Hukum Korek Telinga Ketika Puasa (Batal Ke Tak?)

HUKUM KOREK TELINGA KETIKA PUASA

Adakah batal puasa seseorang yang korek teling ketika puasa pada siang hari di bulan Ramadhan?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai penjelasan lengkap hukum korek telinga ketika puasa.

Tahi telinga dan fungsinya

Penghasilan tahi telinga adalah perkara yang normal berlaku pada setiap orang. Tahi telinga ini sebenarnya terhasil dari minyak berlilin yang dikenali sebagai ceruman.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa tahi telinga juga mempunyai fungsi atau kebaikannya yang tersendiri.

Fungsi utamanya adalah melindungi telinga daripada sebarang bendasing seperti habuk, bahan asing dan juga mikroorganisma.

Dalam masa yang sama, ia juga bertindak melindungi kulit dalam lubang telinga daripada mengalami sebarang keradangan yang disebabkan oleh air.

Apabila tahi telinga sudah berkumpul dalam lubang telinga lama kelamaan ia akan menjadi keras dan menghalang laluan lubang telinga itu sendiri.

Justeru itulah kita selalu rasa tidak selesa di bahagian telinga dan seterusnya menggunakan putik kapas untuk membersihkan telinga.

Yang menjadi persoalannya di sini adalah adakah batal puasa seseorang apabila mereka korek telinga ketika puasa?

Lubang telinga adalah rongga terbuka

korek telinga ketika puasa

Sebelum kita memahami mengenai hukum korek telinga ketika puasa ini, adalah penting untuk kita fahami konsep puasa itu sendiri terlebih dahulu.

Puasa adalah menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa dari waktu terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari, dan antara perkara tersebut adalah memasukkan sesuatu secara sengaja ke dalam rongga melalui saluran terbuka seperti mulut, telinga, hidung dan saluran qubul dan dubur bagi lelaki dan perempuan.

Dari kenyataan di atas, maka jelaslah kita bahawa telinga juga merupakan salah satu dari saluran atau rongga yang terbuka.

Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia

Hukum korek telinga ketika puasa

Menurut pendapat Al-Imam al-Syirbini, menitiskan sesuatu ke bahagian dalam (lubang) telinga, sekalipun tidak sampai ke otak adalah membatalkan puasa menurut pandangan yang kuat.

Al-Imam al-Damiri turut menyatakan perkara yang sama bahawa perbuatan menitiskan sesuatu ke bahagian dalam telinga adalah membatalkan puasa sekalipun titisan itu tidak sampai ke otak, bahkan ia melebihi had tengkorak kepala

Bagi persoalan status hukum korek telinga ketika puasa ini. Dalam Fiqh Manhaji ada dijelaskan, tentang masuknya sesuatu itu ke dalam rongga, sampai ke bahagian dalam badan yang melepasi tekak atau sampai ke otak.

Contohnya seperti makan. Makanan berada di luar badan, masuk ke dalam rongga mulut, dan akhirnya sampai ke perut. Itulah yang dimaksudkan dengan memasukkan sesuatu ke dalam rongga sehingga melepasi tekak.

Namun begitu, sekiranya ia hanya berlegar di bahagian lubang telinga sahaja, maka tida terbatal puasanya.

Jari atau putik kapas itu hanya berada di ruangan telinga, bukannya melepasi tekak atau otak. Dalam kata lain, perbuatan mengorek teling itu tidak sampai masuk ke dalaman badan.

“Kesimpulannya, hukum korek telinga ketika puasa adalah tidak membatalkan puasa jika ia tidak melebihi kawasan tengkorak kepala.”

Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai hukum korek telinga ketika puasa ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan.

Sumber:

  1. Irsyad Fatwa Edisi Khas Ramadhan Siri Ke-215: Hukum Mengorek Telinga Ketika Puasa. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Hukum Mengorek Telinga Ketika Puasa. Jabatan Penerangan Malaysia
  3. Ibnu Qasim Al-Ghazi. (2015). Fathul Qarib Al-Mujib Fi Syarhi Alfaz Al-Taqrib. Batu Caves: Al-Hidayah.
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.