramadhan:
1. Niat
Berniat pada malam hari dengan lafaz bacaan niat puasa Ramadhan seperti yang berikut:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ شَهْرِ رَمَضَانِ هذِهِ السَّنَةِ لِلهِ تَعَالَى
Nawaitu shauma ghadin an’adai fardi syahri ramadhani hadzihisanati lillahita’ala
Maksudnya: "Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala."
2. Menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa
Kita perlu menahan diri dari makan, minum dan melakukan sebarang perbuatan yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. pada bulan Ramadhan.
Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai syarat sah puasa ini dapat memberikan anda informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan dalam beribadah di bulan Ramadhan.
Sumber:
- Panduan Puasa – Syarat-syarat Sah Puasa. Islam Itu Indah
- Panduan Amalan Di Bulan Ramadhan. JAKIM