Puasa Hari Putih: Maksud & Kelebihan Mengamalkannya
Puasa Hari Putih: Maksud & Kelebihan Mengamalkannya
Tahukah anda terdapat satu sunnah Nabi Muhammad SAW yang menyarankan kita untuk berpuasa pada setiap pertengahan bulan Islam?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai puasa hari putih berserta dengan kelebihannya yang perlu kita ketahui.
Apa Itu Hari Putih?
Nama lain puasa Hari Putih adalah puasa ayyamul bidh. Ayyamul bidh merupakan bentuk jamak dari al-yaum yang bermaksud hari, sedangkan bidh adalah putih.
Pengertian Hari Putih ini bermaksud berpuasa pada hari bulan mengambang iaitu pada setiap hari ke-13, 14, dan 15 di pertengahan bulan Islam.
Ini kerana pada waktu tersebut cahaya bulan sangat terang-benderang (waktu bulan purnama).
Bulan tampak selalu menyinari bumi sejak matahari terbenam sampai terbit kembali.
Dalam situasi itu, sama ada pada waktu malam ataupun siang keadaannya terang dan dipenuhi cahaya.
Bilakah Terjadi Hari Putih?
Puasa Hari Putih adalah puasa yang sunat dilakukan pada setiap 13, 14, dan 15 hari bulan untuk setiap bulan mengikut bulan Takwim Islam.
Namun bagi bulan Zulhijjah, puasa sunat hari putih hanya boleh dilakukan pada 14 dan 15 hari bulan sahaja kerana puasa pada 13 Zulhijjah (hari tasyrik) adalah haram pada hari tersebut.
Niat Puasa
Nawaitu sauma ayyamal bidh sunnatan lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana Allah taala
Kelebihan Puasa Hari Putih
Amalan berpuasa sama ada puasa bulan Ramadan atau puasa sunat di hari-hari putih memiliki banyak kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri di sisi Islam berdasarkan dalil-dalil Al-Quran, hadis, mahupun kajian saintifik.
Berikut ini adalah antara kelebihan berpuasa ketika Hari Putih yang boleh anda dapatkan:
1. Pahala seolah-olah puasa sepanjang tahun
Kelebihan utama yang disebut-sebut kepada sesiapa yang berpuasa pada Hari Putih adalah mendapat pahala seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.
Hadis daripada Qatadah bin Milhan RA, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 hari bulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.” – (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 2449)
2. Meningkatkan kesihatan tubuh badan
Puasa sering dikaitkan dengan tips mudah untuk menurunkan berat badan. Namun tidak ramai yang tahu ketika puasa ini juga ia sangat bagus dalam membantu meningkatkan kesihatan tubuh badan.
Berdasarkan kajian saintifik, puasa membantu mengawal diabetes, mengurangkan tekanan darah, mencegah kencing manis, mengurangkan faktor risiko penyakit jantung, mengurangkan simptom penyakit pencernaan (GERD) dan meningkatkan daya tumpuan otak.
3. Mensucikan jiwa
Matlamat utam puasa adalah untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Ibadah ini juga menjadi salah satu latihan spiritual dan penyucian jiwa bertujuan mendidik hati agar dijauhi sifat mazmumah yang boleh menjerumuskan kita ke lembah kemaksiatan.
4. Doa yang mustajab
Orang yang berpuasa tergolong sebagai salah satu golongan yang tidak ditolak doanya. Hal ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
“Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Pemimpin yang adil, orang yang berpuasa sehingga ia berbuka dan doa orang yang dizalimi.” – (Hadis Riwayat Ibnu Majah, No. 1752, Hadis Hasan)
5. Mendidik diri erti kesederhanaan
Mungkin kita tidak perasan bahawa puasa boleh mendidik diri dengan sifat kesederhanaan dengan apa yang kita lakukan.
Mereka yang berpuasa dibenarkan makan minum pada waktu lewat malam (sebelum Subuh) dan awal malam (waktu Maghrib), yakni waktu sahur serta waktu iftar.
Ini bermakna kita hanya makan 2 kali sehari semalam lantas mengurangkan gaya hidup yang lebih sederhana dari biasa.
Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai puasa hari putih ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan dalam menjalani ibadah puasa sunat setiap tahun.
Sumber:
- Sejarah Puasa Tiga Hari Setiap Bulan, Ayyamul Bidh. Republika
- Puasa Hari Putih Dalam Islam. Maksud dan Kelebihan? i Puasa
- Puasa Umat Terdahulu. Mufti Negeri Terengganu