Hukum Mandi Bogel Dengan Sengaja dan Aurat Ketika Mandi

Ramai orang gemar untuk mandi bogel berbanding mandi dengan berkemban atau separa telanjang.

Namun dalam Islam, mandi secara bogel atau telanjang ini mempunyai hukumnya yang tersendiri biarpun tidak mempamerkan bahagian aurat atau tubuh kepada orang lain.

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai hukum mandi bogel dan aurat lelaki serta perempuan ketika mandi.

Baca juga:

Mandi dalam Islam

Dari segi bahasa, mandi adalah mengalirkan air ke atas apa-apa sahaja.

Dari segi syarak pula, mandi adalah mengalirkan air ke atas badan dengan niat yang tertentu. Dalam Islam, mandi ini telah pun disyariatkan oleh Allah SWT dan merupakan salah satu dari bahagian kebersihan yang perlu kita lakukan.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 222 yang bermaksud:


 وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْمَحِيضِۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَٱعْتَزِلُوا۟ ٱلنِّسَآءَ فِى ٱلْمَحِيضِۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ ٱللَّهُۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّ‌ٰبِينَ وَيُحِبُّ ٱلْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: Haid itu adalah suatu kotoran. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haidh. 

Dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. 

Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.”

Aurat lelaki dan perempuan ketika berseorangan

Asasnya perlu anda fahami bahawa setiap orang tidak kira lelaki atau perempuan mempunyai bahagian auratnya yang tersendiri ketika berseorangan.

Aurat lelaki apabila berada berseorangan adalah qubul dan duburnya.

Manakala aurat perempuan ketika berseorangan adalah antara pusat dan lutut.

Hal ini jelas menunjukkan, biarpun dalam keadaan berseorangan setiap orang mempunyai tahap auratnya yang tertentu dan tidak boleh sesuka hati bertelanjang atau membuka aurat tanpa sebab tertentu.

Hukum mandi bertelanjang

Hukum mandi bogel atau mandi dalam keadaan bertelanjang adalah harus sekiranya tidak di tempat terbuka atau dapat dilihat oleh orang lain.

Dalil keharusan di atas adalah berdasarkan syarak umat sebelum kita.

Ibn Hajar mengatakan: “Kesimpulannya, hukum sesiapa yang mandi tanpa sebenang urat (telanjang) sekiranya dia berada di tempat yang tersembunyi dan tidak dilihat oleh sesiapapun yang diharamkan ke atasnya melihat aurat orang tersebut, maka halal baginya untuk melakukannya.

Tetapi yang afdhal adalah menutup auratnya kerana segan atau malu dengan Allah taala.

Jika dia mandi sekira-kira dapat dilihat oleh seseorang maka haram orang tersebut melihat auratnya dan wajib ke atasnya menutup auratnya daripada orang tersebut secara ijmak sebagaimana diriwayatkan.” – (Mirqaat al-Mafatih Syarah li Misykaat al-Masabiih, 2/368)

Manakala hukum membuka aurat dalam keadaan berseorangan pula ada dua iaitu haram dan harus.

Ia boleh jadi haram hukumnya, bila mana tiada keperluan atau hajat tertentu. Namun sekiranya terdapat keperluan yang mendesak seperti ingin melakukan qadha hajat, mandi, tabarrud (menghilangkan suasana panas), berubat, dan menukar pakaian, maka hukumnya harus.

Hukum mandi wajib dalam keadaan berbogel

Seseorang yang mandi wajib dalam keadaan berbogel tanpa seurat benang, mandinya itu sah tetapi hendaklah tidak di tempat terbuka atau dapat dilihat oleh orang lain.

Ini kerana, setiap orang Muslim sangat berpegang teguh dalam menjaga maruah diri dan tidak mempamerkan aib diri sendiri di khalayak ramai.

Hikmah mandi dalam Islam

mandi bogel

Mandi dalam Islam memiliki beberapa hikmah atau manfaat yang ditekankan baik dari segi fizikal mahupun spiritual. Berikut ini adalah beberapa hikmah mandi dalam Islam:

1. Menunjukkan kepatuhan terhadap perintah Allah

Mandi dalam Islam merupakan salah satu perintah Allah yang terdapat dalam Al-Quran dan diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Dengan melaksanakan mandi, seorang Muslim menunjukkan ketaatan dan kepatuhan terhadap perintah Allah, sehingga dapat memperkuat ikatan spiritual dengan Nya.

2. Membersihkan diri secara keseluruhannya

Mandi dalam Islam bukan hanya sekadar amalan spiritual, tetapi juga merupakan cara untuk membersihkan diri secara fizikal.

Mandi yang dilakukan dengan membasuh seluruh tubuh dengan air bersih membantu menghilangkan kotoran, debu, dan bau yang melekat pada kulit.

Hal ini penting untuk menjaga kebersihan dan kesihatan tubuh.

3. Membuat persiapan untuk beribadah

Mandi junub (mandi besar) merupakan salah satu syarat untuk melaksanakan ibadah-ibadah tertentu dalam Islam, seperti solat, puasa, dan umrah.

Dengan mandi, seseorang membersihkan diri dari hadas besar sebagai satu persiapan untuk melaksanakan ibadah dengan bersih dan suci.

4. Menjaga kehormatan diri

Islam mendorong umatnya untuk menjaga kehormatan dan martabat diri. Mandi wajib (mandi janabah) dianjurkan setelah melakukan hubungan suami isteri atau mengalami mimpi basah.

Dengan mandi, seseorang membersihkan diri dari najis janabah dan menjaga kehormatan serta kesucian diri.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini mengenai hukum mandi bogel atau bertelanjang dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan bersama.

Sumber:

  1. Irsyad Al-Fatwa Ke-179: Hukum Bertelanjang dan Melihat Aurat Sendiri. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Irsyad Al-Fatwa Ke-15: Hukum Mandi Wajib Tanpa Seurat Benang. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.