Puasa Nazar: Niat, Hukum, Tatacara, dan Hikmahnya

Apakah yang dimaksudkan dengan nazar? Dan bagaimana pula cara untuk melakukan puasa nazar dengan syarat dan rukun yang ditetapkan syarak?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan puasa nazar dan manfaat dalam melaksanakannya.

Baca juga:

Apa itu puasa nazar?

puasa nazar

Nazar berasal dari perkataan Arab iaitu nuzriah. Pengertiannya hampir sama dengan janji dan sumpah.

Maksud nazar adalah seseorang mewajibkan dirinya untuk melakukan kebaikan kerana mendekatkan diri kepada Allah.

Manakala puasa nazar pula adalah puasa yang dilakukan untuk menunaikan nazar yang telah dijanjikan terhadap Allah SWT setelah apa yang dihajati telah termakbul. 

Hukum menunaikan nazar

Nazar adalah wajib ditunaikan kerana firman Allah dalam surah Al-Hajj, ayat 29 yang bermaksud:

وَلْيُوفُوا۟ نُذُورَهُمْ

Maksudnya: "Dan hendaklah mereka menunaikan segala nazar mereka itu.” 

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

"Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya. Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepadanya maka janganlah dia bermaksiat kepadanya." - (Hadis Riwayat Al-Bukhari, No. 6696)

Rukun nazar

Ulama berpendapat bahawa terdapat tiga rukun untuk nazar iaitu:

  • Sighah (bentuk ucapan)
  • Orang yang melakukan nazar (الناذر)
  • Perkara yang dinazarkan (المنذور)

Sighah adalah ucapan yang terbit dari pelaku nazar. Tidak sah nazar seseorang tanpa perkataan yang keluar dari mulutnya. Contohnya:

‘’Untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’. Sekiranya seseorang itu menyebut : ‘’Ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’, maka nazarnya sah.

atau diucapkan dengan lengkap:

“Sekiranya Allah menyembuhkan sakitku ini, maka untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian’’. Dan disyaratkan juga pada sighah supaya dilakukan dengan lafaz yang menunjukkan kepada iltizam (kesungguhan).

Justeru apabila seseorang bernazar untuk berpuasa seperti menyatakan:

“Demi Allah aku akan berpuasa” atau “aku akan berpuasa pada hari berikut dan berikut”. Maka wajib dia menunaikan puasanya seperti yang dinazarkan. Dan begitu juga kalau ia bernazar dengan berpuasa sama ada bilangan hari ataupun nama hari yang ditetapkan.

Rukun nadzir (orang yang bernazar)

Antara rukun atau syarat yang perlu dipenuhi oleh nadzir iaitu orang yang bernazar adalah seperti berikut:

  • Islam
  • Baligh
  • Berakal (mukallaf)
  • Dengan kehendak sendiri bukan paksaan dari mana-mana pihak
  • Mampu untuk melakukan nazar.

Syarat sah nazar

Nazar sah disisi syarak bila mana kita mematuhi syarat-syarat sah yang dinyatakan di bawah:

1. Jelas tanpa ragu-ragu

Lafaz yang jelas adalah seperti, “Saya bernazar akan puasa pada hari Isnin dan Khamis”.

Manakala jika seseorang mengatakan tanpa kepastian atau ragu-ragu seperti “Jika saya lulus dalam subjek Sains, kemungkinan besar saya akan berpuasa.”

2. Isi nazar

Kemudian, isi dari nazar atau perkara yang ingin dinazarkan mestilah suatu ketaatan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah dan bukan bersifat kemaksiatan.

Tidak sah nazar pada perkara haram seperti  merogol atau membunuh  dan sebagainya.

Sebab melakukan puasa nazar

Seseorang wajib untuk berpuasa nazar, bersedekah atau apa-apa kebaikan lain kerana tujuan untuk menunaikan janji yang telah dinazarkan terhadap Allah setelah apa yang dihajati telah dimakbulkan oleh Allah. 

Ini juga bagi menunjukkan rasa syukur atas nikmat yang diberikan dan ketaatan kita sebagai hamba kepada Allah.

Tatacara melaksanakan puasa nazar

Dari segi pelaksanaan puasa nazar, ia sebenarnya sama sahaja dengan puasa-puasa sunat dan wajib yang lain. Hanya sahaja lafaz niat yang diucapkan adalah berbeza.

Berikut ini adalah pandua lengkap untuk melaksanakan puasa tersebut.

1. Mulakan puasa dengan sahur sebelum masuk waktu imsak. Hukum bagi sahur ini adalah sunat dan bagi sesiapa yang tidak sempat untuk melaksanakannya maka tidak berdosa.

2. Membaca lafaz niat puasa nazar:

نَوَيْتُ صَوْمَ النَّذَرِ لِلّٰهِ تَعَالىَ

Nawaitu shauma nadzri lillahi taala taala

Maksudnya: "Aku berniat puasa nazar kerana Allah Ta'ala."

3. Menahan lapar dan dahaga, serta tidak melakukan hal-hal yang membatalkan puasa lainnya seperti melakukan hubungan suami isteri di siang hari dan sebagainya.

4. Berbuka puasa di waktu matahari terbenam atau ketika masuk waktu Maghrib. Ini adalah doa buka puasa nazar:

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَي رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

“Allahumma laka shumtu wa bika amantu wa ‘ala rizqika afthortu bi rahmatika ya arhamar rahimin.” 

Maksudnya: "Ya Allah, hanya kepada Mu hamba berpuasa, hanya kepada Mu hamba percaya, dan hanya dengan rezeki dari Mu hamba berbuka. Dengan rahmat Mu wahai zat Yang Maha Penyayang."

Puasa nazar atau ganti puasa qadha dulu?

Puasa nazar adalah wajib ditunaikan. Namun begitu, bila berlaku pertembuangan antara puasa nazar dan qadha’ puasa Ramadhan dalam keadaan waktu ramadhan yang akan datang hampir tiba, maka mestilah di dahulukan puasa qadha’ Ramadhan

Manfaat puasa nazar

puasa nazar

1. Menguatkan hubungan dengan Allah

Puasa nazar merupakan bentuk ibadah sukarela yang dilakukan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah.

Melalui puasa ini, seseorang menunjukkan ketulusan dan kesungguhan hati dalam menjaga janji dan pengorbanan kepada Nya. Hal ini dapat memperkuat hubungan spiritual dengan Allah.

2. Menguatkan disiplin diri

Puasa nazar melibatkan menahan diri dari makan, minum, dan beberapa aktiviti tertentu untuk jangka waktu tertentu.

Dengan melakukan puasa ini, seseorang dapat mengembangkan disiplin diri yang kuat, kerana memerlukan ketekunan dan keteguhan hati untuk menjaga puasa dengan penuh kesungguhan.

3. Menguatkan pengendalian diri

Puasa nazar melibatkan pengendalian diri dalam banyak hal, termasuk mengendalikan keinginan-keinginan duniawi dan menghindari perilaku yang tidak sesuai dengan nilai-nilai agama.

Dengan melatih diri untuk mengendalikan hawa nafsu dan godaan, seseorang dapat mengembangkan kekuatan pengendalian diri yang lebih baik.

4. Mendapatkan pahala dan berkah

Setiap amal ibadah yang dilakukan dengan tulus dan ikhlas akan mendapatkan pahala dari Allah.

Puasa nazar adalah bentuk ibadah yang dikerjakan atas kesadaran dan niat yang baik, sehingga diharapkan mendatangkan pahala yang besar.

Selain itu, puasa juga memiliki banyak manfaat fizikal dan mental, seperti membersihkan tubuh dari racun, meningkatkan fokus, dan meningkatkan kekuatan spiritual.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan tatacara panduan melakukan puasa nazar ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan.

Sumber:

  1. Al-Kafi #1446: Bagaimanakah Cara Puasa Nazar dan Kaffarah Sumpah Si Mati Ditunaikan Oleh Warisnya. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. #706 Keutamaan Antara Puasa Qadha’ Ramadhan dan Puasa Nazar. Maktabah Al Bakri
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.