Anak Luar Nikah: Taraf Mahram, Hukum Berkahwin & Kesannya

Dari data yang dikongsikan oleh Persatuan Hak Kesihatan Wanita (RRAAM), dianggarkan kira-kira sebanyak 90,000 hingga 100,000 kes setiap tahun yang melibatkan kelahiran anak luar nikah.

Angka ini belum lagi dikira dari kalangan individu yang menggugurkan kandungan mereka.

Situasi ini dilihat sangat membimbingkan kerana banyak hal-hal yang berkaitan anak ini perlu kita fahami sebelum menjatuhkan hukum sesuka hati.

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda tentang anak luar nikah dari sudut status hubungan dengan orang sekeliling, mahramya, dan kesan terhadap kehidupan.

Baca juga:

Definisi anak luar nikah

anak luar nikah

Menurut definisi oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bermuzakarah pada 27 Julai 2004 tentang anak luar nikah ini, adalah seperti berikut:

  • Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah.

  • Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut taqwim qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).

Manakal dari istilah perundangan pula, ia bermaksud anak yang dilahirkan menerusi hubungan intim antara dua orang manusia iaitu antara lelaki dan wanita yang tidak mempunyai ikatan perjanjian sebagai suami isteri yang sah.

Mahram anak tidak sah taraf

Menurut Syeikh Nawawi bin Umar, mahram dari sudut istilah para fuqaha’ bermaksud:

"Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) 

dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang." - (Kasyifah al-Saja)

Penjelasan berkenaan dengan golongan yang dianggap sebagai mahram ini ada dinyatakan dalam Surah Al-Nisa, ayat 23:


حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ

اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِي

Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa),

ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu),

anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu,

anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu.

Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu.

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Dari penjelasan di atas, boleh kita simpulkan bahawa mahram anak tak sah taraf ialah ibunya dan keluarga sebelah ibunya seperti nenek dan atuknya, adik beradik ibunya dan lain-lain.

Adik beradiknya pula dikira sebagai adik beradik seibu. Oleh itu, mereka dianggap juga sebagai mahram bagi anak tak sah taraf tersebut.

Berbeza pula dengan bapa biologinya, hukumnya berbeza dengan ibunya.

Mazhab Syafie memberi hukum yang menggambarkan betapa tidak ada hubungan antara bapa tak sah taraf dan anak tak sah taraf.

Hal ini sebagaimana diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang menyebut:

Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. 

Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

Hukum berkahwin dengan anak tidak sah taraf

Hukum berkahwin dengan anak tidak sah taraf adalah sah dari sudut hukum syarak dan perundangan sekiranya menepati syarat-syarat serta rukun yang ditetapkan oleh syarak. 

Namun bagi anak tidak sah taraf, mereka perlu menggunakan wali sultan atau wali hakim. 

Hal ini bertepatan dalam seksyen 7(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan: 

Jika sesuatu perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang tidak mempunyai wali daripada nasab, mengikut Hukum Syarak, perkahwinan itu hendaklah diakadnikahkan hanya oleh Wali Raja.

Seksyen 7(2) ini secara jelas menyebut sekiranya tidak ada wali nasab, maka perkahwinan itu akan diakadnikahkan oleh Wali Raja/Hakim.

Situasi ini menunjukkan bahawa ia antara perkahwinan yang turut diiktiraf menurut perundangan.

Kerana jika seseorang wanita tidak mempunyai wali daripada nasab, dia akan diakadnikahkan oleh Wali Raja menurut hukum syarak.

Oleh yang demikian, perkahwinan dengan wanita yang tidak sah taraf adalah sah menurut hukum syarak.

Kesan anak luar nikah terhadap penamaan

anak luar nikah

Seorang anak tidak sah taraf hendaklah dinasabkan kepada ibunya. Manakala bagi pendaftaran nama pula adalah berdasarkan undang-undang, garis panduan atau fatwa yang diwartakan di negeri tempat tinggal ibu tersebut.

Sebagai contoh:

  • Pulau Pinang telah mewartakan pada 27 Oktober 2005 bahawa anak tak sah taraf sama ada diikuti dengan perkahwinan pasangan itu atau tidak hendaklah dibinkan atau dibintikan kepada “Abdullah”, dan

  • Wilayah Persekutuan pula telah mewartakan pada tahun 2017 bahawa anak yang tak sah taraf dinisbahkan kepada Abdullah atau mana-mana nama yang dimulakan dengan Abdu seperti “bin Abdul Ghani”, “bin Abdul Rahman”, atau “bin Abdul Latif

Kesan anak luar nikah terhadap pusaka

Anak tidak sah taraf boleh mewarisi ibunya dan begitu jua ibunya boleh mewarisi harta pusaka anak tidak sah taraf tersebut. 

Walau bagaimanapun, anak tersebut tidak boleh mewarisi bapa kandungnya.

Langkah menangani pergaulan bebas

anak luar nikah

Tidak dinafikan pergaulan bebas adalah faktor utama berlakunya anak luar nikah ini. Dalam surah Al-Isra’, ayat 32 Allah SWT berfirman maksudnya:

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

Ibn Kathir dalam Tafsir-nya menjelaskan Allah SWT melarang para hamba-Nya daripada melakukan zina dan juga perkara yang membawa dekat kepadanya.

Dalam hadis daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW maksudnya:

“Sesungguhnya Allah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat,

zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.” – (Hadis Riwayat Muslim Sahih Muslim No. Hadis: 2657)

Maksud “jangan mendekati” lebih cenderung menunjukkan kepada semua saranan yang membawa kepada zina seperti pandangan mata, sentuhan dan berkhalwat adalah haram dan perlu dijauhi.

Keadaan ini dapat mendorong manusia daripada terjebak dengan situasi yang lebih buruk kelak seperti penzinaan.

Justeru langkah-langkah dalam menangani masalah pergaulan bebas ini perlu diambil tahu antaranya seperti:

  • Elakkan berpasangan
  • Pandai memilih rakan
  • Kawalan terhadap media sosial
  • Mendekatkan diri kepada Allah
  • Melakukan aktiviti yang berfaedah di masa lapang
  • Merapatkan hubungan dengan ibu bapa dan keluarga

Kesimpulan

Kita haruslah berfikiran terbuka dan cakna dengan apa yang berlaku dalam masyarakat sekeliling. Jangan menjadi individu yang melemparkan cacian dan hinaan kepada anak luar nikah ini.

Mereka bukanlah hina dan tiadalah ia berdosa kerana kesilapan yang dilakukan oleh kedua orang tuanya.

Sebaliknya sebagai sesama umat Islam, bantu dan bimbing mereka agar dapat hidup layaknya seperti orang lain di dunia ini.

Sumber:

  1. Al-Kafi #1636: Hubungan Anak Luar Nikah Dengan Ibu dan Juga Adik Beradik Perempuan Kepada Bapa. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Mahram Anak Tidak Sah Taraf. Maktabah Al-Bakri
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.