Hukum Keluar Air Mani Ketika Tidur, Batal Puasa Ke?
Apakah hukum keluar air mani ketika tidur?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda hukum keluar air mani ketika tidur serta keperluannya untuk mandi wajib.
Baca juga:
Apa itu air mani?
Air mani adalah perkataan bahasa Arab ( أمْنَى – يُمْنِيْ) yang bermaksud terpancut. Diberi nama mani kerana keadaannya yang keluar dengan cara memancut, berwarna putih dan pekat.
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Tariq, ayat 6 yang bermaksud:
خُلِقَ مِنْ مَاءٍ دَافِقٍ
“Diciptakan manusia dari air mani yang terpancar.”
Dari segi istilah, air mani adalah cecair jernih pekat yang keluar memancut ketika memuncaknya syahwat.
Dari segi hukum, air mani ini adalah suci dan tidak membatalkan wuduk seseorang.
Mengapa air mani boleh keluar?
Walaupun air mani berbentuk cecair, tetapi ia memang berbeza dengan sperma. Air mani juga dikenali dengan panggilan seminal fluid yang membolehkan sperma “berenang” menuju ke sel telur dan melakukan proses persenyawaan.
Antara faktor mengapa seseorang itu boleh mengalami keluar cairan air mani secara tiba-tiba adalah kerana:
1. Mendapat ransangan seksual
Ketika mendapat ransangan seksual, lelaki atau perempuan boleh mengeluarkan air mani secara tiba-tiba.
Contohnya seperti menonton video-video lucah, ketika foreplay dan sebagainya.
2. Setelah membuang air kecil
Selain itu, air mani juga boleh keluar setelah seseorang itu membuang air kecil. Hal ini terjadi kerana adanya air mani yang tertinggal di saluran uretra.
Bahkan, kadang kala air mani juga boleh bercampur dengan air kencing dan menjadikan warnanya pucat seperti kelabu.
3. Mimpi basah
Remaja atau orang dewasa lelaki akan keluar air mani apabila mereka bermimpi basah. Mimpi basah ini mempunyai kaitan rapat dengan mimpi yang berfantasi ke arah seksual.
Justeru, gesekan dengan pakaian atau alas tilam akan menyebabkan seseorang itu mengeluarkan air mani tanpa sengaja.
4. Prostatitis
Prostatitis adalah keadaan kesihatan tertentu yang boleh terjadi apabila berlaku peradangan kelenjar prostat, iaitu kelenjar kecil yang terletak antara penis dan saluran kencing.
Penyakit ini biasa berlaku kepada golongan lelaki yang berusia di bawah umur 50 tahun.
5. Sistem saraf cedera
Sistem saraf adalah gabungan sel dan saraf yang menghantar sinyal ke otak dan bahagian tubuh lainnya.
Ketika ejakulasi, sistem saraf ikut mengambil peranan di dalamnya. Ketika terjadi cedera pada sistem saraf, maka anda boleh keluar air mani secara tiba-tiba.
Antar penyebab sistem sarah cedera adalah seperti barah otak, cedera kepala atau sumsum tulang belakang, diabetes, dan sebagainya.
Hukum keluar air mani ketika tidur
Dalam hal hukum keluar air mani ketika tidur kita ambil contoh yang paling dekat iaitu berlaku ketika bulan puasa dimana ketika itu kita sedang berpuasa.
Bagi keadaan keluar air mani dengan sengaja dengan tanpa melakukan persetubuhan seperti bercium, onani dengan tangannya atau dengan tangan isterinya atau onani dengan sentuhan, ia dikira sebagai inzal (terpancutnya mani) dengan cara mubasyarah (berseronok dengan bersentuhan tanpa lapik).
Maka hal tersebut, membatalkan puasa seseorang, dia wajib membayar denda, dan wajib mengantikan puasa tersebut.
Sekiranya air mani itu keluar tanpa tidak sengaja iaitu bukan disebabkan perkara-perkara di atas atau dengan bermesraan maka hal tersebut tidak membatalkan puasa.
Hal ini kerana atas alasan, perkara tersebut di luar kawalan dan kemampuannya. Tambahan pula, orang yang tidur taklifnya diangkat dan tidak ambil kira.
Bila perlu mandi wajib?
Sekiranya kita bermimpi melakukan perbuatan seperti berjimak dan seumpamanya, namun tidak keluar air mani maka dia tidak perlu untuk mandi wajib.
Ini berdasarkan kepada sebuah riwayat daripada Ummu Sulaim R.anha beliau bertanya kepada Rasulullah SAW:
هَلْ عَلَى الْمَرْأَةِ غُسْلٌ إِذَا احْتَلَمَتْ قَالَ نَعَمْ إِذَا رَأَتِ الْمَاءَ
Adakah seorang perempuan perlu mandi wajib apabila dia bermimpi ? Maka Nabi SAW menjawab: Ya, sekiranya dia melihat air (mendapati keluarnya air mani)." - (Hadis Riwayat Al-Bukhari, No. 6091)
Namun begitu, jika dia jelas mendapati dirinya mengeluarkan air mani secara sengaja atau tidak, maka dia perlu mandi wajib.
Ini berdasarkan sebuah riwayat lain daripada Ummu Sulaim R.anha yang bertanya kepada Rasulullah SAW:
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِذَا رَأَتِ الْمَرْأَةُ أَنَّ زَوْجَهَا يُجَامِعُهَا فِي الْمَنَامِ أَتَغْتَسِلُ قَالَ إِذَا رَأَتِ الْمَاءَ
Wahai Rasulullah, apabila seorang perempuan bermimpi bahawa suaminya bersetubuh dengannya di dalam mimpi tersebut, adakah dia perlu mandi wajib ? Maka Nabi S.A.W menjawab: Ya, jika dia melihat air.
Imam Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah ketika mengulas hadis ini berkata, jika seseorang perempuan itu mendapati keluarnya air selepas bermimpi maka dia perlu mandi.
Diharapkan semoga perkongsian kami berkenaan dengan hukum keluar air mani ketika tidur dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat.
Sumber:
- Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan #88: Keluar Mani Di Siang Hari Ramadhan. Mufti Wilayah Persekutuan
- #719 Wanita Beronani tetapi Tidak Keluar Air Mani. Maktabah Al Bakri