Hukum Cerai Semasa Mengandung dan Implikasinya

Adakah sah sesebuah penceraian itu apabila si suami ceraikan semasa mengandung?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan hukum menceraikan isteri semasa dia sedang dalam fasa mengandung.

Baca juga:

Apa itu penceraian?

Penceraian dari segi bahasa bermaksud berpisah.

Manakala dari segi istillah pula, penceraian adalah keruntuhan hubungan perkahwinan dan terputusnya hubungan suami isteri dengan bersebab.

Penceraian dalam Islam

Dalam Undang-undang Keluarga Islam, perceraian dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu;

1. Talak

Perceraian secara talak berlaku apabila kedua-dua pihak suami dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik, atau suami membuat keputusan untuk menceraikan isteri dengan lafaz talak.

Talak boleh dibahagikan kepada dua iaitu talak sharih atau talak kinayah

2. Taklik

Taklik adalah lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah berdasarkan kepada Undang-undang Keluarga Islam.

Penceraian secara taklik pula berlaku sekiranya suami melanggar taklik yang telah dilafazkannya itu.

3. Khuluk

Perceraian secara khuluk adalah penawaran dari pihak isteri untuk bercerai dengan menawarkan sejumlah wang atau harta sebagai pampasan.

4. Fasakh

Perceraian secara fasakh adalah tanggungjawab hakim untuk meleraikan ikatan perkahwinan suami isteri.

Dengan alasan yang boleh memudaratkan pihak-pihak dalam perkahwinan tersebut dan ia tidak dapat diselamatkan lagi.

5. Li’an

Perceraian secara li’an berlaku apabila suami:

  • menafikan anak yang dilahirkan oleh isterinya atau anak di dalam kandungan isterinya sebagai anaknya.

  • menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain tetapi tidak dapat membuktikan melalui penyaksian empat orang saksi.

Hukum cerai semasa mengandung

cerai semasa mengandung

Hukum cerai isteri mengandung atau sedang hamil adalah harus, tidak haram dan tidak makruh.

Hal ini menjadi pendapat majoriti para ulama yang mengharuskan penalakan wanita yang sedang hamil.

Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma:

أَنَّهُ طَلَّقَ امْرَأَتَهُ وَهِيَ حَائِضٌ فَذَكَرَ ذَلِكَ عُمَرُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مُرْهُ فَلْيُرَاجِعْهَا ثُمَّ لِيُطَلِّقْهَا طَاهِرًا أَوْ حَامِلًا

MaksudnyaDari Ibnu Umar RA bahwa dia pernah menceraikan isterinya dalam keadaan haid. Kemudian Umar bin Khatthab RA menceritakan kejadian tersebut kepada Nabi.

Lantas beliau pun berkata kepada Umar bin Khatthab RA, ‘Perintahkanlah kepada dia (Ibnu Umar RA) supaya dia kembali kepada isterinya, kemudian talaklah dia dalam keadaan dia suci atau hamil.” – (Hadis Riwayat Muslim, No. 1471)

Imam Nawawi kata, hadis ni menjadi dalil keharusan talak masa isteri hamil dan ia juga adalah pandangan dari Mazhab Syafie.

Malah, pandangan ini juga dipegang oleh ulama-ulama lain seperti Ibnu Sirin, Ahmad Ishaq, Abu Tsur, Abu Ubaid dan sebagainya.

Selain itu, jenis talak sewaktu isteri sedang hamil adalah talak syari’e, yang bukan sunniy, dan bukan bid’iyy.

Antara talak yang tidak disifatkan dengan sunni dan bid’i ialah:

  • Perempuan masih kecil yang belum datang haid.
  • Putus haid.
  • Mengandung yang nyata.
  • Tidak pernah disetubuhi oleh suami.
  • Meminta cerai secara khuluk.

Lafaz talak cerai ketika hamil

Lafaz perceraian boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu:

  1. dalam bentuk jelas (sareh);
  2. dalam bentuk tidak jelas atau sindiran (kinayah)

Lafaz sareh ialah lafaz yang menggunakan ucapan yang jelas dan tegas dengan maksud menunjukkan makna perceraian. Contohnya:

  • “Aku talakkan engkau”;
  • “Aku ceraikan engkau dengan talak 1, 2 atau 3. Dengan ucapan di atas, perceraian tetap berlaku antara keduanya walaupun tanpa niat pada pihak suami.

Lafaz kinayah ialah suatu lafaz yang boleh bererti talak dan boleh pula membawa erti yang lain.

Lafaz itu haruslah dilihat hubungannya dengan suasana sebelum dan sesudahnya serta tanda-tanda (qarinah) yang mempertegas erti yang dimaksudkan dan juga niat pihak suami.

Antara contoh lafaz kinayah adalah seperti:

  • “Baliklah kamu kepada ibu bapa kamu”;
  • “Saya tak hendak kepada kamu lagi”;
  • “Mulai hari ini berpisahlah kita berdua”.

Kesan perkataan-perkataan atau lafaz-lafaz seperti di atas bergantung pada niat suami yang melafazkannya itu.

Jika dia berniat menceraikan isterinya, terjadilah perceraian.

Sebaliknya, jika dia tidak berniat menceraikan isterinya, lafaz tersebut tidak memberi kesan perceraian.

Status iddah isteri yang kena cerai semasa mengandung

Iddah bagi wanita hamil yang ditalak adalah sehingga dia melahirkan kandungannya.

Hal ini seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Al-Thalaq, ayat 4:

وَأُولاتُ الأحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ

Wanita-wanita yang hamil, waktu iddah mereka adalah sehingga mereka melahirkan kandungan mereka

Namun sekiranya, isteri mengalami keguguran atau isteri melahirkan anak sejurus selepas diceraikan, maka iddah isteri tamat serta merta.

Kesan cerai ketika sedang hamil

Penceraian boleh memberi kesan positif dan negatif khususnya kepada wanita.

Kaum wanita akan mengalami tekanan yang dapat didefinisikan sebagai suatu paksaan atau desakan terhadap sesuatu.

Apabila mereka mengalami tekanan,ia juga akan mengalami kemurungan dimana bagi wanita yang telah bercerai, ia adalah suatu perasaan sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku di dalam rumah tangganya.

Trauma terhadap apa yang berlaku didalam rumah tangganya. Tambahan pula jika punca penceraian adalah disebabkan keganasan rumah tangga oleh suami dayus.

Di samping itu, dari sisi positifnya pula, ia boleh memberikan kesejahteraan dalam kehidupan yang lebih baik daripada wanita yang mempertahankan perkahwinannya yang tidak bahagia.

Sebahagian daripada wanita akan merasa menjadi lebih positif, menjadi lebih matang dan bermakna dalam kehidupan selepas bercerai.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan hukum cerai semasa mengandung dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. Al-Kafi #956: Hukum Menceraikan Isteri Ketika Hamil. Mufti Wilayah Persekutuan. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. #275 Cerai Isteri Ketika Hamil. Maktabah Al Bakri
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.