6 Situasi Buka Aib Yang Dibenarkan & Hukumnya Dalam Islam

Apakah hukum buka aib orang dan adakah terdapat keadaan yang dibenarkan Islam untuk kita buka aib orang lain?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan hukum buka aib orang dan contoh situasi yang dibenarkan.

Baca juga:

Definisi aib menurut Islam?

hukum buka aib orang

Perkataan aib dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud rasa hina atau malu disebabkan perbuatan keji dan sebagainya oleh seseorang anggota keluarga dan lain-lain.

Manakala dalam Islam perbuatan menyebarkan aib adalah satu bentuk ghibah yang diharamkan.

Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa baginda SAW bersabda:

أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ

Maknanya: "Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat? Para sahabat berkata: ‘Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya.’ Nabi SAW bersabda: ‘Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya." - (Hadis Riwayat Muslim (2589)

Hukum buka aib orang lain

Hukum buka aib orang lain adalah dosa besar. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Hujurat, ayat 12 yang bermaksud:

 “Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?

(Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Justeru membuka adalah perbuatan yang sangat ditegah di sisi syarak kecuali jika terdapat beberapa keperluan yang mendorong salah satunya untuk berbuat yang demikian.

Ancaman kepada penyebar aib

Terdapat beberapa ancaman di akhirat yang akan dihukum kepada individu yang suka menyebarkan aib.

Diriwayatkan daripada Abu Qatadah bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَعَدَ عَلَى فِرَاشِ مُغِيبَةٍ قَيَّضَ اللَّهُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثُعْبَانًا

“Orang yang membuka aib pasangannya, Allah akan mengikatnya dengan ular besar pada hari kiamat nanti.” - (Hadis Riwayat Ahmad)

Selain itu Nabi SAW juga bersabda yang diriwayatkan oleh Huzaifah:

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ

“Tidak akan masuk syurga orang yang mengumpat." - (Hadis Riwayat Muslim)

Buka aib yang dibenarkan syarak

Sungguhpun hukum menyebarkan aib adalah haram, namun islam tidak mengetepikan penganiayaan terhadap sesama manusia.

Justeru itu, ada waktu dan situasinya yang tertentu yang dibenarkan syarak untuk membuka aib.

Agama Islam menetapkan batasan dan saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Aisyah RA meriwayat sepotong hadis, kata beliau:


قَالَتْ هِنْدٌ أُمُّ مُعَاوِيَةَ لِرَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ فَهَلْ عَلَيَّ جُنَاحٌ أَنْ آخُذَ مِنْ مَالِهِ سِرًّا قَالَ خُذِي أَنْتِ وَبَنُوكِ مَا يَكْفِيكِ بِالْمَعْرُوفِ.

“Hindun Ummu Mu’awiyyah pernah mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa suaminya,

 yang bernama Abu Sufyan adalah seorang yang sangat kedekut, maka adakah dia boleh mengambil harta suaminya secara sembunyi-sembunyi. 

Lalu Rasulullah SAW menjawab, ‘Ambillah untukmu dan anak-anakmu secukupnya dengan cara yang baik." - (Hadis Riwayat Bukhari)

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan menceritakan aib pasangan bagi tujuan penyelesaian terhadap kezaliman adalah harus.

Situasi yang dibenarkan untuk buka aib

Berdasarkan dari pendapat daripada Imam al-Nawawi, terdapat enam sebab yang dibenarkan untuk kita membuka aib orang.

Antara sebabnya adalah kerana:

  • Mengadu kezaliman kepada pihak yang mempunyai bidang kuasa atau kemampuan untuk berlaku adil kepadanya daripada orang yang berlaku zalim terhadapnya.

  • Mencari pertolongan daripada orang tertentu yang mampu mengubah kemungkaran dan membawa si pelaku maksiat ke jalan kebenaran.

  • Meminta fatwa daripada mufti.

  • Memberi amaran kepada seseorang terhadap kemungkaran dengan menasihati dan memberitahunya berkenaan perihal buruk seseorang yang tidak harus dia ikuti.

  • Menyebut dan mendedahkan kesalahan dan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan. Namun haram membuka aibnya berserta kesalahan-kesalahan lain yang tidak dilakukan secara terang-terangan, kecuali atas tujuan tertentu seperti yang dinyatakan di atas.

  • Menyebut seseorang dengan panggilan yang buruk kerana hanya dengan panggilan tersebut sahaja dia dikenali. Sekiranya panggilan tersebut digunakan untuk merendah-rendahkan atau mengejek, ia adalah haram.

Kesimpulannya, kita haruslah sentiasa menjaga lisan dari menceritakan keaiban orang lain kepada khalayak ramai sekiranya tidak ada keperluan yang dibenarkan syarak.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan hukum buka aib orang dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat.

Sumber:

  1. Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-786: Membuka Aib Yang Dibenarkan Dalam Islam. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. #2173: Apa Itu Aib Menurut Islam. Maktabah Al Bakri
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.