Hukum Menyertai Acara Maraton Riba Menurut Islam

Apakah hukum menyertai acara maraton riba dan ancaman-ancaman oleh Allah kepada mereka yang terlibat dengan riba ini?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda hukum umat Islam menyertai acara maraton riba dan kesannya dalam kehidupan.

Baca juga:

Apa itu acara maraton?

acara maraton riba

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, maraton adalah perlumbaan larian jarak jauh (lebih kurang 26 batu atau 41.8420 kilometer).

Di Malaysia, terdapat banyak acara maraton diadakan dan yang paling lazim dan terkenal sekali di kalangan rakyat Malaysia seperti:

  • Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon (SCKLM)
  • Penang Bridge International Marathon (PBIM)
  • Twincity Marathon
  • Perlis Marathon (PM)
  • Putrajaya Night Marathon (PNM)
  • Borneo International Marathon (BIM)

Hukum menyertai acara maraton riba

acara maraton riba

Hukum menyertai acara maraton riba sangat berkait rapat dengan isu mempromosikan sesuatu perkara yang sangat jelas pengharamannya.

Promosi yang dimaksudkan di sini adalah  segala usaha dan kegiatan untuk menggalakkan atau mempertingkatkan jualan barang seperti eksport, pelancongan dan sebagainya.

Justeru, apa sahaja bentuk usaha atau kegaitan yang bertujuan untuk memberi galakan kepada masyarakat untuk mempertingkatkan jumlah pelanggan yang akan menggunakan sebarang perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat berasaskan riba yang dipromosikan itu adalah tidak boleh dalam Islam.

Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Ma’idah, ayat 2 yang bermaksud:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Bahkan Imam Ibn Kathir juga ada menyebut tentang larangan Allah SWT terhadap sesuatu perkara yang batil, seperti tolong menolong atau bekerjasama bagi melakukan dosa dan perkara yang diharamkan.

Justeru, hukum umat Islam menyertai acara maraton riba atau dianjurkan oleh institusi berasaskan riba adalah tidak boleh kerana ianya merupakan wasilah kepada perkara yang jelas pengharamannya, iaitu riba.

Sekiranya peserta maraton sudah tahu akan pihak atau syarikat yang menaja acara tersebut menjalankan jual beli secara riba, namun masih berdegil dan tidak mahu menjauhkan diri dari kegiatan  mempromosikan syarikat tersebut, maka dia telah melakukan perkara yang haram dan berdosa.

Namun jika peserta tidak tahu akan penaja bagi acara tersebut, maka ia dimaafkan tetapi selepas ini pastikan anda lebih cakna akan hal tersebut sebelum menyertainya.

Ciri-ciri acara maraton mempromosikan riba

Selain mengetahui akan latar belakang penaja atau syarikat yang menaja tersebut menjalankan riba atau tidak. Anda juga ciri-ciri lain yang menjadikan sesuatu acara maraton tersebut mempromosikan riba.

Contohnya bagi setiap acara maraton, peserta akan diberikan baju tshirt rasmi untuk menyertai. Pada design tshirt tersebut, terdapat beberapa ciri boleh anda perhatikan seperti:

  • Logo rasmi syarikat yang bertanggungjawab mewujudkan acara tersebut.
  • Logo rasmi acara maraton tersebut berserta nama syarikat berasaskan riba tersebut. 
  • Logo rasmi syarikat yang menjual kelengkapan untuk sukan larian.

Logo-logo tersebut terdapatnya unsur mempromosikan syarikat berasaskan riba.

Justeru, jelaslah bahawa tindaka ini merupakan salah satu bentuk promosi yang ditegah berdasarkan dalil pengharaman tolong-menolong ke arah perkara yang haram di atas.

Imam al-‘Izz bin Abdul Salam menyebutkan, apa-apa wasilah yang membawa kepada tujuan yang sangat baik, maka wasilah tersebut juga dikira sebaik-baik wasilah.

Dan apa-apa wasilah yang membawa kepada tujuan yang sangat buruk, maka wasilah tersebut juga dikira seburuk-buruk wasilah. 

Mengapa riba berbahaya dalam hidup?

Riba adalah haram dalam Islam seperti mana kata Imam An-Nawawi:

“Telah ijma’ seluruh ulama Islam mengenai pengharaman riba dan ia termasuk dalam kategori dosa besar dan dikatakan juga riba diharamkan oleh semua agama. Antara yang berpendapat demikian adalah Imam al-Mawardi (rujuk Al-Majmu’, 9/391).

Allah SWT memberikan ancaman-ancaman kepada individu yang mengamalkan riba dalam kehidupan.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 275 yang bermaksud:

“Orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan setan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah sudah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.

“Orang yang sudah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang sudah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.”

Sementara di akhirat nanti, setiap amalannya di dunia tidak diterima. Berkatalah Ibn Abbas:

“Tidak diterima daripada pemakan riba (yang menggunakan harta riba tadi) sedekahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya.”

Malah, tidak keterlaluan dikatakan mereka yang mengamalkan riba seperti berzina dengan ibu bapa sendiri kerana Nabi SAW bersabda:

“Riba mempunyai 73 pintu, riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.” (Riwayat Ibn Majah, sahih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)

Individu yang mengamalkan riba juga akan kehilangan makna berkat dalam setiap harta dan rezeki yang diperoleh.

Daripada Ibn Mas’ud, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa.” (Riwayat Ahmad)

Malah bukan itu sahaja, ia juga akan menyebabkan diri kita mudah terjerumus melakukan maksiat, kefasikan dan menghinakan diri di sisi Allah SWT.

Sekaligus membentuk sifat pecah amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan dan tamak haloba.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan hukum menyertai acara maraton riba dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan bersama.

Sumber:

  1. #3478: Menyertai Acara Maraton yang Dianjurkan oleh Syarikat Berasaskan Riba. Maktabah Al Bakri
  2. Riba Dari Kaca Mata Islam. Yadim
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.