Hukum Lelaki Pakai Inai 3 Jari, Menyerupai Wanita?
Adat perkahwinan masyarakat Melayu termasuklah lelaki pakai inai 3 jari dilihat sudah menjadi kebiasaan bagi setiap majlis perkahwinan.
Namun, dari segi syarak apakah dibolehkan perbuatan tersebut dilakukan biarpun sekejap dan hanya bagi tujuan merias pengantin lelaki?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan hukum lelaki pakai inai 3 jari yang perlu anda tahu.
Baca lagi:
Apa itu inai?
Inai merupakan sejenis tumbuhan yang cukup dikenali dalam kalangan masyarakat Melayu.
Pokok inai mempunyai daun seakan-akan daun pohon delima. Ia mengeluarkan bunga putih seperti pohon anggur dan daripada daunnya boleh mengeluarkan warna merah sebagai pewarna (khadab).
Ia lazimnya digunakan sebagai agen pewarna dan penaik seri pengantin dalam acara perkahwinan tradisional.
Hubung kait inai dan sejarah dunia
Kebanyakan ahli arkeologi mempercayai bahawa penggunaan inai berawal atau berasal dari Mesir.
Hal ini kerana adanya penemuan artifak yang dijumpai berasal dari zaman pra-dinasti mesir, menggunakan inai untuk pewarna rambut untuk menutupi uban yang bertarikh antara 3650 – 3500 SM.
Bahkan bunga inai juga ada dijumpai di karangan perkuburan Mesir seperti di makam Sheikh Abd-el-Qurna yang bertarikh antara 1000 – 500 SM.
Budaya memakai inai dalam masyarakat
Adat berinai adalah antara tradisi dalam perkahwinan masyarakat Melayu. Ia boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu berinai curi, berinai kecil, dan berinai besar.
Masyarakat dulu kala menggunakan inai pada kuku tangan dan kaki sebagai perhiasan kerana inai mempunyai keharuman bau asli selain untuk perubatan.
Selain digayakan pada semua jari, jari kaki juga dianggap penting walaupun ketika ini kebanyakan pengantin sudah memakai kasut walaupun di dalam rumah.
Ada juga kawasan tertentu yang mempunyai adat meletakkan inai pada bahagian tengah tapak tangan dan tapak kaki selain garisan setebal 1 cm di keliling kaki.
Hukum lelaki pakai inai 3 jari
Hukum lelaki pakai inai 3 jari atau pada kedua tangan atau kaki mereka adalah tidak dibenarkan.
Amalan pemakaian inai ini hanya digalakkan bagi perempuan yang telah berkahwin untuk berinai bagi tujuan berhias.
Ia berdarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha:
أَوْمَتِ امْرَأَةٌ مِنْ وَرَاءِ سِتْرٍ بِيَدِهَا كِتَابٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَبَضَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَدَهُ فَقَالَ: مَا أَدْرِي أَيَدُ رَجُلٍ أَمْ يَدُ امْرَأَةٍ. قَالَتْ بَلِ امْرَأَةٌ . قَالَ: لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً لَغَيَّرْتِ أَظْفَارَكِ. يَعْنِي بِالْحِنَّاءِ.
“Seorang wanita memberikan isyarat dari belakang tabir bagi menunjukkan pada tangannya ada surat untuk diberikan kepada Rasulullah SAW. Maka Nabi SAW menggenggam menutup tangannya lalu berkata: “Aku tidak tahu adakah ini tangan lelaki ataupun tangan perempuan?”. Jawab perempuan tersebut: “Perempuan”. Lalu Baginda berkata: “Jikalau kamu ini perempuan, nescaya akan lakukan perubahan pada kuku-kuku kamu (iaitu dengan inai)”.
Hadis Riwayat Abu Daud (4166), al-Nasa’ie di dalam al-Kubra (9311) & Ahmad di dalam Musnadnya (26258)
Hal ini kerana, berinai termasuk dalam perhiasan wanita. Justeru, tidak boleh bagi lelaki untuk berinai sama ada bagi tujuan perkahwinan ataupun selainnya atas dasar berhias, agar nampak cantik.
Setelah mengetahui bahawa inai itu adalah perhiasan bagi wanita, maka dalam sebuah hadith yang lain terdapat larangan bagi menyerupai wanita.
Sabda Nabi SAW daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
“Rasulullah SAW telah melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita dan golongan wanita yang menyerupai lelaki.”
Riwayat Al-Bukhari (5885)
Seandainya pemakaian inai tersebut atas tujuan berubat bagi membantu menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu atau dipakai pada rambut, maka ia dibolehkan.
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan di dalam al-Majmu’:
أَمَّا خِضَابُ الْيَدَيْنِ وَالرِّجْلَيْنِ بِالْحِنَّاءِ فَمُسْتَحَبٌّ لِلْمُتَزَوِّجَةِ مِنْ النِّسَاءِ: لِلْأَحَادِيثِ الْمَشْهُورَةِ فِيهِ وَهُوَ حَرَامٌ عَلَى الرِّجَالِ إلَّا لِحَاجَةِ التَّدَاوِي
Maksudnya: Adapun mewarnakan kedua tangan dan kaki dengan inai, maka digalakkan bagi yang berkahwin dikalangan perempuan berdasarkan hadith-hadith masyhur padanya dan haram ke atas lelaki-lelaki (memakai inai) kecuali untuk berubat.
Lihat al-Majmu’. Dar al-Fikr, 1/294
Hukum lelaki pakai inai 3 jari bagi tujuan adat dan perhiasan adalah tidak dibolehkan kerana perbuatan tersebut boleh menyerupai wanita.
Kebaikan memakai inai untuk kesihatan
Daun inai adalah salah satu dari tumbuhan yang ada disebutkan oleh Rasulullah SAW bagi merawat pelbagai jenis penyakit.
Rasulullah SAW sendiri menggunakan inai sebagai pewarna untuk mewarnakan rambut, jari dan janggut, dan juga dalam bidang perubatan untuk menyembuhkan luka, bisul, sakit kaki, dan sakit kepala.
Telah menceritakan kepada kami Abu Bakr Ibn Abi Saibah menyampaikan kepada kami Zaid ibn al-Hubab dari Fa’id maula ‘Ubaidillah ibn ‘Ali ibn Abi Rafi’ dari tuannya ‘Ubaidullah bahwa neneknya, Ummu Salma Rafi’, maula Rasulullah SAW berkata
“Tidaklah Rasulullah SAW menderita luka-luka bernanah dan tidak pula terkena duri, melainkan beliau meletakkan inai padanya.” – (Sunan Ibnu Majah)
Daripada pandangan ulama, penggunan inai oleh Nabi SAW dengan cara diletakkan di atas luka adalah bermanfaat kerana inai bersifat sejuk dengan memiliki agen penyejuk yang membantu meringankan rasa sakit.
Selain itu inai juga terbukti mampu menyembuhkan luka-luka mulut dan bengkak, menyembuhkan sakit kepala, menenangkan saraf, mengubati bengkak dan radang, serta mengubati lepuh dan bisul pada tubuh badan.
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan hukum lelaki pakai inai 3 jari dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Solusi kepada inai yang betul-betul ori dari hujung rambut sehingga hujung kaku, anda boleh dapatkan Inaidamia dengan harga yang berpatutan. Kelebihannya, tahan lebih lama, tanpa bahan kimia, warna daun asli, dan mesra ibadah tanpa was-was.
Sumber:
- Irsyad Al-Fatwa Ke-157: Hukum Lelaki Memakai Inai. Mufti Wilayah Persekutuan
- Pemakaian Inai. Jabatan Mufti Perak