6 Perbuatan Yang Membuat Doa Tidak Diterima

Tidak semua doa yang kita panjatkan kepada Allah akan dimakbulkan. Justeru, apakah contoh perbuatan yang membuat doa tidak diterima oleh Allah SWT?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan perbuatan yang membuat doa tidak diterima dan dimakbulkan.

Baca juga:

1. Terhalang oleh dosa dan maksiat diri

Maksiat adalah perbuatan mengingkari perintah yang ditetapkan oleh Allah SWT sama ada dengan melakukan larangan Allah dan Rasul atau meninggalkan suruhan Allah dan Rasulnya.

Kesan kepada maksiat ini boleh menganggu atau meruntuhkan akidah, syariat ataupun akhlak seseorang itu.

Ibnu Qayyim berkata:

Sungguh! Maksiat itu adalah sebab hilangnya keberkatan rezeki dan waktu.”

Dalam sebuah hadis adalah menjelaskan akan kekuatan doa sehingga mampu menghalang termakbulnya doa seseorang.

Daripada Thauban RA, Rasulullah SAW bersabda:


إِنَّ الرَّجُلَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بِالذَّنْبِ يُصِيبُهُ ، وَلاَ يَرُدُّ الْقَدَرَ إِلاَّ الدُّعَاءُ

“Sesungguhnya seseorang itu boleh terhalang dari rezeki disebabkan dosa yang dilakukannya. Tidak ada yang dapat menolak takdir kecuali doa.” - (Riwayat Ibn Majah (4022), Ahmad (22745) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9752)

Antara jenis-jenis maksiat adalah seperti:

  • Maksiat kepada Allah dan Rasul iaitu meninggalkan perintahNya dan melakukan laranganNya.
  • Maksiat terhadap makhluk seperti manusia, haiwan, alam sekitar, dan harta awam.
  • Maksiat dalam apa jua bentuk dan terhadap sesiaap sahaja.

Syaikh Abdul ‘Aziz bin Abdillah bin Baz juga menyatakan yang sama bahawa antara faktor yang menyebabkan doa tidak termakbul kerana buruknya amalan, maksiat dan keburukan yang seseorang lakukan.

2. Niat doa yang tidak baik

Rasulullah SAW pernah mendengar seseorang yang mencela haiwan tunggangannya, lalu baginda menyuruh dia turun dan meninggalkan tunggangan itu. Kemudian baginda mengingatkan:

لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ، وَلَا تَدْعُوا عَلَى أَوْلَادِكُمْ، وَلَا تَدْعُوا عَلَى أَمْوَالِكُمْ، لَا تُوَافِقُوا مِنَ اللهِ سَاعَةً يُسْأَلُ فِيهَا عَطَاءٌ، فَيَسْتَجِيبُ لَكُمْ.

“Janganlah mendoakan keburukan ke atas diri kalian, janganlah mendoakan keburukan ke atas anak-anak kalian, janganlah mendoakan keburukan ke atas harta benda kalian,

agar (doa) kalian tidak bertepatan dengan satu masa daripada Allah yang mana apabila kalian meminta sesuatu permintaan di dalam waktu tersebut, dimakbulkan bagi kalian (doa keburukan itu).” – (Hadis Riwayat Muslim)

Seseorang yang mendoakan kepada keburukan tidak semestinya akan bermula dengan ungkapan, “Ya Allah….” atau “Wahai tuhan…” tetapi terus kepada ucapan-ucapan buruk seperti “Celakalah aku!”, “Engkau sial!” atau sebagainya.

Justeru, berhati-hatilah dalam berbicara kerana lidah kita yang tidak bertulang ini sukar untuk dikawal apabila dalam keadaan marah melainkan dengan iman.

3. Hati lalai dan tidak bersungguh-sungguh

Orang lain berdoa pada tempat, waktu, masa, dan hari yang sama seperti kita. Tetapi mengapa doa orang lain termakbul tetapi kita tidak?

Kita perlu faham bahawa doa adalah sebahagian dari ibadah. Justeru, seperti mana kita solat dengan sepenuh hati untuk mendapatkan khusyuk begitu jugalah dalam halnya berdoa.

Mereka yang bersungguh-sungguh, tidak ragu-ragu, khusyuk, dan tidak lalai dalam doanya atau berdoa dengan sepenuh hati, Allah akan memberikan pahala atas doa yang dipanjatkan.

Rasulullah SAW bersabda,

“Berdoalah kepada Allah dan kamu yakin akan dikabulkan. Ketahuilah bahawa Allah tidak akan mengabulkan doa orang yang hatinya lalai dan tidak khusyuk’.” – (Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan Al-Hakim)

Jika kita sendiri meragui tentang doa kita, bagaimana Allah hendak kabulkan? Ini seolah-oleh menunjukkan kita tidak percaya akan pertolongan Allah.

4. Meninggalkan amar makruf nahi mungkar

Maksud amar makruf nahi mungkar adalah mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Dalam surah Ali-Imran, ayat 104 bermaksud:

“Dan hendaklah di antara kamu ada segolonan yang menyeru kepada kebajikan dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”

Antara sifat seorang pelaku amar makruf nahi mungkar yang baik ialah :

  1. Ikhlas semata-mata kerana Allah
  2. Mempunyai asas dan ilmu untuk melaksanakan dakwah
  3. Berlemah lembut sesama manusia
  4. Sabar yang timggi dalam berdakwah
  5. Melihat serta mengukur kemaslahatan dan kemudaratan
  6. Melakukan secara syarii dan adil
  7. Menjadi ikutan dan contoh teladan bagi orang lain

Dalam sebuah hadis daripada Aisyah R.anha, Rasulullah SAW bersabda:

“Lakukanlah amar ma’ruf dan nahi munkar (dakwah) sebelum kamu berdoa namun doa kamu tidak dikabulkan.” – (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Oleh itu, sama-samalah kita bermuhasabah diri kita sejauh mana kita telah membantu agama Islam ini sehingga orang lain mendapat manfaat darinya.

5. Permintaan digantikan dengan yang lebih baik

Allah juga tidak mengabulkan doa kita kerana Dia telah memilih sesuatu yang terbaik untuk diri kita dengan menggantikan apa yang kita minta dengan sesuatu yang lebih bermanfaat di syurga dan di akhirat kelak.

Contohnya, kita berharap dapat berjodohan dengan wanita A, tetapi Allah memberikan jodoh kita dengan wanita B.

Bila diselidik rupanya, latar belakang dan akhlak peribadi wanita B ini solehah dan dari keluarga yang kaya-raya.

Yakinkan diri kita bahawa sebaik-baik perancang adalah dari Allah SWT sendiri.

6. Allah menundakan doa

Kadang kala Allah menunda sesuatu yang kita minta, bukan kerana tidak ingin mengabulkan. Namun, ingin menguji seberapa rasa sabar dalam ikhtiar dan doa yang kita panjatkan.

Walau apa pun alasannya, jangan pernah berhenti dari berdoa kepada Allah sungguhpun doa belum mustajab.

Kerana akan tiba ketikanya Allah akan memakbulkan doa tersebut kerana kesabaran kita itu nanti akan diberikan lebih daripada apa yang diminta.

Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai perbuatan yang membuat doa tidak diterima ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. Tadabbur Kalamullah 20 Ramadhan 1441H – Sebab Doa Tertolak. JAKIM
  2. Sebab Doa Tidak Mustajab Oleh Ibrahim bin Adham RH (162-H). Mufti Perlis
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.