Hukum Imam Solat Duduk Makmum Solat Berdiri, Sah Ke?

Apakah hukum imam solat duduk ketika solat berjemaah? Bagaimana pula status solat tersebut kepada makmum, adakah sah solat atau tidak?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan hukum imam solat duduk sedangkan makmum solat berdiri.

Baca juga:

Solat duduk satu rukhsah beribadah

hukum imam solat duduk

Solat duduk adalah tindakan seseorang yang melaksanakan solat sambil duduk.

Cara solat seperti ini biasa dilakukan oleh orang-orang yang berada dalam keadaan sakit atau tidak mampu berdiri atau rukuk atau sujud atas alasan tertentu.

Kaedah solat seperti ini masih sah dan diterima dalam syariat Islam asalkan ia dilakukan dengan betul dan sebaik mungkin berdasarkan kemampuan individu tersebut.

Hal ini seperti mana yang dinyatakan oleh ‘Imran bin Husain RA beliau berkata:

Aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

“Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari, No. 1066)

Dari segi cara melaksanakan solat dengan duduk ini pula, ia juga bervariasi berdasarkan kemampuan individu.

Sebagai contoh, jika individu itu mampu rukuk tetapi tidak mampu sujud, mereka boleh berdiri dan rukuk seperti biasa, tetapi duduk ketika sujud.

Jika mereka tidak mampu berdiri sama sekali, mereka boleh melaksanakan solat semuanya sambil duduk.

Yang membezakan gerakan rukuk dan sujud seseorang pula adalah dari segi pembengkokkan badannya.

Untuk sujud, anda harus membengkokkan badan lebih ke hadapan berbanding rukuk.

Hukum imam solat duduk, boleh ke?

hukum imam solat duduk

Hukum imam solat duduk adalah sah dan dibolehkan.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Al-Mu’minin ‘A’isyah R.Anha beliau berkata:

اشْتَكَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَدَخَلَ عَلَيْهِ نَاسٌ مِنْ أَصْحَابِهِ يَعُودُونَهُ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم جَالِسًا فَصَلَّوْا بِصَلاَتِهِ قِيَامًا فَأَشَارَ إِلَيْهِمْ أَنِ اجْلِسُوا فَجَلَسُوا فَلَمَّا انْصَرَفَ قَالَ‏ إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا وَإِذَا رَفَعَ فَارْفَعُوا وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW jatuh sakit pada suatu hari maka datanglah ramai dari kalangan sahabat untuk menziarahi baginda.

Kemudian Rasulullah SAW mendirikan solat dalam keadaan duduk, dan para sahabat mengikut baginda solat dalam keadaan mereka berdiri.

Rasulullah SAW kemudiaannya memberi isyarat kepada mereka supaya solat secara duduk dan sebaik sahaja baginda selesai solat, baginda berkata: 

‘’Sesungguhnya dijadikan imam untuk diikuti, apabila imam rukuk, hendaklah kamu rukuk, dan apabila imam bangun, hendaklah kamu bangun, dan apabila imam solat secara duduk, hendaklah kamu solat secara duduk.” – (Hadis Riwayat Muslim, No. 412)

Namun begitu, lebih digalakkan sekiranya solat berjemaah itu berlaku di dalam rumah dan anda masih mempunyai anak lelaki, maka lebih utama bagi anak lelakinya menjadi imam kerana dia mampu untuk solat dalam keadaan berdiri.

Jika tiada anak lelaki dan hanya terdapat orang perempuan iaitu isteri dan anak perempuan ketika itu, maka boleh untuk si ayah memimpin solat sebagai imam dalam keadaan duduk.

Ini kerana dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/264, Imam Al-Nawawi mengatakan disunatkan bagi seorang imam apabila dia tidak mampu untuk solat secara berdiri untuk menggantikannya dengan seseorang yang boleh solat secara berdiri dari kalangan jemaah. 

Rasulullah SAW juga pernah menggantikan orang lain untuk memimpin solat atas sebab tertentu.

Penjelasan ini dikukuhkan lagi dengan hakikat bahawa, “orang yang berdiri itu lebih sempurna dan lebih dekat ke arah menyempurnakan pergerakan-pergerakan solat.”

Pandangan para ulama 4 mazhab

  • Mazhab Syafie, Mazhab Hanafi & Sebahagian Mazhab Maliki: Sekiranya imam yang mengalami kesukaran fizikal solat sambil duduk, maka makmum yang sihat wajib solat dalam keadaan berdiri.

  • Mazhab Maliki: Ada pendapat yang menyatakan solat makmum masih sah walaupun mereka duduk mengikut imam yang solat duduk.

  • Mazhab Hanbali: Jika imam solat dalam posisi duduk, maka makmum yang mengikutinya juga harus duduk.

Penjelasan Ustaz Azhar Idrus

“Boleh dan sah!” Atas alasan kerana imam tidak mampu untuk solat berdiri.”

Ustaz Azhar Idrus

Kesimpulannya, di sini maka jelaslah bahawa Islam memberi keringanan dan Allah SWT juga meraikan keadaah darurah yang berlaku pada seseorang.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 286 yang bermaksud:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

“Tidaklah Allah memberatkan akan seseorang melainkan sekadar kemampuannya.”

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan hukum imam solat duduk ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Dapatkan sejadah travel by Iktikaf Alif x Jovian untuk kemudahan anda walau berada di mana juga di sini.

Sumber:

  1. Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-503: Hukum Mengimamkan Solat Dalam Keadaan Duduk dan Makmum Mengikut Imam Dalam Keadaan Berdiri. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. #2120: Imam Solat di Atas Kerusi. Maktabah Al Bakri
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.