Hukum Keputihan Wanita Ketika Berpuasa, Solat dan Tawaf
Apakah yang dimaksudkan dengan keputihan wanita dan hukumnya jika keluar ketika sedang solat, tawaf, dan berpuasa?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan masalah yang kerap berlaku kepada golongan wanita iaitu keputihan wanita dan penjelasan lengkap mengenai hukumnya.
Baca juga:
Apa itu keputihan wanita?
Dari segi perubatan, keputihan atau juga dipanggil sebagai leucorrhea adalah cecair atau lendir yang keluar daripada faraj wanita.
Manakala dari sudut agama pula, keputihan ( الإفرازات/ رطوبة جوفية ) adalah cecair yang keluar daripada bahagian batin faraj seperti air mazi, air wadi dan sebagainya.
Menurut kajian, hampir setiap wanita akan melalui keadaan ini. Dan pada kebiasaannya, cecair keputihan ini akan menyerupai warna gam pekat yang berwarna putih atau hingus yang berwarna putih dan kadang-kadang bercampur warna kekuningan dan sedikit hijau.
Faktor penyebab berlaku keputihan
Terdapat beberapa faktor terjadinya keputihan. Antaranya adalah seperti yang berikut:
- Kanser serviks atau kanser pangkal rahim
- Pengambilan antibiotik atau steroid
- Bakteria vaginosis, sejenis jangkitan bakteria yang biasanya berlaku kepada wanita mengandung atau wanita yang mempunyai beberapa pasangan
- Pil perancang keluarga
- Klamidia atau gonorea (penyakit kelamin)
- Diabetes
- Sabun wangi, losyen atau mandian buih
- Penyakit radang pelvik
- Trikomoniasis, sejenis jangkitan parasit yang kebiasaanya disebabkan oleh seks tanpa perlindungan
- Atrofi faraj, penipisan dan pengeringan dinding-dinding faraj sewaktu menopaus
- Jangkitan kulat
Fungsi keputihan wanita
Fungsi utama keputihan adalah sebagai “pencuci” semula jadi untuk membasmi bakteria yang tidak diperlukan bagi melindungi faraj anda daripada terkena jangkitan dan rasa tidak selesa.
Perbezaan antara mani, mazi, wadi dan keputihan
Mazi adalah air jernih (licin) yang keluar ketika datang syahwat (ada rangsangan syahwat). Perlu diingatkan, jika benar air mazi disebabkan syahwat dari aktiviti tidak elok (tengok gambar atau filem lucah), maka tidak syak lagi ia adalah satu dosa.
Mani pula ialah air keruh dan pekat yang keluar ketika klimaks syahwat atau sebab bermimpi.
Wadi ialah air keruh yang kadang-kadang keluar ketika kencing atau mengangkat beban berat.
Keputihan pula adalah cecair yang keluar tetapi tidak disebabkakn oleh syahwat dan berlaku kepada kaum wanita.
Hukum keputihan dalam Islam
Berkata Imam Syafie dalam kitab al-Umm:
كُلِّ مَا خَرَجَ مِنْ ذَكَرٍ مِنْ رُطُوبَةِ بَوْلٍ، أَوْ مَذْيٍ أَوْ وَدْيٍ أَوْ مَا لَا يُعْرَفُ، أَوْ يُعْرَفُ فَهُوَ نَجِسٌ كُلُّهُ مَا خَلَا الْمَنِي
“Setiap kencing, mazi, wadi atau sesuatu yang tidak diketahui atau diketahui yang keluar daripada kemaluan, maka semua hukumnya najis kecuali air mani ( Lihat al-Umm 1/72). Ini bermakna sekiranya cairan keputihan datang daripada dalam faraj selain mani, maka statusnya najis.
Keputihan dianggap sebagai najis yang membatalkan wuduk kerana ia keluar daripada had batin faraj (tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak).
Menurut pendapat Syeikh Muhammad Soleh al-‘Uthaimin pula,
Keputihan membatalkan wuduk seperti angin dan kencing yang keluar daripada dalam. Akan tetapi jika keputihan keluar terus-menerus, maka tidak membatalkan wuduk. Oleh itu, tidak mengambil wuduk melainkan setelah masuk waktu dan wuduk bagi setiap waktu dan amalan lain seperti membaca al-Quran (Lihat Majmu’ Fatawa Ibn Uthaimin, 1/284 – 285)
Panduan wanita keputihan ketika beribadah
Wanita yang keluar keputihan berterusan hukumnya seperti wanita istihadah yang sentiasa dalam keadaan hadas yang dikenali sebagai daim al-hadath (دًائِمُ الحَدَثِ).
Berikut adalah beberapa perkara yang perlu wanita lakukan apabila mengalami keputihan:
- Membasuh faraj daripada najis keputihan.
- Memakai tuala wanita seperti pantyliner dipermukaan faraj agar tidak mengalir keluar.
- Mengambil wuduk setelah masuk waktu.
- Wuduknya hanya sah untuk satu waktu solat fardu dan beberapa solat sunat.
Kaedah ini adalah berdasarkan dari riwayat:
Fatimah binti Hubaisy R.Anha datang menemui Rasulullah SAW untuk menceritakan tentang darah istihadahnya, Lalu Baginda bersabda:
ثُمَّ اغْتَسِلِي وَتَوَضَّئِي لِكُلِّ صَلَاةٍ وَصَلِّي
Maksudnya: “Mandilah, kemudian berwuduklah bagi setiap waktu solat dan solatlah." - (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 298)
Soal jawab tentang masalah keputihan
Di bawah ini adalah beberapa persoalan yang ada kaitannya dengan masalah keputihan.
Hukum keputihan dan kelembapan faraj adalah berbeza-beza iaitu:
– Lembapan faraj keluar dari tempat yang diwajibkan basuh ketika istinjak iaitu yang jelas ketika duduk mencangkung (had zahir) adalah suci dan tidak membatalkan wuduk.
– Keputihan ialah cecair yang keluar daripada dalaman faraj (batin al-faraj) adalah najis dan membatalkan wuduk.
– Keputihan yang keluar berterusan dihukumkan seperti wanita istihadah dan sah wuduk untuk satu solat fardu.
Wanita yang sentiasa keluar najis keputihan ketika melaksanakan tawaf tidak perlu mengulangi wuduknya kerana diluar kawalan selain dihukumkan seperti wanita istihadah.
Namun begitu, satu wuduknya hanya untuk satu solat dan tawaf fardu dan beberapa amalan sunat.
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan masalah keputihan ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber:
- #1611: Keputihan Ketika Tawaf. Maktabah Al Bakri
- Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-476: Adakah Keputihan Membatalkan Wuduk. Mufti Wilayah Persekutuan
- Ensiklopedia Soal Jawab Agama. Telaga Biru