10 Adab Berdoa Dalam Islam Yang Mudah Untuk Dipraktikkan

Umat Islam diajarkan untuk beradab dalam melakukan apa sahaja dalam hidup ini. Ini termasuklah dalam halnya menjaga adab berdoa dalam memohon pengharapan kepada Allah SWT.

Apa itu doa?

adab berdoa

Perkataan doa adalah berasal dari Bahasa Arab yang beerti seruan, panggilan, ajakan atau pun permintaan.

Dari segi syarak pula, doa ini diistilahkan sebagai memohon kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan dan pengharapan .

Hal ini ada dijelaskan menerusi firman Nya dalam surah Ghafir, ayat 60:

Maksudnya: “Berdoalah kepadaku, nescara akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah Ku akan masuk ke Neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.”

Kenapa perlu berdoa?

Doa menjadi tali penyambung yang kukuh antara hamba dengan Rabb Nya. Ia juga adalah satu bentuk ibadah dan zikir kepada Allah.

Allah tidak memerlukan doa kita tetapi sebaliknya kita perlukan doa kepada Allah. Sungguhpun kita tidak memberitahu hajat atau permintaan kita, Allah tetap tahu segala-galanya.

Namun begitu, doa adalah tugas pengabdian kita sebagai seorang hamba. Berdoa menunjukkan kita adalah hamba Nya yang lemah dan sangat memerlukan Allah dari segala-galanya.

Adab berdoa yang diajarkan dalam Islam

Berdoa bukannya hanya sekadar menadah tangan dan berdoa. Ada lagi beberapa adab berdoa yang perlu kita ketahui bagi membantu untukk memperoleh keberkatan dalam doa tersebut.

Berikut ini adalah adab berdoa yang boleh kita amalkan sepanjang masa.

1. Berwuduk sebelum berdoa

Berwuduk adalah menggunakan air dengan berniat untuk membersihkan anggota wajib baik menghilangkan hadas kecil. Sungguhkan berwuduk sebelum berdoa tidaklah diwajibkan tetapi ianya sunat bila dibuat.

Hal ini kerana wuduk boleh mengampunkan dosa kita. Ini bertepatan dengan satu hadis:

“Apabila seorang Muslim berwuduk, ketika membasuh muka, maka keluar dari wajahnya dosa-dosa yang pernah dilakukan matanya bersama titisan air yang terakhir. Ketika membasuh kedua tangannya, maka keluarlah setiap dosa yang pernah dilakukan tangannya bersama titisan air yang terakhir. Ketika membasuh kakinya, maka keluarlah dosa yang dijalani oleh kakinya bersama titisan air yang terakhir, sampai ia bersih dari semua dosa.” – (Hadis Riwayat Muslim)

2. Mengangkat kedua-dua belah tangan sambil berdoa

Sunnah ketika berdoa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW adalah dengan mengangkat kedua-dua belah tangan menghala ke langit.

Abdullah Bin Omar RA berkata: Nabi Muhammad SAW mengangkat kedua-dua tangannya, lalu baginda berdoa: Ya Allah, aku berlepas diri kepada Mu daripada apa yang dilakukan oleh Khalid (dua kali).” – (Diriwayatkan oleh Al Bukhari)

Dalam hadis lain, berkata Abu Musa: Kemudian baginda Rasul SAW mengangkat kedua-dua tangannya, lalu beliau berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa ‘Ubaid Bin ‘Amir, dan aku melihat keputihan ketiak baginda.” – (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Selepas selesai berdoa, sunat pula untuk kita menyapu dengan kedua-dua belah tangan tersebut.

3. Berdoa dengan merendah diri

adab berdoa

Berdoa menjadi simbolik bahawa kita ini hamba Nya yang lemah dan sangat bergantung kepada kebesaran Allah SWT sebagai pemilik dunia dan isinya ini.

Justeru itu, ketika berdoa meletakkan diri sebagai seorang hamba sepatutnya menjadikan kita lebih rendah diri dan tawaduk dengan apa sahaja yang dimiliki.

Di dalam Al-Quran, banyak kali Allah SWT menceritakan tentang keadaan para Nabi ketika mereka memohon kepada Nya, antaranya:

“Dan (ingatlah kisah) Ayyub, ketika ia menyeru Tuhannya: (“Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang diantara semua penyayang.” – (Surah Al-Anbiyaa, ayat 83)

“Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru Tuhannya: “Ya Tuhanku, janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri, dan Engkaulah waris yang paling baik”. (Al-Anbiyaa, ayat 89)

4. Berdoa dengan penuh yakin

Yakin dalam berdoa biarpun kita tidak tahu akan qada dan qadar yang telah ditetapkan dalam hidup kita ini.

Doa biarpun kadang kala kita sudah menghafalnya dengan pantas tetapi tanpa penghayatan dan keyakinan yang jitu, doa tersebut tidak dapat memberi kesan kepada jiwa kita sendiri.

Dari Anas RA katanya: “Rasulullah SAW bersabda”: 

Maksudnya: “Apabila kamu berdoa, hendaklah kamu bersungguh-sungguh, yakin dalam doa (bahawa Allah Taala mendengar dan mengabulkan). Janganlah kamu berdoa dengan kalimah, “Ya Allah, jika Engkau mahu, berilah aku!” Kerana sesungguhnya Allah Taala tidak dipaksa memenuhi sesuatu doa.” – (Hadis Riwayat Anas)

5. Berdoalah dengan suara yang lembut

Layaknya sebagai seorang hamba kepada Tuhannya, bila berdoa gunakanlah suara yang lembut, sopan, dan menyenangkan hati apabila didengar.

Jika kita boleh berkata yang baik-baik kepada orang yang berpangkat tinggi, dan dihormati ramai, sepatutnya kepada Allah Yang Maha Berkuasa kita berbuat lebih daripada itu.

6. Menghadap kiblat.

adab berdoa

Berdoa sambil menghadap kiblat merupakan salah satu dari sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Dari Abdullah Bin Mas’ud RA, katanya: Nabi Muhammad SAW menghadap ke Ka’bah, lalu beliau berdoa mengutuk beberapa orang dari golongan Quraisy.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Beristighfar sebelum memulakan berdoa

Istighfar adalah memohon keampunan atas segala dosa yang telah kita lakukan sebagai seorang hamba kepada Allah SWT.

Adab berdoa yang sering kita tinggalkan salah satunya adalah beristighfar sebelum memulakan doa. Dengan istighfar kita boleh memusatkan perhatian kita dengan mengingati Allah.

8. Memulakan doa dengan memuji kebesaran Allah dan berselawat kepada Nabi SAW

Kita sangat dianjurkan untuk memperbanyakkan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.

Selawat kepada Nabi dalam doa adalah dengan meminta kepada Allah agar dilimpahkan rahmat ke atas Nabi Muhammad SAW.

9. Memohon keampunan Allah

Mohon keampunan Allah dalam setiap doa-doa yang kita lantunkan agar kita lebih ikhlas dalam berharap kepada Allah.

Mengaku dan kesali setiap dosa dan kemaksiatan yang dibuat dan seterusnya tidak mengulanginya lagi.

10. Memahami isi dan maksud doa yang dilafaz

Daripada kita menggunakan bahasa yang sukar dan tidak difahami adalah lebih baik kita berdoa mengikut bahasa dan cara yang mudah untuk kita lakukan dan faham.

Misalnya jika kita lebih selesa menggunakan Bahasa Melayu, maka berdoalah dengan cara tersebut. Begitu juga dengan bahasa-bahasa yang lain. Ini bagi membolehkan kita lebih faham akan isi dan maksud doa yang dilafazkan itu.

Diharapkan perkongsian mengenai adab berdoa dalam Islam ini dapat memberikan anda semua ilmu pengetahuan dan informasi yang bermanfaat untuk diaplikasikan sepanjang kehidupan.

Sumber:

  1. Soal Jawab Adab-Adab Berdoa. Kapten Hafiz Firdaus. Santai Ilmu Publication
  2. Al-Kafi #1015: Bagaimana Mendapatkan Doa Mustajab. Mufti Wilayah Persekutuan
  3. Adab Ketika Berdoa Koleksi Hadith JAKIM
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.