Hukum Masuk Mekah Tanpa Ihram Sebab Niat Bercuti

Hukum masuk Mekah tanpa ihram adalah dibolehkan selagi mana kita tidak berniat langsung untuk melakukan umrah sepanjang tempoh tersebut sebelum tiba ke Mekah.

Dalam artikel kali ini, kami akan berkongsi kepada anda penjelasan lengkap mengenai hukum masuk Mekah tanpa ihram yang mungkin berlaku pada sesetengah dari masyarakat kita hari ini.

Baca juga:

Apa itu ihram di Mekah?

masuk Mekah tanpa Ihram

Ihram merupakan rukun utama bagi haji dan umrah. Dari segi bahasa, ihram berasal dari perkataan Arab iaitu mengharamkan.

Manakala ihram dari segi istilah pula adalah mengerjakan ibadah haji dengan mengharamkan hal-hal yang dilarang selama berihram.

Larangan Ketika Ihram dan Bayaran Dam | Ustaz Muhidin Mokter

Hukum masuk Mekah tanpa ihram

Pertamanya, bagi mana-mana umat Islam yang masuk ke Mekah untuk menunaikan umrah atau haji, mereka wajib untuk berihram atau berniat memulakan ibadah haji atau umrah.

Hal ini kerana, jelas bahawa ihram adalah salah satu dari rukun-rukun haji dan umrah. Bagi berniat ihram di miqat pula ia tergolong dalam perkara-perkara wajib haji dan umrah.

Turut dinyatakan juga perkara tersebut berdasarkan dari riwayat Abdullah bin Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

وَقَّتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَهْلِ الـمَدِينَةِ ذَا الحُلَيْفَةِ، وَلِأَهْلِ الشَّأْمِ الجُحْفَةَ، وَلِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ الـمَنَازِلِ، وَلِأَهْلِ اليَمَنِ يَلَمْلَمَ، فَهُنَّ لَهُنَّ، وَلِمَنْ أَتَى عَلَيْهِنَّ مِنْ غَيْرِ أَهْلِهِنَّ لِمَنْ كَانَ يُرِيدُ الحَجَّ وَالعُمْرَةَ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW menentukan miqat untuk penduduk Madinah ialah Zulhulaifah (atau dikenali juga sebagai Bir Ali), untuk penduduk Syam ialah Juhfah, untuk penduduk Najd ialah Qarn al-Manazil dan untuk penduduk Yaman ialah Yalamlam.

Tempat-tempat ini merupakan miqat bagi penduduk negerinya dan orang-orang selain mereka yang berada di tempat itu, bagi sesiapa sahaja yang berniat melaksanakan haji dan umrah.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 1526)

Bagi sesiapa yang tidak berniat ihram di miqat untuk mengerjakan haji atau umrah, maka mereka akan dikenakan dam.

Namun dam boleh digugurkan sekiranya anda kembali semula (dengan segera) ke miqat yang dilepasinya sebelum melakukan apa-apa perbuatan haji atau umrah seperti tawaf dan lain-lain. 

Hukum masuk Mekah tanpa ihram kerana melancong

Ada segelintir dari kita yang tidak berniat pun masuk ke Mekah untuk melakukan ibadah umrah.

Namun beberapa ketika berada di sana, mula terdetik untuk membuat ibadah tersebut dalam keadaan tidak berihram.

Dengan bahasa mudahnya, apakah hukum masuk Mekah tanpa ihram kerana melancong?

Dalam isu ini, sebenarnya ia tidaklah dibenarkan kerana dikira individu tersebut telah melakuakn dosa dan dikenakan dam iaitu seekor kambing kerana telah meninggalkan perkara wajib umrah.

Ia seperti mana yang dinyatakan oleh Ibn Hajar al-Haitami bahawa:

“Sekiranya seseorang ketika di miqat dalam keadaan berniat untuk melaksanakan manasik (umrah atau haji), sama ada segera atau masa akan datang, maka dia wajib berniat ihram di miqat itu dengan manasik tersebut (jika dia mampu) atau yang setara dengannya (miqat tersebut jika dia tidak mampu untuk pergi ke miqat yang sepatutnya).

Sekiranya tidak, dia dikira berdosa dan wajib ke atasnya dam berdasarkan syaratnya (jika dia tidak kembali sebelum melakukan apa-apa manasik (umrah atau haji tersebut).”

– (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 2/123; Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, 4/46).

Namun begitu, sekiranya individu yang masuk ke Mekah itu pada asalnya memang tidak terdetik pun berniat untuk buat umrah contohnya bagi tujuan melancong, mutawif yang menguruskan jemaah atau seumpamanya, maka tidaklah wajib berniat ihram di miqat yang sepatutnya dan tidak juga dikenakan dam. 

Ibn Hajar al-Haitami menyebut bahawa sekiranya seseorang  ketika di miqat, dia berniat untuk pulang ke negaranya (tanah airnya) atau urusan-urusan yang lain (selain umrah atau haji) dan tidak terlintas langsung pada fikirannya menuju ke Makkah bagi tujuan melakukan manasih (haji atau umrah), maka tidak wajib ke atasnya berniat ihram di miqat.

– (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 2/123; Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, 4/46).

Adapun jika kemudiannya barulah dia terlintas untuk melakukan umrah setelah selesai urusannya itu atau setelah tiba di Mekah barulah dia berubah fikiran.

Maka dalam situasinya itu, dia hendaklah berniat ihram di Tan‘im atau mana-mana tanah halal sebagaimana miqat umrah bagi penduduk Mekah.

Di mana boleh niat ihram jika terlepas niat di miqat?


Sekiranya seseorang itu terlupa untuk berniat ihram di miqat, maka wajib ke atasnya untuk segera kembali ke miqat bagi melakukannya.

Adapun bagi mereka yang masuk ke Mekah tanpa ihram atas tujuan seperti perniagaan, mesyuarat dan seumpamanya, dan tidak terlintas langsung dalam fikirannya untuk melakukan umrah, maka dia tidak diwajibkan berniat ihram di miqat yang sepatutnya (yang dilaluinya).

Akan tetapi sekiranya pekerjaan mereka sudah selesai dan tiba-tiba terdetik untuk melaksanakan umrah, boleh berniat ihram di Tan‘im atau mana-mana tanah halal sebagaimana miqat umrah bagi penduduk Makkah.

Doa masuk kota Mekah

Lafaz doa masuk Mekah:

اَللّٰهُمَّ هٰذَا حَرَمُكَ وَأَمْنُكَ فَحَرِّمْ لَحْمِيْ وَدَمِيْ وَشَعْرِيْ وَبَشَرِيْ عَلَى النَّارِ وَاٰمِنِّيْ مِنْ عَذَابِكَ يَوْمَ تَبْعَثُ عِبَادَكَ وَاجْعَلْنِيْ مِنْ أَوْلِيَآئِكَ وَأَهْلِ طَاعَتِكَ

Allaahumma hadzaa haramuka wa amnuka fahharrim lahhmii wa damii wa sya’rii wa basyarii ‘alaa-naari wa aaminnii min ‘adzaabika yauma tab’atsu ‘ibaadaka waj’alnii min auliyaa’ika wa ahli thaa’atika.

Maksudnya: “Ya Allah, kota ini adalah Tanah Haram-Mu dan tempat aman-Mu, maka hindarkanlah daging, darah, rambut dan kulitku dari neraka. Dan selamatkan diriku dari seksa-Mu pada hari Engkau membangkitkan kembali hamba-Mu, dan jadikanlah aku termasuk orang-orang yang selalu dekat dan taat kepada-Mu.”

Doa ketika melihat Kaabah

Lafaz doa bila melihat Kaabah:

 اللَّهُمَّ زِدْ هَذَا الْبَيْتَ تَشْرِيفًا وَتَعْظِيمًا وَتَكْرِيمًا وَمَهَابَةً وَزِدْ مَنْ شَرّفَهُ وَكَرّمَهُ مِمَّنْ حَجَّهُ وَاعْتَمَرَهُ تَشْرِيفًا وَتَكْرِيمًا وَتَعْظِيمًا وَبِرًّ

Allaahumma zid hadzaal-baita tasyriifan wa ta’dhiiman wa takriiman wa mahaabatan wa zid man syarraafahu wa ‘adhamahu wa karramahu mimman hajjahu awi’tamarahu tasyriifan wa ta’dhiiman wa takriiman wa birraan.

Maksudnya: “Ya Allah, tambahkanlah kemuliaan, keagungan, kehormatan dan wibawa pada Bait (Kaabah) ini. Dan tambahkanlah pula pada orang-orang yang memuliakan, mengagungkan dan menghormatinya di antara mereka yang berhaji atau yang berumrah dengan kemuliaan, keagungan, kehormatan dan kebaikan.”

Kelebihan tanah haram Mekah

masuk Mekah tanpa Ihram

Terdapat beberapa kelebihan Mekah yang kita sebagai umat Islam perlu tahu. Antaranya seperti:

1. Memperoleh pahala berganda

Abdullah bin Zubair menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada 1000 kali solat di masjid lain kecuali Masjidil Haram. Solat di Masjidil Haram lebih afdal daripada 100 kali solat di masjidku ini (iaitu 100 ribu kali di masjid).” – (Hadis Riwayat Ahmad)

2. Rahmat turun ke atas Kaabah setiap hari

Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Seratus dua puluh rahmat turun ke atas Kaabah setiap hari dan setiap malam; 60 untuk mereka yang melakukan tawaf, 40 bagi mereka yang solat dan 20 untuk mereka yang hanya melihat Kaabah.” – (Hadis Riwayat at- Thabrani)

3. Tempat mustajab berdoa

Ada beberapa lokasi yang menurut hadis ia sangat mustajab bagi sesiapa yang berdoa.

Contohnya seperti Multazam, Hijr Ismail, belakang makan Nabi Ibrahim, Raudhah, dan Rukun Yamani.

4. Negeri yang paling disayangi oleh Allah dan Rasulnya

Abdullah bin ’Adi RA berkata: Aku melihat Rasulullah SAW berdiri di Hazwarah
dan bersaba:

“Demi Allah! Sesungguhnya Makkah adalah sebaik-baik bumi Allah
dan bumi yang sangat disayangiNya, kalau aku tidak dihalau keluar daripadamu
nescaya aku tidak akan keluar.” – (Hadis Riwayat at-Tarmizi)

5. Adanya air terbaik di muka bumi

Nabi bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik air yang ada di muka bumi adalah zamzam. Di dalamnya terdapat makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi penyakit.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Air zamzam tidak pernah kering sehingga hari ini walau diminum jutaan umat manusia. Dan bahkan menurut kajian saintis Jepun, air zamzam mempunyai keajaiban dan kandungan airnya berbeza dengan yang lain.

Molekul air itu bercabang-cabang dan berkilauan serta begitu kukuh, strukturnya tidak berubah walau apa jua tekanan.

Malah, ia mampu merakam gelombang warna alam yang sering bertukar pada waktu tertentu dengan tepat.

Diharapkan semoga perkongsian kami berkenaan dengan hukum masuk Mekah tanpa Ihram dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Untuk soal jawab yang lebih banyak berkaitan fiqh umrah dan haji, anda boleh dapatkan buku ini: Fiqh Umrah Kontemporari Norma Baru

Sumber:

  1. #3511: Memasuki Makkah Tanpa Berihram dengan Niat Bercuti. Maktabah Al Bakri
  2. #1454: Melancong Dahulu di Jeddah sebelum Umrah. Maktabah Al Bakri
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.