Hukum Kirim Doa Dari Tanah Suci & Contoh-Contoh Doa
Apakah hukum kirim doa dari tanah suci yang selalunya masyarakat kita lakukan?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan hukum kirim doa dari tanah suci berserta dengan contoh doa yang bersesuaian.
Baca juga:
Doa di tanah suci, mustajab?
Tidak dinafikan, berdoa di tanah haram mempunyai kelebihan dan keutamaan yang tertentu.
Menurut Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah di dalam kitabnya Lathaif al-Ma’arif (Hlm. 269) berkata:
“Penggandaan pahala bagi setiap amalan itu berlaku apabila kita berdoa di tempat yang mulia seperti tanah haram. Oleh kerana itulah solat di dalam dua masjid Makkah dan juga Madinah itu dilipat gandakan ganjarannya.”
Hal ini sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis yang sahih daripada Nabi SAW baginda bersabda:
صَلاَةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ – أَوْ كَأَلْفِ صَلاَةٍ – فِيمَا سِوَاهُ مِنَ الْمَسَاجِدِ إِلاَّ أَنْ يَكُونَ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ
Maksudnya: “Solat di dalam masjidku ini (Masjid Nabawi) adalah lebih baik berbanding 1000 solat – atau menyamai 1000 solat – berbanding masjid-masjid selainnya, kecuali Masjid al-Haram.” – (Hadis Riwayat Muslim, No. 1394)
Tempat-tempat yang dianjurkan berdoa
Terdapat beberapa tempat di tanah suci yang dikatakan sangat dianjurkan untuk kita berdoa. Antara tempat yang dimaksudkan itu adalah seperti:
1. Multazam
Multazam berada di dalam masjidil haram. Lokasi persisnya adalah di antara Hajar Aswad dan sebelum Pintu Kaabah
“Multazam adalah tempat dikabulkannya doa. Tidak ada satu pun doa seorang hamba di Multazam kecuali akan dikabulkan.” – (Hadis Riwayat Ahmad)
2. Hijir Ismail
Hijir Ismail adalah sebuah bangunan kecil berbentuk setengah lingkaran yang dipagari oleh tembok rendah di sebalah utara Kaabah.
Rasulullah SAW bersabda, dari Aisyah r.a. berkata:
“Aku ingin sekali masuk ke dalam Kaabah untuk solat di dalamnya.” Maka Rasulullah SAW menarik tanganku masuk ke Hijir Ismail seraya berkata
“Apabila engkau mau masuk ke dalam Kaabah, maka sesungguhnya hijir ini sebagian dari Kaabah. Kerana kaummu ketika membina Kakbah kembali menguranginya hingga Hijir itu berada di luar Kaabah.” – (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasai, dan Tirmizi)
3. Di Belakang Makam Ibrahim
Posisinya tidak jauh dari Hijir Ismail. Makam Ibrahim ini berupa bangunan kecil berkubah emas, perak, dan berlapis kaca.
Dari bangunan kecil ini terlihat bekas tapak Nabi Ibrahim. Di sekitar makam Ibrahim ini, para jamaah akan melakukan salat sunah selesai tawaf.
Ibnu Abbas menyebutkan: “Tidak ada sesuatu pun di dunia ini yang berasal dari syurga, kecuali Hajar Aswad dan makam Ibrahim.”
4. Rukun Yamani dan Hajar Aswad
Rukun merupakan 4 sudut Kaabah yang disebut Rukun Aswad, Rukun Iraqi, Rukun Syami, dan Rukun Yamani.
Sedangkan Rukun Aswad atau Hajar Aswad adalah posisi “batu hitam”, yang menjadi posisi permulaan jemaah haji saat bertawaf.
Berdoalah di Hajar Aswad dan disunahkan mencium batu hitam ini. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 127:
Dan (ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): “Ya Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
5. Raudah
Raudah adalah taman surga merupakan sebuah area kecil di Masjid Nabawi antara mimbar Imam Masjid Nabawi dengan makam Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar As Sidiq, dan Umar bin Khattab.
Tempat ini selalu dipenuhi oleh jamaah. Berdesak-desakan hanya untuk beratur mendapatkan tempat yang nyaman sudah pasti ditemukan.
Rasulullah SAW bersabda:
“Tempat antara rumahku dan mimbarku adalah taman dari taman-taman syurga.” – (Hadis Riwayat Muslim)
Hukum kirim doa dari tanah suci
Hukum kirim doa dari tanah suci adalah dibolehkan. Hal ini berdasarkan kepada sebuah riwayat daripada Saidina Umar al-Khattab RA.
Bahawa beliau pernah meminta izin kepada Nabi SAW untuk menunaikan umrah, lalu baginda mengizinkannya dan berkata kepada Umar:
لاَ تَنْسَنَا يَا أُخَىَّ مِنْ دُعَائِكَ
“Jangan lupakan kami wahai saudaraku dari doa kamu.” – (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 1498)
Koleksi doa di tanah suci
“Ya Allah Ya Tuhan Kami. Kami datang dari negeri yang jauh, kami sanggup meninggalkan anak-anak kami, tinggalkan keluarga kami, tinggalkan saudara-mara kami, tinggalkan harta benda kami, tinggalkan pekerjaan kami dan tinggalkan perniagaan kami semata-mata menyahut panggilan Mu sebagai tetamu di Tanah Suci. Janganlah Engkau sia-siakan kedatangan kami ke sini. Walhamdulillah Rabbil ‘Alamin.”
“Ya Allah Ya Tuhan Kami. Sudah lama kami menunggu peluang untuk bertamu di sini. Pandanglah kami dengan belas kasihan Mu, terimalah kami dengan keampunan Mu dan sambutlah kami dengan rahmat dan kasih sayang mu. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Walhamdulillah Rabbil ‘Alamin.”
“Ya Allah Ya Ghaffar. Kami datang membawa dosa yang banyak. Ampunkanlah segala dosa kami, dosa besar mahu pun yang kecil. Yang zahir mahu pun yang batin. Yang sengaja kami lakukan mahu pun yang tidak disengajakan. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampunan Lagi Maha Pengasih. Walhamdulillah Rabbil ‘Alamin.”
“Ya Allah Ya Rahman. Ampunilah dosa ibu bapa kami, muliakanlah mereka dengan semulia-mulianya. Tinggikanlah darjat mereka dengan setinggi-tinggi darjat. Luaskanlah kubur mereka dengan seluas-luasnya. Cucurilah rahmat ke atas mereka dengan sebesar-besar rahmat. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka menghadapai kami sewaktu kecil. Mudahkanlah segala urusan mereka di hari akhirat dan masukkanlah mereka ke dalam syurga Mu tanpa dihisab. Walhamdulillah Rabbil ‘Alamin.”
“Ya Allah Ya Rahim. Sebesar mana dosa hamba Mu, besar lagi rahmat dan pengampunan Mu. Kami memohon simpati kepada Mu, kami merayu kepada Mu berilah keampunan kepada kami, pasangan kami, anak-anak kami, adik-beradik kami, saudara-mara kami, jiran tetangga kami, sahabat handai kami, guru-guru kami, guru kepada guru-guru kami, dan seluruh kaum muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup mahu pun yang telah kembali kepada Mu. Walhamdulillah Rabbil ‘Alamin.”
“Ya Allah Ya Wahab. Umur kami semakin lanjut, ajal kami semakin dekat, badan kami semakin lemah, kubur kami semakin hampir. Janganlah Engkau jadikan kedatangan kami ke Tanah Suci ini sebagai yang terakhir. Engkau panjangkanlah umur kami, murahkanlah rezeki kami. Jemputlah lagi kami datang ke sini di bumi yang amat kami rindui ini. Walhamdulillah Rabbil ‘Alamin.”
“Ya Allah Ya Qudus. Andai ini merupakan kedatangan kami yang terakhir, maka janganlah Engkau sia-siakan segala ibadah yang kmi lakukan sepanjang hayat. Engkau terimalah solat kami, puasa kami, zakat kami, sedekah kami, haji kami, umrah kami, tawaf kami, saie kami dan segala amal soleh yang kami lakukan di dunia ini sebagai penyebab untuk kami mendapat rahmat dan keampunan Mu serta dianugerahi syurga yang sebesar-besar nikmat di akhirat nanti. Walhamdulillah Rabbil ‘Alamin.”
“Ya Allah Ya Razzaq. Engkau Tuhan Yang Maha Mengurniakan Rezeki, kurniakanlah rezeki yang halal but anak-anak kami, cucu kami, adik-beradik kami, saudara-mara kami, jiran-jiran kami dan sahabat handai kami agar mereka dijemput menjadi tetamu Mu di Tanah Suci mulia ini sebagaimana Engkau menjemput mereka kami datang ke sini. Walhamdulillah Rabbil ‘Alamin.”
“Ya Allah Ya Mujib. Berilah mereka peluang, berilah mereka kesempatan, berilah mereka rezeki untuk menjejakkan kaki di tempat yang berkat ini, sebelum kembali ke pangkuan Mu, meninggalkan dunia yang fana ini selama-lamanya. Walhamdulillah Rabbil ‘Alamin.”
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan hukum kirim doa dari tanah suci dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber:
- Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-214: Hukum Mengirim Doa Dari Tanah Suci. Mufti Wilayah Persekutuan
- Trend Tayang Doa Di Makkah, Apa Kata Ustaz? Mstar