Hukum Pakai Logo Capal, Elak Orang Keliru Dengan Sunnah

Apakah hukum pakai logo capai pada pakaian atau aksesori yang menjadi trend hari ini?

Artikel pada kali ini kita akan membincangkan hal seputar berkaitan isu hukum pakai logo capal beserta dengan beberapa pendapat dari Mufti di Malaysia.

Baca juga:

Maksud capal

Dalam Bahasa Arab, capal disebut sebagai al-Na’lu (النعل) dan kata jamaknya ( النعال ). Ia bermaksud sebagai kasut atau capal digunakan sebagai pelindung kaki.

Ia sebagaimana yang disebut oleh Ibn Manzur di dalam Mu’jamnya:

النَّعْل والنَّعْلةُ: مَا وَقَيْت بِهِ القدَم مِنَ الأَرض

"al-Na’lu dan al-Na’lah : iaitu apa melindunginya akan kaki daripada tanah." - (Rujuk Lisan al-Arab, 11:667)

Imam Badr al-Din al-‘Aini menukilkan pandangan Ibn al-Athir menyebut bahawa:

النَّعْل هِيَ الَّتِي تسمى الْآن: تاسومة

"al-Na’lu sekarang diberi nama sebagai Tasumah (kasut digunakan untuk berjalan)." - (Rujuk Umdah al-Qari Syarah Sahih al-Bukhari, 22:24)

Hal ini begitu juga yang dinyatakan oleh ulama’ yang lain seperti Imam Ibn Hajar RA, Imam al-Qurtubi RA, dan Ibnu al-‘Arabi RA.

Sejarah logo capal

Menurut catatan sejarah, kemuliaan capal Rasulullah SAW ini sudah pun bermula sejak pasca era kewafatan baginda lagi.

Perkara ini semamangnya disokong oleh beberapa riwayat lain antaranya seperti Ibn Asakir, al-Bulqini, al-Sakhawi dan sebagainya yang menunjukkan bahawa capal ini berasal daripada Saidatina ‘Aisyah RA.

Kemudian, pada riwayat yang lain pula turut dicatatkan bahawa capal nabawi ini telah berpindah ke tangan Saidina Ummu Kalthum RA dan Saidatina Maimunah binti al-Harith RA.

Saidina Anas bin Malik RA pula menjadi penjaga kepada capal Rasulullah SAW. Apabila berakhirnya era para sahabat, pemilikan capal ini berlaku secara bersilang-ganti.

Maka dari sini fahamlah kita bahawa amalan memuliakan capal Rasulullah ini dari sudut sejarahnya sudah bermula selepas era kewafatan baginda lagi.

Penjelasan masalah hukum pakai logo capal

Dalam kita cuba untuk memahami permasalahan yang berlaku tentang logo capal ini, kita perlu fahami dahulu tentang dua istilah yang berkait rapat dengan isu tersebut.

Istilah yang dimaksudkan ini adalah tabarruk dan tawassul.

Tabarruk beerti mengharapkan keberkatan daripada Allah dengan sesuatu yang mulia dalam pandangannya.

Manakala tawassul pula adalah mendekat diri atau menjadikan sesuatu amalan sebagai perantara atau penyebab untuk mendekat diri kepada Allah.

Hal ini jelas yang berlaku pada pereka-pereka topi atau kopiah design capal.

Ada yang bertujuan untuk mengambil keberkatan dari capal Baginda, sebagai tanda memuliakan Nabi SAW, peringatan supaya sentiasa merendah diri, mendekatkan diri kepada Allah, mengharapkan termakbul segala doa serta hajat, dan sebagainya.

Isu khilaf yang dibincangkan

Terdapat dua isu yang dibincangkan mengenai logo capal Nabi ini iaitu:

1. Barang peninggalan Nabi SAW

hukum pakai logo capal

Semua pasti tahu bahawa barang-barang peninggalan Nabi Muhammad SAW mempunyai kemuliaan dan keberkatannya.

Contohnya seperti capal Nabi, baju besi yang dipakai baginda semasa perang, jubah nabi, helaian rambut dan janggut Nabi, pedang, dan lain-lain peninggalan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW.

Terdapat riwayat dalam Sahih Bukhari yang mengatakan bahawa para sahabat bertabarruk dengan baginda Nabi SAW. Antaranya seperti:

  • Para sahabat berebut-rebut menadah air wuduk yang jatuh dari anggota tubuh Rasulullah SAW, untuk mendapat keberkatan baginda.

  • Rasulullah SAW sendiri apabila mencukur rambutnya ketika Haji Wada’, baginda memberi rambut itu pada seorang sahabat, dan baginda menerintahkannya agar diagih-agihkan kepada sahabat lain.

  • Anas bin Malik menyimpan peluh Nabi SAW di dalam botol minyak wangi dan menyimpan rambut baginda. Beliau meminta untuk ditanamkan bersama peluh dan rambut baginda ketika matinya.

Namun yang demikian, barang yang peninggalan Nabi ini mestilah tulen dan terbukti disabitkan datangnya dari baginda sendiri.

Apa yang berlaku hari ini, amat sukar untuk kita ketahui adakah barang tersebut asli milik Nabi ataupun tidak.

Hal ini kerana,  para ulama telah sepakat menyebut pada zaman ini barang peninggalan Nabi SAW adalah sukar untuk dibuktikan kesahihannya.

Kebanyakkan yang ada pada hari ini hanyalah replika seperti yang terdapat di muzium, pameran, dan sebagianya.

2. Capal Nabi SAW

hukum pakai logo capal

Hukum sebenar tabarruk dengan capal Nabi adalah dibolehkan.

Namun halnya yang demikian, permasalahan yang berlaku hari ini ramai orang bertabarruk bukan pada capal Nabi itu sendiri tetapi pada logo capalnya.

Perkara inilah yang mempunyai khilaf dari para ulama. Adakah memang benar Nabi memakai capal seperti design logo tersebut?

Sesiapa yang membenarkannya perlulah dibuktikan dengan tepat.

Maka dengan itu beberapa orang ulama cuba melakar bentuk capal nabi berdasarkan hadis-hadis tentang capal baginda.

Antara ulamanya seperti:

  • Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani dalam kitabnya “Jawahirul Bihar”
  • Maulana Asyraf Ali Thanwi dalam “Zadus Sa`id”
  • Imam Ibnu ‘Asakir dalam kitabnya “Timtsalu Na’l an-Nabiy” 

Hukum pakai logo capal

Hukum pakai logo capal ini bergantung kepada niat si pemakai itu sendiri.

Memetik kepada pendapat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Luqman Abdullah:

“Selama mana perbuatan seorang muslim itu tidak menyalahi dengan iktikad sebenar, tiada siapa boleh sewenang-wenangnya melemparkan kalimah kufur atau syirik.”

Menurutnya, para ulama cukup berhati-hati dalam menjatuhkan kufur kepada seseorang muslim dan ia perlu dibuktikan dengan qarinah atau pembuktian yang sebenar-benarnya.

“Ia bukanlah berasaskan dalil-dalil tertentu dan bukanlah amalan-amalan khas yang dituntut syarak secara khusus dan perbuatan tersebut hanya berpunca daripada kasih dan rindu kepada Rasulullah.

Apabila perbuatan itu asasnya adab, kasih dan rindu maka sesetengah keadaan cukup untuk perbuatan itu dihukum harus selagi tidak bertentangan dengan prinsip syarak.”

Tetapi sekiranya dia memakai dengan kepercayaan bahawa dia mendapat keberkatan ataupun Allah akan lebih menjaga dan mendengar doanya, perkara ini adalah dilarang. 

Kaedah menerima logo capal dalam kehidupan

hukum pakai logo capal

Kesimpulannya, begitu banyak sunnah Rasulullah SAW yang boleh kita temukan dan praktikkan dalam hidup sehari-hari.

Yang mana ianya lebih jelas disandarkan dalam hadis yang sahih untuk kita ikuti dan mengelak dari perselisihan pendapat berkenaan pengamalannya.

Misalnya dari segi pemakaian sunnah. Kita boleh melazimkan diri memakai pakaian dari sebelah kanan, menanggalkan pakaian dari sebelah kiri, berdoa ketika memakai pakaian, dan sebagainya.

Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai hukum pakai logo capal ini dapat memberikan anda informasi dan ilmu pengetahuan yang berguna untuk dijadikan panduan dalam hidup.

Sumber:

  1. Bayan Linnas Siri Ke-230: Capal Rasulullah SAW Lakaran dan Tabarruk. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Sejarah Fenomena Simbol Capal Rasulullah Di India – Gerakan Barelvi. Iluminasi
  3. Capal Nabi SAW: Antara Pelampau dan Pembenci. Malaysia Post
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.