Hukum Bersetubuh Ketika Haid dan Istihadah (Penjelasan Lengkap)
Apakah hukum bersetubuh ketika haid dan istihadah yang perlu anda tahu?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan hukum bersetubuh ketika haid beserta dengan penjelasan lengkapnya.
Baca juga:
Fahami kitaran haid pada setiap wanita
Kitaran haid pada setiap wanita adalah proses fisiologi yang berhubungan dengan sistem reproduksi mereka. Setiap wanita biasanya akan memiliki perbezaan dalam jangka masa dan gejala yang mereka alami.
Kitaran haid biasanya bermula pada permulaan remaja, apabila tubuh seorang gadis memasuki peringkat matang. Proses ini biasanya berlaku antara umur 8 hingga 15 tahun, walaupun boleh berbeza-beza bagi setiap individu.
Kitaran haid biasanya berlaku setiap 21 hingga 35 hari. Bagi sebahagian besar wanita, kitaran haid berlangsung selama kira-kira 3 hingga 7 hari, tetapi juga boleh berbeza-beza.
Fasa pertama kitaran haid dikenali sebagai fasa haid atau menstruasi, di mana dinding rahim (endometrium) dilepaskan dan keluar melalui faraj sebagai darah haid.
Selepas fasa haid, berikutnya adalah fasa folikel. Dalam fasa ini, hormon folikel-stimulating hormone (FSH) dirembeskan oleh kelenjar pituitari, yang merangsang pertumbuhan folikel di dalam ovari.
Satu folikel matang akan menghasilkan hormon estrogen. Kemudian, fasa ovulasi berlaku.
Fasa ini berlaku biasanya kira-kira 14 hari sebelum haid berikutnya. Selama ovulasi, folikel yang matang akan pecah dan melepaskan telur dari ovari.
Telur ini kemudian bergerak ke dalam tiub fallopi, di mana kehamilan boleh berlaku jika terjadi penyatuan dengan sperma.
Jika telur tidak dibuahi, fasa terakhir adalah fasa luteal. Fasa ini ditandai oleh peningkatan produksi hormon progesteron oleh sisa folikel yang pecah (kini dikenali sebagai korpus luteum).
Jika kehamilan tidak berlaku, korpus luteum akan mengecut dan tahap hormon akan menurun, dan ini akan menyebabkan permulaan fasa haid baru.
Setelah fasa luteal, proses kitaran haid akan berulang dengan fasa haid berikutnya dan seterusnya.
Dalil Al-Quran tentang bersetubuh ketika haid
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 222 yang bermaksud;
يَسْـَٔلُوْنَكَ عَنِ الْمَحِيْضِ ۗ قُلْ هُوَ اَذًىۙ فَاعْتَزِلُوا النِّسَاۤءَ فِى الْمَحِيْضِۙ وَلَا تَقْرَبُوْهُنَّ حَتّٰى يَطْهُرْنَ ۚ فَاِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوْهُنَّ مِنْ حَيْثُ اَمَرَكُمُ اللّٰهُ
Maksudnya: "Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: "Haid itu adalah suatu kotoran". Kerana itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita itu waktu haid; dan janganlah kamu mendatangi mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
Dalil hadis tentang bersetubuh ketika haid
Terdapat juga hadis yang diriwayatkan dari sahabat dan isteri Rasulullah SAW. Sebuah hadis yang diriwayatkan dari Aisyah RA berbunyi:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا حِضْتُ يَأْمُرُنِي أَنْ أَتَّزِرَ، ثُمَّ يُبَاشِرُنِي
Apabila saya haid, Rasulullah SAW menyuruhku untuk memakai sarung kemudian beliau bercumbu denganku." - (Hadis Riwayat Ahmad, No. 25563, Tirmidzi 132 dan dinilai sahih oleh Al-Albani)
Dari Maimunah ranha:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُبَاشِرُ نِسَاءَهُ فَوْقَ الْإِزَارِ وَهُنَّ حُيَّضٌ
Rasulullah SAW bercumbu dengan isterinya di daerah di atas sarung, ketika mereka sedang haid." - (Hadis Riwayat Muslim)
Kemudian, hadis dari Anas bin Malik RA, ketika para sahabat menanyakan tentang isteri mereka ketika haid. Rasulullah SAW bersabda,
اصنعوا كل شيء إلا النكاح
"Lakukanlah segala sesuatu (dengan isteri kalian) kecuali nikah." - (Hadis Riwayat Muslim, No. 302)
Ketika menjelaskan hadis ini, At-Thibi mengatakan,
“Makna kata ‘nikah’ ini adalah hubungan intin.” – (Aunul ma’bud, 1/302)
Dari Anas bin Malik:
"Sesungguhnya orang Yahudi, ketika isteri mereka datang haid, mereka tidak mahu makan bersama isterinya dan tidak mahu tinggal bersama isterinya dalam satu rumah."
Hukum bersetubuh ketika haid
Berdasarkan nas Al-Quran dan hadis yang disebutkan itu, boleh kita fahami bahawa hukum bersetubuh ketika haid adalah haram.
Dan bahkan persetubuhan yang menggunakan kondom untuk mengelakkan persentuhan kulit zakar dan faraj, juga adalah dilarang dan haram.
Walau bagaimanapun di sana terdapat kelonggaran di dalam mazhab al-Syafie berkenaan hukum beristimta’ (melakukan aktiviti yang berunsur seksual kecuali yang melibatkan faraj) dengan isteri ketika haid.
Secara asalnya, jumhur ulama’ mengharamkan istimta’ di antara pusat hingga ke lutut tanpa berlapik.
Sekiranya beristimta’ secara berlapik, maka diharuskan menurut pandangan mazhab al-syafie dan mazhab Hanafi. – (Lihat al-Mausuah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 18/324)
Hukum bersetubuh ketika istihadah
Wanita yang sedang beristihadah, ia tidak dikategorikan sebagai darah haid.
Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW:
إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِالْحَيْضَةِ
Maksudnya: “Darah istihadhah itu hanyalah keringat (suci), dan bukan (seperti) darah haid.” Riwayat al-Bukhari (306), Muslim (333), Abu Daud (282), al-Tirmizi (125), al-Nasa’ie (212), Ibn Majah (621) dan Ahmad (25681)
Ini secara tidak langsung menjadikan hukum bersetubuh ketika istihadah adalah harus iaitu sama seperti wanita yang dalam keadaan suci.
Bahkan majoriti fuqaha’ mazhab termasuk al-Syafi’i berpendapat bahawa harus menyetubuhi isteri yang dalam keadaan istihadhah.
Hal ini berdasarkan beberapa riwayat, antaranya daripada Ikrimah, katanya:
كَانَتْ أُمُّ حَبِيبَةَ تُسْتَحَاضُ فَكَانَ زَوْجُهَا يَغْشَاهَا
Maksudnya: “Ummu Habibah dalam keadaan istihadhah dan suaminya menggaulinya.” - (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 309) dan al-Baihaqi, No. 1622)
Daripada Ikrimah, katanya:
عَنْ حَمْنَةَ بِنْتِ جَحْشٍ، أَنَّهَا كَانَتْ مُسْتَحَاضَةً وَكَانَ زَوْجُهَا يُجَامِعُهَا .
Maksudnya: “Daripada Hamnah binti Jahsy, bahawa beliau dalam keadaan istihadhah, dan suaminya menyetubuhinya.” - (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 310)
Imam al-Nawawi menjelaskan:
يَجُوزُ عِنْدَنَا وَطْءُ الْمُسْتَحَاضَةِ في الزَّمَنِ الْمَحْكُومِ بِأَنَّهُ طُهْرٌ وَإِنْ كان الدَّمُ جَارِيًا وَهَذَا لَا خِلَافَ فيه عِنْدَنَا
Maksudnya: “Boleh menurut kami (al-Syafi’iyyah) bersetubuh dengan isteri yang dalam keadaan istihadhah, dalam masa di mana dia dihukumkan suci, walaupun darahnya masih mengalir. Perkara ini tidak ada khilaf dalam kalangan ulama’ kami (al-Syafi’iyyah).” - (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/372)
Mengapa Islam melarang bersama ketika haid?
Islam melarang melakukan seks ketika sedang haid kerana banyak keburukan yang boleh kita peroleh dari sudut kesihatan, kesucian, dan sebagainya.
Pengharaman ini mempunyai hikmah yang sangat besar yang antaranya ialah boleh mengakibatkan penyakit kepada suami dan juga isteri.
Tambahan lagi, terdapt banyak juga kajian saintifik yang dilakukan telah membuktikan larangan Islam ini ada kewajarannya.
Kesan seks ketika haid kepada kesihatan
Sudah semestinya, seks ketika haid memberi kesan buruk kepada diri sendiri dan pasangan. Antara kesan seks ketika haid adalah seperti:
1. Menyebarkan penyakit kelamin
Seseorang yang melakuakn seks ketika haid mudah terdedah kepada jangkitan dan penyebaran penyakit jangkitan kelamin (STD) seperti HIV, HPV, hepatitis dan lain-lain.
2. Jangkitan pada kelamin
Baik lelaki dan perempuan, masing-masing akan terdedah kepada jangkitan bakteria dan kulat dengan begitu mudah pada alat kelamin.
Keadaan ini secara tidak langsung akan menyebabkan seseorang itu menerima jangkitan pada saluran kencing dan membahayakan kesihatan anggota kelamin pasangan anda.
3. Kematian mendadak
Wanita dalam haid sebenarnya mengalami perubahan hormon dalam badannya. Saluran darah di rahim dan faraj akan mengembang.
Oleh kerana saluran darah adalah sangat lembut, ia mudah pecah apabila berlaku kemasukan zakar pada faraj dan pangkal rahim.
Justeru, gerakan zakar yag menusuk dan membuatkan gelembung udara masuk ke pembuluh darah akan menyebabkan ia tersumbat dan lebih parah berlaku kematian mendadak.
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan hukum bersetubuh ketika haid dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan bersama.
Sumber:
- #276 Bersama Dengan Isteri Haid Dengan Memakai Kondom. Maktabah Al Bakri
- Al-Kafi #1347: Hukum Bermesraan Secara Seksual Tanpa Jimak Ketika Haid. Mufti Wilayah Persekutuan
- Al-Kafi #916: Kafarah Bersetubuh Ketika Haid. Mufti Wilayah Persekutuan