Pegang Al Quran Tanpa Wuduk Pun Boleh Jadi Berdosa?
Apakah hukum apabila anda pegang Al Quran tanpa wuduk?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan hukum pegang Al Quran tanpa wuduk merangkumi mushaf Al Quran, aplikasi Al Quran dan tafsir Al Quran.
Baca juga:
Adab ketika membaca Al Quran
Al Quran merupakan firman Allah yang menjadi pedoman kepada umat manusia untuk mengajar dan memimpin mereka kepada petunjuk bagi mendapatkan kebaikan, keberkatan, dan keselamatan baik di dunia mahupun di akhirat.
Mereka yang membaca, mempelajari, dan mengamalkan Al Quran akan dijanjikan Allah dengan syurga yang indah, kecukupan hidup, kemuruhan rezeki, pahala, penghapus dosa, serta dikabulkan segala permintaan dan doa.
Hal ini sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sebaik-baiknya kamu adalah orang yang membaca dan mempelajari Al Quran dan mengajarkannya." - (Hadis Riwayat Bukhari)
Ketika ingin membaca Al Quran, tedapat beberapa adab atau perilaku yang perlu anda lakukan. Antaranya seperti:
- Berwuduk terlebih dahulu.
- Mensucikan diri dengan wuduk terlebih dahulu agar diri dalam keadaan suci dan terhindar dari hadas kecil dan hadas besar.
- Membersihkan mulut dan menggosok gigi terlebih dahulu dengan tujuan agar ketika membaca Al Quran, mulut terasa segar dan wangi dan ketika membaca pun dapat dilakukan dengan selesa dan tenang.
- Membaca dengan suara yang lembut, bertartil dan tidak terlalu cepat agar dapat memahami setiap ayat yang dibaca.
- Membaca Al Quran dengan khusyuk dan penuh penghayatan, dengan hati yang ikhlas yang mampu menyentuh jiwa dan perasaan.
- Memperelokkan suara ketika membaca Al Quran dan membacanya dengan baik dan benar, mengetahui makhraj (tanda baca), harakat (panjang pendeknya bacaan) serta mengetahui hukum-hukum tajwid.
- Membaca Al Quran dimulai dengan isti’adzah dengan maksud membacanya dengan suara yang lirih dan khusyuk serta tidak mengganggu orang yang sedang melakukan solat dan tidak menimbulkan sifat riak.
- Tidak ketawa, bising dan bercakap sesuatu yang sia-sia.
- Dianjurkan membaca secara berjemaah dan diharuskan secara bersilih ganti.
- Membaca dengan mashaf lebih utama daripada membacanya berdasarkan hafazan.
- Memohon rahmat atau meminta jauh daripada kejahatan dan seksaan ketika membaca ayat berkaitan.
- Mengadap kiblat sekiranya membaca di luar solat.
- Memilih tempat bersih dan utama khususnya masjid.
Pegang Al Quran tanpa wuduk (mushaf)
Hukum pegang Al Quran tanpa wuduk adalah haram. Berdasarkan dari kenyataan 4 mazhab yang utama, menyentuh mushaf Al Quran mestilah berwuduk.
Allah berfirman dalam Surah Al-Waqiah ayat 79:
“Tidak menyentuhnya kecuali orang-orang yang disucikan.”
Bahkan Rasulullah SAW turut bersabda yang bermaksud:
“Tidak boleh menyentuh Al-Quran kecuali orang yang dalam kondisi suci.” (Muwatta’ Malik)
Bahkan, di dalam Buku Garis Panduan Pembuatan, Pengendalian, Penjualan dan Pelupusan Bahan-bahan Penerbitan dan Perhiasan Yang Mengandungi Ayat-ayat Suci Al-Quran menyebut:
“Bagi menyentuh dan membawa mashaf Al-Quran yang lengkap, pengendali hendaklah mempunyai wuduk serta tidak berhadas besar kecuali Al-Quran dalam format cakera optik seperti CD, Brail dan paparan skrin telefon bimbit.”
Namun jika sekadar membaca dengan hafalan maka ia tidak mengapa dan hukumnya adalah harus.
Baca Al Quran dalam telefon tanpa wuduk
Hukum membaca aplikasi Al Quran dalam telefon tanpa berwuduk adalah harus.
Hal ini kerana, aplikasi Al Quran tidak tergolong dalam kategori mushaf Al Quran oleh kerana ianya hanya tulisan yang dipaparkan melalui skrin dan kemudiannya hilang dan tidak kekal.
Jelasnya, ini sangat berbeza sekali dengan ciri-ciri yang di takrifkan oleh para ulama tentang mushaf Al Quran.
Syeikh Muhammad bin Umar Nawawi al-Jawi al-Bantani menjelaskan maksud mushaf yang bermaksud:
وَالْمرَاد بالمصحف كل مَا كتب فِيهِ شَيْء من الْقُرْآن بِقصد الدراسة كلوح أَو عَمُود أَو جِدَار
"Dan dimaksudkan dengan Mushaf adalah setiap benda yang ditulis padanya sesuatu daripada al-Quran dengan tujuan pembelajaran seperti kayu atau tiang atau dinding." - (Nihayah Al-Zain, halaman 32)
Sungguhpun begitu, kita disunatkan untuk berwuduk ketika membaca Al Quran dan menjaga adab ketika membaca Al Quran yang ditetapkan.
Pegang tafsir Al Quran tanpa wuduk
Hukum pegang, sentuh, bawa, dan ulangkaji tafsir Al Quran tanpa wuduk, dan berhadas adalah dibolehkan.
Namun, tafsir ini mestilah melebihi kandungan ayat Al Quran dan pendapat ini juga sesuai dengan pendapat yang sahih di sisi mazhab Syafi`e.
Walau bagaimanapun, berwuduk ketika menyentuh Al quran adalah yang terbaik.
Sentuh Al Quran ketika berhadas
Menurut sebahagian ulama, tindakan menyentuh Al Quran ketika berhadas adalah haram melainkan dalam keadaan suci daripada hadas kecil atau besar.
Hal ini berdasarkan dari firman Allah SWT dalam surah Al-Waqiah, ayat 79 yang bermaksud:
لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ
"Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci."
Imam Qurtubi menyebut di dalam kitabnya bahawa para ulama berbeza pendapat dalam hal menyentuh mushaf dalam keadaan tidak berwuduk.
Jumhur ulama melarang daripada menyentuhnya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Amru bin Hazm RA.
Dan ini merupakan pandangan mazhab Saidina Ali RA, Ibnu Mas’ud, Saad bin Abi Waqaz, Said bin Zaid, Ata’, al-Nakhai serta mazhab fuqaha’ daripada Malik dan Syafi’e.
Kesimpulan
Kesimpulannya, amalan membaca Al Quran adalah sangat dituntut dalam Islam.
Bahkan banyak ganjaran pahal dan kelebihan yang akan diberikan kepada sesiapa yang membacanya.
Namun begitu, umat Islam haruslah menjaga kesuciannya Al Quran itu sendiri berpandukan garis adab yang ditetapkan.
Diharapkan semoga perkongsian kami in berkenaan dengan hukum pegang Al Quran tanpa wuduk dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber:
- Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-486: Bolehkah Membaca Al-Quran Telefon Di Dalam Telefon Bimbit Tanpa Berwuduk. Mufti Wilayah Persekutuan
- #847 Memegang Mushaf Tanpa Wudhu’. Makatabah Al Bakri