Bulan Islam: 12 Nama Bulan Islam Dalam Kalendar Hijriah

Apakah itu bulan-bulan islam?

Terdapat 12 dalam kalender Hijriah atau dikenali sebagai kalender Islam.

Kalender ini digunakan oleh setiap umat Islam di seluruh dunia walaupun berlainan negara ia simbolik dan panduan kepada kita sebagai umat yang beragama Islam untuk menjalankan ibadah dan perayaan yang telah ditetapkan.

Artikel pada kali ini akan membincangkan mengenai asal usul 12 nama bulan islam yang terdapat dalam kalendar hijriah dalam setiap bulan yang berpandukan dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah. 

Pengenalan Bulan-bulan Dalam Islam


Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah Ayat: 36:

اِنَّ عِدَّةَ الشُّهُوْرِ عِنْدَ اللّٰهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِيْ كِتٰبِ اللّٰهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضَ مِنْهَآ اَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۗذٰلِكَ الدِّيْنُ الْقَيِّمُ ەۙ فَلَا تَظْلِمُوْا فِيْهِنَّ اَنْفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِيْنَ كَاۤفَّةً كَمَا يُقَاتِلُوْنَكُمْ كَاۤفَّةً ۗوَاعْلَمُوْٓا اَنَّ اللّٰهَ مَعَ الْمُتَّقِيْنَ

Maksudnya:

Sesungguhnya jumlah bulan menurut Allah ialah dua belas bulan, (sebagaimana) dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi dirimu dalam (bulan yang empat) itu, dan perangilah kaum musyrikin semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya. Dan ketahuilah bahwa Allah beserta orang-orang yang takwa.

Berdasarkan ayat di atas dua belas bulan yang disebut oleh Allah SWT yang telah dihuraikan oleh Rasulullah SAW di dalam sebuah hadith yang telah diceritakan oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a bahawa Rasulullah SAW memberikan khutbah ketika ibadah haji dengan berkata:

“Ketahuilah bahawa masa berputar seperti mana hari Allah menciptakan langit dan bumi, setahun ada 12 bulan antaranya empat bulan haram, tiga daripadanya berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab yang terletak antara Jamada dan Syaaban.” (riwayat Imam Ahmad).

Nama Bulan dalam Bahasa Arab dikenali sebagai “Al-Syahru” yang merujuk kepada bulan-bulan yang terdapat dalam kalender hijriah atau kalender Islam.

Tarikh Hijriyah Islam yang pertama adalah daripada bermulanya perisiwa Nabi Muhammad SAW  dan umat Islam berhijrah ke Madinah.

Kebanyakan nama tersebut berasal dari Bangsa Arab Tradisional yang diambil daripada cuaca semasa atau sesuatu peristiwa besar berlaku ataupun sempena peristiwa besar yang telah berlaku.

Walau bagaimanapun, oleh kerana semua bulan berubah 11 hari lebih awal pada setiap tahun, maka musim atau peristiwa asal tidak begitu mempengaruhi nama bagi sesetengahnya pada masa kini.

Kalender Hijriah yang terdapat nama-nama bulan islam menjadikan panduan kepada umat Islam untuk mengingati peristiwa-peristiwa penting dalam menentukan hari-hari yang bersejarah kepada seluruh umat Islam seperti menyambut sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya AidilAdha dan banyak lagi.

takwim bulan islam 2023 1444h

12 Nama Bulan Yang Terdapat Dalam Kalendar Hijriah


Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam kitab Fathul Baari menyebutkan bahwa nama bulan dalam Kalender Islam sebenarnya sudah ada jauh sebelum ditetapkannya penanggalan Islam. Nama bulan seperti Sya’ban, Ramadan, Syawal, dan beberapa bulan lainnya telah ada sejak zaman Jahiliyah.

Berikut Merupakan 12 Nama Bulan yang terdapat dalam Kalendar Hijriah antaranya adalah:

Muharram ( محرم)

Nama bulan yang pertama dalam kalendar hijriah adalah Muharaam. Nama bulan ini diambil dari perkataan “Haram” yang membawa maksud terlarang. Ia berlaku disebabkan kerana budaya atau tradisi masyarakat arab yang mengharamkan sebarang peperangan berlaku pada bulan tersebut. Selepas munculnya Islam, Rasulullah SAW telah meneruskan budaya ini lalu menjadikan ia sebagai salah satu antara empat bulan yang haram dalam Islam

Dengan tibanya bulan Muharram dalam kalendar hijriah ini merupakan bermulanya tahun baru islam bagi seluruh umat islam di dunia tidak kiralah walau dimana dia berada.

1 Muharram pada tahun 2023 ini jatuhnya pada 19 Julai 2023. Iaitu bulan pertama dalam kiraan tahun Qamariah (Hijriah) dan salah satu dari empat bulan yang dihormati.

Maka pada tarikh tersebut setiap kali tiba 1 Muharram ini umat Islam digalakkan untuk membacakan doa awal tahun selepas menunaikan sembahyang fardu maghrib.

Selain itu, bulan ini juga mengandungi peristiwa-peristiwa penting dalam perkembangan Islam sejak Nabi Adam A.S. Pada bulan ini juga, terdapat banyak kelebihan terutamanya pada 10 Muharram yang dikenali sebagai hari ‘Asyura. Umat Islam disunatkan untuk berpuasa pada hari tersebut.

Al-Imam at-Tarmizi telah meriwayatkan dari Abu Qutadah bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Berpuasa pada hari ‘Asyura akan termasuk dalam hitungan Allah bahawa puasa tu akan menutup dosa setahun sebelumnya”.

Kelebihan lain yang dijanjikan apabila berpuasa di bulan Muharram sebagaimana diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dari Abu Hurairah radiallahu anhu, Rasulullah SAW bersabda:

“Puasa yang utama (afdal) sesudah Ramadan ialah puasa di bulan Muharram”.

Saffar ( صفر )

Bulan ke-2 yang terdapat dalam kalendar Hijri adalah bulan SAFFAR. Nama Safar ini diambil dari kata “shifr” yang bermaksud ‘sifar’ atau ‘kosong’. Bulan ini dinamakan Safar oleh kerana masyarakat Arab sering meninggalkan rumah kediaman mereka untuk pergi berperang dan mencari makanan sebagai persiapan menghadapi musim panas.

Selain itu, masyarakat Arab jahiliyah juga menganggap bahawa bulan Safar ini merupakan bulan yang penuh malapetaka. Menurut kepercayaan turun temurun bagi sesetengah masyarakat Islam jahiliah bulan Safar ini merupakan bulan turunnya bala bencana dan malapetaka khususnya pada hari Rabu minggu terakhir. 

Kepercayaan karut itu telah ditolak dan dibenteras dengan kerasnya oleh agama Islam, sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 51:

Maksudnya:

“Katakanlah (wahai Muhammad): tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatupun melainkan apa yang telah ditetapkan allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu), maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal”.

Oleh yang demikian, umat Islam haruslah membuang segala sangkaan atau kepercayaan yang karut supaya kita terlepas daripada melakukan amalan-amalan syirik.

Rabiul Awal ( ربيع الأول)

Rabiul Awal merupakan bulan ke-3 dalam kalendar hijriah. Bulan ini terkenal kerana bulan ini merupakan bulan pertama musim bunga iaitu pada keiasaannya pada waktu ini pokok-pokok mula menghijau.

Bulan juga menjadi bulan yang istimewa kerana banyak peristiwa-peristiwa penting yang terdapat pada bulan ini seperti Nabi Muhammad SAW dilahirkan iaitu pada 12 Rabiulawal 20 April 571 Masihi. Selain itu, bulan ini juga dimana terjadinya perlantikan Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul iaitu pada 9 Rabiulawal bersamaan 610 Masehi dan bulan ini juga merupakan bulan dimana kewafatan baginda Nabi Muhammad SAW iaitu pada 12 Rabiulawal, tahun 11 Hijriah.

Kita sebagai umat islam haruslah mengambil cakna mengenai hari kelahiran jujungan Nabi Muhammad SAW dengan memperbanyakkan berzikir dan berselawat sebagai tanda kesyukuran kita sebagai umat Islam kepada Allah SWT diatas limpah dan kurnia-Nya telah mengutus Nabi Muhammad SAW yang telah membawa manusia kejalan kebaikan dan mencegahnya daripada menuju jalan kejahatan.

Kewajipan kita sebagai umat Islam haruslah menyambung perjuangan baginda itu dengan menyeru manusia kepada jalan Allah dan menegah daripada perbuatan mungkar.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imraan ayat 31-32:

Maksudnya:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad); “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir”.

Rabiul Akhir (ربيع الآخر/ ربيع الثاني)

Rabiul Akhir merupakan bulan yang ke-4 yang terdapat dalam kalendar hijriah. Bulan ini dikenali sebagai bulan kedua dalam musim bunga.

Pada bulan ini digalkkan kepada kita sebagai umat Islam untuk melakukan amalan-amalan sunat yang terdapat pada bulan tersebut. Amalan sunat yang digalakkan kepada kita untuk melakukannya adalah sama seperti amalan-amalan sunat yang terdapat pada bulan lain.

Tiada amalan-amalan istimewa yang khusus untuk bulan Rabiul Akhir yang menjadi amalan Rasulullah SAW dan para sahabat. Kita dianjurkan supaya sering meningkatkan keimanan untuk sering membuat kebaikan dari hari kehari tanpa mengira apa jua amalan yang kita lakukan.

Jamadil Awal ( جمادي الأول )

Jamadil Awal merupakan bulan yang ke-5 dalam kalendar hijriah. Bulan ini disebut sebagai Jamadil Awal adalah kerana bulan ini merupakan bulan pertama musim panas.

Perkataan “Jamada” adalah membawa maksud permulaannya musim sejuk yang mana dari segi bahasa bulan ini bermaksud kering atau beku. Bulan ini dinamakan demikian kerana terjadinya musim pada bulan tersebut orang arab pada zaman itu mengalami kekeringan air atau air menjadi beku dan pada ketika itu juga parit, sungai dan lembah menjadi kering.

Pada bulan ini juga tiada amalan-amalan yang khusus yang terdapat pada bulan ini. Amalan-amalan sunat yang digalakkan untuk melaksanakannya adalah sama seperti bulan-bulan seperti ini seperti memperbanykkan bersedekah, berzikir, membaca al-Quran dan melakukan perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain.

Jamadil Akhir ( ربيع الآخر/ ربيع الثاني )

Jamadil Akhir pula merupakan bulan yang ke-6 dalam kalendar hijriah. Pergolakkan peperangan Zi Qarad merupakan salah satu daripada peristiwa penting yang terjadi pada bulan Jamadilakhir tersebut.

Pada bulan ini juga, telah terbukti kehebatan tentera islam dalam peperangan Yamuk pada zaman Rasulullah SAW pada tahun ke-13 Hijriah telah mencatatkan kehebatan mereka dalam peperangan tersebuat antara tentera Rom dan Islam.

Tentera Rom disertai lebih 100,000 orang telah kalah dan tumpah kepada tentera Islam yang hanya 30,000 orang dalam peperangan itu.

Peperangan tersebut dipimpin oleh Khalid bin Al Walid dan Abu `Ubaidah yang merupakan ketua panglima tentera islam. Kemenangan pada peperangan itu telah berpihak kepada tentera Islam. Ada pandangan yang mengatakan bahawa peperangan itu berlaku pada Rejab tahun ke-15 Hijrah.

Rejab ( رجب )

Rejab adalah bulan ketujuh dalam kalender Islam. Bulan Rejab adalah membawa maksud bulan yang penuh kebesaran dan mengagungkan. Bulan ini merupakan salah satu daripada bulan yang dihormati dan mulia dalam Islam sejak zaman Jahiliah lagi. Rejab adalah salah satu dari empat bulan yang haram.

Dalam bulan Rejab ini kita sebagai umat islam disuruh untuk memperbanyakkan ibadah sunat dan menjauhi diri daripada melakukan perbuatan maksiat dan mungkar.

Dalam bulan ini juga, kita digalakkan untuk melaksanakan ibadah-ibadah sunat seperti puasa sunat dalam bulan Rejab adalah salah satu cara untuk memperbanyakkan amal ibadah.

Sesungguhnya, sesiapa sahaja yang mendahagakan dirinya dengan berpuasa di dalam bulan Allah SWT iaitu pada (bulan Rejab) maka ia akan memperolehi ganjaran pahala keatasnya dari Allah SWT.

Selain itu, kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar dan melakukan ibadat-ibadat sunat yang lain.

Sya’aban ( شعبان)

Maksud bulan sya’ban adalah perpisahan atau pembahagian. Bulan Sya’aban merupakan bulan yang kelapan dalam kalendar hijriah. Dalam bulan ini telah terjadi beberapa peristiwa penting dalam sejarah Islam iaitu peralihan Kiblat dari Masjid al-Aqsa ke Ka’bah di Masjidil Haram. Semenjak daripada peristiwa peralihan kiblat itu, sembahyang ditunaikan dengan menghadap Ka’bah sebagai Kiblat utama umat islam.

Bulan Sya’aban ini dikatakan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dalam islam. Sebagaimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud, dari Aisyah radhiallahu ‘anha yang bermaksud:

“Bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam akan berpuasa di dalam bulan Syaaban kemudian meneruskannya di dalam bulan Ramadhan”.

Pada bulan ini juga, terdapat malam yang sangat istimewa iaitu malam Nisfu Sya’aban iaitu pertengahan bulan Sya’aban. Kita digalakkan untuk memperbanyakkan menambah amal ibadah dengan membaca al-Qur’an dan surah Yaasin untuk menghidupkan lagi malam tersebut.

Ramadan (رمضان)

Ramadan diambil daripada perkataan ” ramada” yang membawa maksud batu panas. Kedatangan bulan Ramadan ini merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan.

Bulan ini juga merupakan bulan yang istimewa kepada seluruh umat islam di dunia kerana menjalani ibadah puasa yang bakal berkunjung tidak lama lagi. Pada tahun ini, kita akan menyambut 1 Ramadan pada 23 March 2023 yang akan bakal kunjung beberapa minggu sahaja lagi.

Syawal (شوال)

Bulan syawal merupakan bulan yang kesepuluh dalam kalendar Hijriah. Syawal berasal daripada bahasa Arab iaitu dari perkataan “syalat “ yang membawa maksud mengangkat ia juga berasal dari kata kerja ‘ Tasyawwala‘ yang membawa maksud sedikit atau berkurangan.

Bulan Syawal ini juga merupakan bulan yang penuh kegembiraan bagi umat islam setelah menjalani sebulan ibadah puasa di bulan Ramadan.

Pada awal bulan syawal umat islam akan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada 22 April 2023 atau perayaan yang cukup menandai sebagai kemenangan oleh umat islam dalam mengawal dan melawan godaan hawa nafsu selama sebulan. Islam telah memberikan panduan yang tersendiri mengenai cara merayakan hari raya tersebut terutamanya bagi umat islam dengan tujuan semuanya tetap menjadi ibadah.

Zulkaedah ( ذو القعدة )

Nama bagi bulan Zulhaedah diambil daripada perkataan ‘ Qa’ada’ yang membawa maksud tempat duduk. Bulan Zulkaedah ini merupakan bulan yang kesebelas dalam takwim Hijriah.

Banyak peristiwa-peristiwa bersejarah yang sedikit sebanyak berhubung kait dengan ibadah haji dan umrah yang berlaku dalam bulan ini, iaitu pada tahun ke-7 Hijriah, Rasulullah SAW telah memimpin umat Islam menuju ke Mekah untuk mengerjakan ibadah umrah yang pertama.

Bulan ini juga termasuk salah satu daripada bulan-bulan yang haram untuk berperang.

Zulhijjah (ذو الحجة)

Bulan Zulkaedah merupakan bulan yang ke-12 iaitu bulan yang terakhir dalam setahun kalender Hijriah. Bulan ini juga merupakan bulan suci yang terakhir yang mana dalam bulan ini dilarang untuk melakukan sebarang pertempuran oleh kerana, pada bulan ini haji dilaksanakan.

Pada bulan ini kita digalakkan untuk berpuasa pada hari Arafah bagi orang yang tidak mengerjakan haji, tidak musafir dan tidak sakit iaitu dilaksanakan pada hari kesembilan Zulhijjah.

Menurut Al-Imam Ubnu Majah yang telah meriwayatkan dari Abu Qatadah, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang membawa bermaksud:

“Puasa pada hari Arafah akan termasuk dalam hitungan Allah bahawa puasa itu menutup dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya”.

Pada bulan ini juga seluruh umat islam akan menyambut Hari Raya Aidil Adha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Korban iaitu pada 10 Zulhijjah.

Setelah kedatangan Islam, ibadah haji masih tetap dilaksanakan pada bulan Zulhijjah iaitu pada tarikh 8, 9 dan 10 Zulhijjah.

Berdasarkan maksud bagi 12 bulan islam yang telah dinyatakan secara ringkas di atas pastinya mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing bagi setiap bulan tersebut.

Umat islam yang bijak seharusnya tidak memilih waktu mana yang hanya untuk menunaikan ibadah-ibadah sunat. Seseorang itu haruslah sentiasa istiqomah apabila melaksanakan ibadah-ibadah sunat.

Marilah kita sama-sama panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas kesempatan yang diberikan peluang kepada kita untuk hidup kesekian kalinya di atas muka bumi ini.

Seterusnya kita haruslah sentiasa mempersiapkan diri dan berazam untuk melakukan hijrah bagi menghadapi permulaan Awal Muharam pada tahun baru ini demi mendapatkan peluang untuk perubahan menghadapi ibadah berkualiti dan kehidupan mukmin sejati.

Sumber:

1- Maksud Asal Nama Bulan-bulan Islam – shafiqolbu.wordpress.com

2- Fadhilat Bulan-Bulan Islam – Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Brunie.

3- Bulan-Bulan Islam – Ohmyislam.wordpress.my

Bacaan lanjut : https://www.e-solat.gov.my/index.php?siteId=27&pageId=48

Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.