Cara Kebumikan Jenazah Lelaki & Wanita (Panduan Bergambar)

Bagaimanakah cara kebumikan jenazah lelaki dan wanita Islam yang betul menurut syarak?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda tentang cara kebumikan jenazah dengan betul dengan panduan bergambar yang diberikan.

Baca juga:

Pengertian mengebumikan jenazah

cara kebumikan jenazah

Mengebumikan jenazah adalah proses selepas jenazah selesai dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dibawa ke tanah perkubukuran untuk ditanam dalam liang lahad.

Tujuan mengkebumikan jenazah adalah untuk menjaga kehormatan jenazah itu sendiri dan menjaga kesihatan mereka yang ada di sekitar perkuburan tersebut.

Jenis-jenis lubang kubur

Liang di kubur adalah dua jenis iaitu:

  • “Lahad” ( لَحْدٌ ) iaitu lubang yang digali di sisi kubur(dalamnya) untuk diletakkan mayat dengan menghadap kiblat.
  • “Syaq” ( شَقٌّ ) iaitu liang yang digali di tengah kubur(dalamnya).

Berapa dalam liang lahad?

cara kebumikan jenazah

Dari segi ukuran liang lahad dalam Islam sebenarnya tidak mempunyai dalil yang tertentu.

Namun terdapat kriteria yang tertentu yang patut dipatuhi, antaranya seperti:

  • Kedalaman liang mestilah mengikut keadaan cuaca yang mana dapat menjaga mayat daripada ancaman binatang buas.
  • Selain itu liang dapat menjaga dan menutupi bau jenazah.
  • Kedalaman liang yang mencukupi merangkumi (setinggi dada seorang lelaki yang berdiri, setinggi seorang lelaki yang berdiri, setinggi seorang lelaki berdiri sambil mengangkat kedua tangannya. Dan ini merupakan yang afdhal.

Dalam hal ini, ulama berpendapat ukuran liang lahad yang digunakan di negara kita adalah 3 hasta setengah atau 4 hasta setengah atau dalam kata lain 3 x 7 kaki.

Cara kebumikan jenazah lelaki dan perempuan

1. Apabila sampai jenazah di kubur, hendaklah diletakkan kepala jenazah di arah kaki kubur.

2. Diangkat jenazah itu ke dalam liang lahad atau lubang tengah perlahan-lahan dan cermat.

3. Miringkan jenazah itu ke sebelah kanan dan dihadapkan mukanya ke arah kiblat. Mereka yang tidak menghadap muka jenazah ke arah kiblat di masa menanamnya di dalam kubur beerti mereka itu telah melakukan dosa besar.

4. Jika jenazah itu perempuan ketika memasukkannya ke kubur, hendaklah ditutup di atasnya dengan kain dan sebagainya.

5. Ketika mengangkat jenazah ke dalam kubur disunatkan membaca: “Bismillaahi wa’alaa millati rasuulillaah”

6. Hendaklah dimasukkan jenazah itu ke kubur dari arah kaki kubur dengan mendahulukan kepalanya.

7. Buka tali ikatan yang mengikat kafan jenazah.

8. Bukakan kain kafan pada muka jenazah supaya mukanya mencecah ke tanah.

9. Setelah ditutup lahad jenazah itu hendaklah dimasukkan ke dalam kuburnya tiga kepal tanah dan dibaca:

  • Kepal yang pertama : مِنْهَا خَلَقْنٰكُمْ (Daripada tanah Kami jadikan kamu)
  • Kepal yang kedua :  وَفِيْهَا نُعِيْدُكُمْ (Dan kepada-Nya Kami kembalikan kamu)
  • Kepal yang ketiga : وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً اُخْرٰى (Dan daripada tanah juga Kami akan dikeluarkan kamu sekali lagi)

10. Tutup lubang kubur itu dengan papan dan sebagainya, dan timbus dengan tanah serta tinggikan kira-kira sejengkal.

11. Bahagian atas kubur yang ditinggikan sekadar sejengkal itu, jangan dilonjongkan tetapi hendaklah didatarkan dan diratakan.

12. Hendaklah menandakan kubur dengan batu dan sebagainya (batu nisan) di sebelah kepala jenazah.

13. Setelah selesai jenazah dikebumikan, hendaklah dibacakan talkin bagi jenazah yang sudah baligh. Orang yang membacakan talkin, hendaklah duduk atau berdiri pada muka jenaah dengan membelakangkan kiblat dan orang yang hadir berdiri mendoakan jenazah memohon kepada Allah supaya diampunkan dosanya.

Waktu untuk mengebumikan jenazah

Tiada waktu tertentu untuk menguburkan jenazah. Sebaliknya ia boleh dikebumikan pada bila-bila waktu sahaja. 

Namun terdapa tiga waktu yang dilarang oleh Rasulullah untuk mengebumikan jenazah iaitu:

  • Matahari sedang terbit.
  • Matahari di tengah langit sehingga gelincir.
  • Matahari hampir terbenam.
  • Tengah malam.

Hal ini berdasarkan kepada hadis Uqbah bin Amir, beliau berkata:

"Ada tiga waktu kami dilarang oleh Rasulullah untuk melakukan solat atau menguburkan jenazah di antara kami iaitu, ketika mulai terbit matahari hingga benar-benar terbit, ketika pertengahan hari hingga matahari condong ke barat dan ketika matahari mulai terbenam hingga benar-benar terbenam." - (Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah)

Hikmah menguburkan jenazah

Terdapat tiga kebaikan utama dalam menguburkan jenazah menurut Islam. Antaranya adalah:

  • Menjaga kehormatan mayat dengan mengelakkan pandangan dan baunya yang akan menjijikkan. Ini akan menutup keaiban, memelihara maruah mayat dan ahli keluarganya.
  • Memberi pengajaran praktikal kepada orang yang masih hidup berkenaan hakikat kehidupan dunia dan kematian.
  • Kerja-kerja mengurus dan menanam mayat ini akan mewujudkan hubungan yang baik antara sesama masyarakat serta meringankan beban tanggungan fizikal dan emosi keluarga yang ditimpa musibah tersebut.

Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai panduan cara kebumikan jenazah ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat.

Sumber:

  1. Panduan Pengurusan Jenazah dan Pusara Orang Islam Menurut Syarak. Mufti Penang
  2. #1011: Mengebumikan Jenazah Bersama Keranda. Maktabah Al Bakri
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.