Solat Duduk Yang Betul Mengikut JAKIM [Panduan Lengkap]
Salah satu cara solat orang sakit adalah dengan solat duduk mengikut kemampuan diri.
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai cara solat orang sakit khusus dalam keadaan duduk yang boleh anda lakukan sekiranya dalam keadaan sakit atau mempunyai keuzuran yang dibenarkan oleh syarak.
Apa itu solat duduk?
Solat duduk merujuk kepada tindakan melaksanakan solat sambil duduk. Ini biasanya dilakukan oleh orang-orang yang berada dalam keadaan sakit atau tidak mampu berdiri atau rukuk atau sujud kerana sebab-sebab tertentu.
Kaedah solat seperti ini masih sah dan diterima dalam syariat Islam asalkan ia dilakukan dengan betul dan sebaik mungkin berdasarkan kemampuan individu tersebut.
Cara melaksanakan solat dengan duduk ini juga bervariasi berdasarkan kemampuan individu.
Sebagai contoh, jika individu itu mampu rukuk tetapi tidak mampu sujud, mereka boleh berdiri dan rukuk seperti biasa, tetapi duduk ketika sujud. Jika mereka tidak mampu berdiri sama sekali, mereka boleh melaksanakan solat semuanya sambil duduk.
Untuk tanda-tanda rukuk dan sujud ketika duduk, individu tersebut boleh membengkokkan badan mereka ke depan sejauh yang mereka mampu.
Secara umum, pembengkokan untuk sujud harus lebih jauh daripada pembengkokan untuk rukuk, untuk menunjukkan perbezaan antara kedua gerakan tersebut.
Bolehkah solat dengan duduk jika boleh berjalan?
Bagi yang mampu untuk solat fardhu secara berdiri tetapi tidak melakukannya dan bahkan melakukannya dalam keadaan duduk, umpanya solatnya tidak sah menutut Mazhab Syafie.
Hal ini kerana berdiri adalah salah satu rukun solat bagi yang mampu. Manakala bagi Mazhab Hanafi pula, orang yang tidak mampu melakukan sujud seperti biasa gugur daripadanya kewajipan berdiri dan boleh dilakukan daam keadaan duduk.
Pahala solat dalam keadaan duduk
Mengenai pahala solat dalam keadaan duduk ini, ia adalah sama dengan pahala seperti solat berdiri.
Adapun orang yang mendapat separuh pahala itu hanyalah bagi orang sihat yang solat sunat dalam keadaan duduk. Hal ini kerana, solat dalam keadaan tersebut dibenarkan hanya sahaja apabila seseorang itu mempunyai keuzuran yang tertentu.
Dari Imran bin Husain Ra berkata: Aku bertanyakan Nabi saw tentang seorang lelaki yang solat sunat dalam keadaan duduk maka Nabi saw menjawab:
مَنْ صَلَّى قَائِمًا فَهُوَ أَفْضَلُ، وَمَنْ صَلَّى قَاعِدًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ القَائِمِ، وَمَنْ صَلَّى نَائِمًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ القَاعِدِ
“Siapa yang solat berdiri maka ialah yang afdhal dan siapa yang solat dalam keadaan duduk maka baginya separuh pahala solat berdiri. Dan siapa yang solat berbaring maka baginya separuh pahala solat duduk.” - (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Namun begitu, orang yang uzur dan solat dalam keadaan duduk, pahalanya tidak berkurang sebagaimana dia solat berdiri ketika dia sihat.
Dari Abu Musa Al- Asy’ari RA katanya Nabi SAW bersabda:
إذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتب مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
“Apabila seorang itu sakit atau dalam musafir nescaya ditulis pahala seperti dia kerjakannya ketika sedang mukim dan sihat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Keadaan yang membolehkan seseorang itu duduk
Antara situasi yang menyebabkan seseorang itu diperbolehkan untuk duduk ketika solat adalah kerana:
- Tidak mampu untuk berdiri.
- Mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk sekiranya dia bersolat secara berdiri.
- Seseorang yang berada di atas kapal, sampan, ataupun perahu, yang takut akan tenggelam sekiranya dia melakukan solat secara berdiri di atas kenderaan tersebut.
- Seseorang yang berasa pening kepala.
- Sakit yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat.
Menurut Imam Al-Nawawi Rahimahullah:
Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri), ataupun seseorang berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. Lihat Al-Majmu’ (4/310).
Cara solat secara (iftirasy & di katil)
Sebaik-baiknya duduk di atas lantai tempat solat secara iftirasy iaitu duduk seperti duduk di antara dua sujud. Jika tidak mampu boleh duduk secara bersila atau mengikut kemampuan.
1 – Mulakan solat dalam keadaan duduk jika tidak mampu berdiri. Jika masih mampu berdiri, mulakan dalam keadaan berdiri dan kemudian duduk setelah tidak mampu.
2 – Pesakit juga boleh solat duduk di atas kerusi, katil dan seumpamanya.
3 – Kemudian, baca Al-fatihah setelah bertakbiratul ihram.
4 – Setelah itu rukuk dengan menundukkan badan. Sekurang-kurangnya kedudukan dahi berada setentang melepasi paras lutut dan sebaik-baiknya kedudukan dahi berada setentang dengan tempat sujud. Jika tidak mampu lakukan semampunya.
5- Setelah itu i’tidal dengan kembali duduk menegakkan badan.
6 – Kemudian, sujud. Pesakit hendaklah sujud di atas lantai tempat solat jika mampu berbuat demikian. Tidak memadai hanya sujud dengan menundukkan badan sahaja bagi yang mampu sujud di atas lantai tempat solat.
Jika tidak mampu sujud di atas lantai tempat solat lakukan sujud dengan menundukkan badan lebih sedikit berbanding ketika rukuk supaya dibezakan di antara keduanya. Jika tidak mampu, lakukan semampunya walau pun paras di antara rukuk dan sujud sama.
7 – Setelah itu duduk di antara dua sujud seperti biasa.
8 – Setelah itu lakukan sujud sekali lagi seperti sujud yang pertama.
9 – Setelah selesai sujud yang kedua kembali duduk menegakkan badan untuk rakaat seterusnya. Begitulah dilakukan pada setiap rakaat.
10 – Lakukan tasyahhud dan sebaiknya duduk secara tawarruk ketika tasyahhud akhir jika mampu. Jika tidak, duduk seperti sedia ada.
11 – Ucapkan salam setelah selesai tasyahhud akhir. Sunat dipalingkan muka ke kanan ketika salam pertama dan ke kiri ketika salam kedua.
Cara solat secara (di kerusi)
Kesimpulannya
Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai tatacara solat duduk ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan bersama.
Sumber:
- Hukum Menunaikan Solat Dalam Keadaan Duduk Atas Kerusi. Mufti Negeri Terangganu
- Hukum Solat Cara Duduk Di Atas Kerusi Bagi Orang Yang Uzur. JAKIM