Apakah Air Liur Kucing Najis? Ini Penjelasan Lengkap Mufti

Apakah air liur kucing najis? Dan bagaimanakah pula status hukumnya bagi hingus kucing dan air jilatan kucing?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda penjelasan apakah air liur kucing najis dan permasalahan lainnya khusus bagi pencinta kucing di luar sana.

Baca juga:

Apa itu air liur?

apakah air liur kucing najis

Air liur adalah rembesan cair yang dikeluarkan oleh kelenjar liur. Fungsi utama air liur adalah bagi memudahkan makanan ditelan dan dicerna.

Selain itu, ia juga membantu memelihara struktur gigi dan organ dalam mulut daripada jangkitan kuman serta membantu proses merasa makanan.

Umumnya, 99 peratus daripada kandungan air liur adalah terdiri daripada air.

Selebihnya adalah zat terlarut yang terdiri daripada elektrolit seperti natrium, klorida, kalium, kalsium, magnesium, bikarbonat dan fosfat, selain mengandungi imunoglobulin, protein, enzim, urea serta ammonia.

Perbezaan air liur kucing dan anjing

1. Kegunaan air liur

Air liur kucing mengandungi beberapa protein dan enzim seperti laktoferin dan nitrat yang bertindak sebagai agen antibakteria semulajadi. Sebatian ini memberikan perlindungan bakteria dan kulat kepada kucing.

Manakala, bagi air liur anjing pula, ia mengandungi pelbagai agen berguna yang membantu mereka daripada jangkitan. Histamin misalnya ditemukan dalam air liur anjing dan berguna untuk menahan jangkitan selepas mengalami luka atau luka terbuka.

2. Bakteria berbahaya

Kucing mempunyai kesan Staphylococcus intermedius dan Pasteurella multocida dalam air liurnya, khususnya jika ia hidup dalam kumpulan atau berkeliaran di luar.

Manakala air liur anjing pula mengandungi mikrobiom yang boleh memberi jangkitan kesihatan kepada manusia dan haiwan lain.

3. Air liur siapa lebih bersih?

Kajian menunjukkan kucing mempunyai kira-kira 200 jenis bakteria dalam mulut mereka. Berbanding anjing yang memiliki 600 jenis bakteria.

Secara perbezaan kuantiti, ini jelas menunjukkan bahawa mulut anjing adalah lebih kotor daripada mulut kucing.

Apakah air liur kucing najis?

Air liur kucing tidak dikategorikan sebagai najis. Sebaliknya, hukum air liur kucing adalah suci dan begitu juga bagi air liur haiwan yang lain kecuali anjing dan babi.

Berkata Imam Nawawi:

"Ketahui olehmu sungguhnya tiada beza pada peluh dan air liur dan kahak dan air mata antara orang yang junub dan haidh dan yang suci dan muslim dan kafir dan baghal dan keldai dan kuda dan tikus dan sekelian haiwan buas dan sekelian haiwan yang melata bahkan ialah suci dari kesemuanya dan dari sekalian haiwan itu suci melainkan anjing dan babi dan anak dari keduanya.” - (Kitab Al-Majmu’)

Ada juga disebutkan dalam Kitab Al-Musu’atul Fiqhiyah:

"Dan berkata oleh ulamak-ulamak mazhab Syafie sungguhnya apa yang terpisah dari batin haiwan dan tidak berkumpul dan bersekali di dalam batin.

Hanyalah ia air yang terbit sahaja seperti air liur dan air mata dan peluh dan kahak.

Maka baginya mengikut hukum haiwan itu yang jika haiwan itu najis maka ia najis dan jika haiwan itu suci maka ia suci.”

Apakah hingus kucing najis?

Mana-mana cecair hingus haiwan yang bukan keluar daripada perut, hukumnya adalah suci.

Sekiranya haiwan tersebut suci, maka cecair hingus tersebut dihukumkan suci. Justeru itu, peluh, air liur dan hingus kucing adalah suci.

Hal ini dijelaskan oleh Imam al al-Nawawi:

Cecair yang terpisah daripada bahagian dalaman haiwan terbahagi kepada dua. Pertama, cecair yang tidak mengalami proses pengumpulan dan perubahan di dalam perut.

Cecair tersebut hanya sekadar meresap keluar sahaja. Kedua, cecair yang mengalami proses pengumpulan dan perubahan di dalam perut kemudiannya cecair tersebut keluar.

Contoh cecair jenis pertama ialah air liur, air mata, peluh dan hingus, maka hukum dari cecair jenis ini berdasarkan kepada hukum haiwan yang mengeluarkan cecair tersebut. Jika haiwan tersebut dihukumkan najis, maka cecair tersebut najis.

Sebaliknya, jika keluar daripada haiwan yang suci, maka cecairnya juga dihukumkan suci. Contoh cecair jenis kedua ialah darah, kencing, tahi dan muntah.

Kesemuanya (cecair jenis kedua) dihukumkan sebagai najis tidak kira sama ada ia keluar daripada haiwan yang boleh dimakan atau tidak.” –  (Rujuk Raudhah al-Tolibin, 1/16)

Hukum pada air yang dijilat kucing

apakah air liur kucing najis

Dalam mazhab Imam al-Syafie, air baki jilatan kucing itu suci dan tidak makruh menggunakan. 

Daripada Kabsyah binti Ka`ab bin Malik:

“Bahwa Abu Qatadah masuk menemuinya. (Kabsyah) berkata; “Aku menuangkan air (dalam bekas) untuknya berwuduk, tiba-tiba seekor kucing lalu meminum daripada air tersebut.

Abu Qatadah kemudian mengiringkan bekas tersebut hingga kucing tersebut dapat minum.” Kabsyah berkata; “Abu Qatadah tahu bahwa aku sedang memperhatikannya, maka dia pun berkata; “Apakah engkau terkejut wahai puteri saudaraku?”

Aku menjawab, “Ya, ” Abu Qatadah berkata; “Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: ” Kucing itu tidak najis.

Sesungguhnya kucing merupakan haiwan yang biasa berkeliaran di sekelilingmu.”  – (Riwayat al-Nasaie, al-Tirmidzi, Abu Daud dan lain-lain)

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan status hukum apakah air liur kucing najis dapat memberikan anda informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. Al-Kafi #1837: Adakah Hingus Kucing Najis. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Al-Kafi Li Al-Fatawi: Soalan 119 (11 Disember 2015 / Bersamaan 29 safar 1437 H). Mufti Wilayah Persekutuan
  3. #244 Lebihan Air yang Dijilat Kucing. Maktabah Al Bakri
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.