Persoalan & Hukum Berkaitan Kencing Tidak Lawas
Apakah hukum beribadah bagi orang yang menghadapi masalah kencing tidak lawas dan persoalan lain yang berkaitan dengannya?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan kencing tidak lawas yang biasa dihadapi oleh kebanyakan orang yang sudah berumur tidak kira lelaki atau perempuan.
Baca juga:
Apa itu kencing tidak lawas?
Kencing tidak lawas atau inkontinensia urin adalah keadaan di mana seseorang tidak dapat mengendalikan keluarnya urin secara sukarela.
Dalam kata lain, ia adalah masalah kehilangan urin secara tiba-tiba atau mengalami kebocoran urin yang tidak dapat dikendalikan.
Masalah kencing seperti ini terjadi bergantung kepada jenisnya. Berikut adalah perincian yang perlu anda tahu.
1. Punca kencing tak lawas jenis tekanan:
- Kehamilan
- Kelahira
- Menopaus
- Histerektomu
- Prosuder pembedahan
- Umur
- Obesiti
2. Punca kencing tak lawas jenis desakan:
- Cystitis
- Isu sistem saraf pusat (CNS)
- Prostat yang berkembang
3. Punca kencing tak lawas jenis limpahan:
- Kelenjar prostat yang diperbesarkan
- Tumor yang menekan pundi kencing
- Sembelit
- Pembedahan inkontinens urin yang terlalu jauh
- Kolik buah pinggang (renal colic)
4. Punca kencing tak lawas jenis total:
- Kecacatan anatomi yang telah berlaku sejak lahir
- Kecederaan tulang belakang yang merosakkan isyarat saraf antara otak dan pundi kencing
- Fistula
Masalah kencing tidak lawas dalam Islam
Dalam Islam, kencing tidak lawas juga dikenali sebagai salisi al-baul ( سَلِسِ الْبَوْل ). Hukum bagi mereka yang terkena penyakit ini adalah sama dengan wanita istihadhah (keluar darah).
Individu tersebut dikategorikan sebagai golongan yang ‘uzur’ dalam erti kata lain terdapat hukum khusus buat golongan ini dalam bab taharah.
Kaedah wuduk & solat bagi salisi al-baul
Cara 1
Sungguhpun kita menghadapi masalah penyakit hadas seperti ini, ia sama sekali tidak menggugurkan kewajipan solat, berpuasa, dan tidak menghalang seseorang untuk berjimak atau selainnya (daripada ibadah).
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya: “Fatimah binti Abi Hubaisy telah datang bertemu Rasulullah SAW lalu bertanya:
يا رَسُولَ اللَّهِ إنِّي امْرَأةٌ أُسْتَحاضُ فَلاَ أطْهُرُ أفَأدَعُ الصَّلاَةَ؟ فَقالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: «لاَ، إنَّما ذَلِكِ عِرْقٌ، ولَيْسَ بِحَيْضٍ، فَإذا أقْبَلَتْ حَيْضَتُكِ فَدَعِي الصَّلاَةَ، وإذا أدْبَرَتْ فاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ ثُمَّ صَلِّي
“Wahai Rasulullah! aku adalah seorang wanita yang beristihadhah, dan oleh kerana itu aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi SAW: ‘Janganlah kamu meninggalkan solat, adapun istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang maka engkau tinggalkanlah solat, dan apabila ia putus (berhenti), maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut (dengan mandi) dan hendaklah engkau menunaikan solat.” - (Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 228) dan Muslim No. 333)
Cara 2
Bersihkan terlebih dahulu bahagian kemaluan dan ikhtiarkan dengan sesuatu yang boleh menutup bahagian kemaluan tersebut.
Contohnya seperti membalut dan mengikatnya dengan kapas, ditutup dengan bandage, memakai pampers atau apa cara sekalipun agar titisan air kencing terhalang dari tidak terus menitis.
Adalah sebaiknya cara ini dilakukan apabila seseorang itu sudah berusaha semampunya untuk mengurangkan titisan air kencing tersebut ketika ingin menunaikan ibadah.
Ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu.” - (Surah al-Taghabun, ayat 16)
Cara 3
Golongan yang menghadapi masalah penyakit hadas ini perlulah segera berwuduk setelah berhati-hati membersihkan kemaluannya.
Dalam kata lain, wuduk perlulah diambil selepas masuknya waktu solat. Hal ini kerana, wuduk tersebut berlaku pada keadaan bersuci yang darurat.
Jika anda berwuduk sebelum masuk waktu maka wuduk itu terbatal.
Cara 4
Wajib berwuduk bagi setiap solat fardhu, dan diboleh menunaikan beberapa solat sunat dengan wuduk yang sama.
Ini berdasarkan sambungan hadith di atas yang diriwayatkan daripada Hisyam bin Urwah R.Anhuma daripada bapanya, katanya:
ثُمَّ تَوَضَّئِي لِكُلِّ صَلاَةٍ، حَتّى يَجِيءَ ذَلِكَ الوَقْتُ
“Kemudian kamu berwudhu’ untuk setiap solat (fardhu), apabila masuknya waktu solat tersebut.” - (Riwayat al-Bukhari, No.228)
Cara 5
Wajib untuk segera menunaikan solat selepas berwuduk bagi mengurangkan hadas, namun tiada masalah jika dia melewatkan sedikit solat tersebut disebabkan oleh maslahah solat, seperti menutup aurat, mendengar azan dan iqamah, menunggu untuk solat berjemaah, mencari kiblat, menuju ke masjid, mencari sutrah. Kesemua tempoh ini tidak memudaratkan wudhu’ meskipun dalam tempoh tersebut menitis air kencing.
Bahkan, para fuqaha’ menggalakkan bagi mereka yang menghidapi penyakit ini agar datang lewat ke masjid supaya mereka tidak perlu menunggu sehingga jemaah lain tiba.
Imam al-Ramli menyebutkan perkara ini dalam masalah imam solat jumaat:
“Imam tidak disunatkan untuk datang awal bahkan digalakkan untuk melewatkan sehingga waktu khutbah sebagai mencontohi perbuatan Nabi SAW dan Khalifah selepasnya, Imam mawardi juga berpendapat sedemikian serta diakui pendapat tersebut dalam kitab al-Majmu‘.
Dan mereka mengikuti hukum ini adalah mereka yang menghidapi kencing tidak lawas dan sebagainya, maka tidak disunatkan bagi mereka untuk datang awal ke masjid pada hari Jumaat.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/334)
Cara 6
Sekiranya solat dilewatkan tanpa adanya sebarang maslahah, maka wuduk itu terbatal.
Oleh itu, wajib untuk anda mengulangi semula wuduk tersebut untuk menunaikan solat.
Diriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا تُقْبَلُ صَلاةُ أحَدِكُمْ إذا أحْدَثَ حَتّى يَتَوَضَّ
“Tidak diterima solat seseorang kamu jika dia berhadas sehinggalah dia berwudhu’.” - (Hadis Riwayat Muslim, No.224)
Cara 7
Wajib menggantikan balutan atau yang seumpamanya dengan yang baru sekiranya dia memperbaharui wuduk.
Hal yang tersebut kerana balutan tersebut telah terkena najis, dan solat mereka yang membawa najis tidak sah berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا
“Apabila salah seorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah disapunya (dibersihkannya) dan dibolehkan untuk mendirikan solat dengan memakai kasut itu.” (Hadis Riwayat Abu Daud (650) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (3889). Al-Albani menghukumkan hadis ini sahih.
Hikmah rukhsah ibadah bagi salisi al-baul
Hikmah ruksah ibadah bagi golongan yang mengalami kencing tidak lawas atau sering buang air kecil tidak lawas adalah sebagai berikut:
1. Pemahaman terhadap keadaan individu
Setiap orang yang mempunyai keadaan kesihatan yang tersendiri.
Bagi masalah golongan yang mengalami kencing tidak lawas ini, hukum ruksah menunjukkan bahawa agama Islam memahami mereka memiliki keterbatasan dalam mengendalikan buang air kecil.
2. Pembebasan dari kewajiban yang tidak mampu dilakukan
Hukum ruksah membebaskan golongan yang mengalami kencing tidak lawas dari kewajiban menjalankan ibadah yang memerlukan kebersihan, seperti solat atau puasa.
Hal ini membantu mengurangi beban dan kesusahan yang mungkin dirasakan oleh mereka, serta memberikan keseimbangan antara kewajiban agama dan kesihatan diri.
3. Menghormati kemampuan individu
Hukum ruksah memandang individu dengan penuh pengertian dan menghormati kemampuan mereka.
Dengan memberikan keringanan dalam menjalankan ibadah, hukum ruksah menghargai upaya individu untuk beribadah semampu yang boleh dan sesuai mengikut keadaan yang mereka hadapi.
4. Memberi kasih sayang dan asuhan kepada yang memerlukan
Hukum ruksah dalam keadaan ini mendorong individu dan komuniti untuk memperhatikan dan merawat mereka yang mengalami kencing tidak lawas.
Dalam lingkungan yang dipenuhi dengan kasih sayang dan perhatian, golongan tersebut merasakan diterima dalam menjalankan ibadah sesuai dengan keadaan mereka.
Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai masalah kencing tidak lawas ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber:
- #1593: Solat Sunat Bagi Pesakit Kencing Tidak Lawas. Maktabah Al Bakri
- Irsyad Al-Fatwa Ke-148: Wudhu’ Bagi Mereka Yang Kencing Tidak Lawas (Salisi Al-Baul) dan Hukum Berimamkan Mereka. Mufti Wilayah Persekutuan