Niat & Hukum Mufaraqah Ketika Solat Berjemaah

Mufaraqah adalah memisahkan diri dari imam. Justeru apakah hukum, kaedah dan lafaz niat yang boleh dibaca?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan maksud mufaraqah, hukum dan keadaan yang membolehkannya dilakukan.

Baca juga:

Apa itu mufaraqah?

mufaraqah adalah

Dari segi bahasa, mufaraqah adalah mengasingkan diri.

Manakala dari istilah syarak adalah perbuatan makmun mengasingkan diri daripada imam atau membatalkan niat untuk menjadi makmum dan meneruskan solat secara bersendirian.

Menurut Datuk Hassan Din Al-Hafiz, mufaraqah adalah perbuatan makmum keluar daripada solat berjemaah dan makmum tidak lagi mengikut imam.

Hukum mufaraqah dalam Islam

Hukum mufaraqah boleh menjadi wajib, sunat, harus, makruh dan haram mengikut keadaan yang berlaku ke atas imam dan makmum.

Berikut adalah penjelasan lengkapnya:

* Harus

Mufaraqah kerana ada keuzuran. Antara keuzuran yang dimaksudkan itu adalah seperti:

  • Imam terlampau memanjangkan bacaannya.
  • Imam sengaja meninggalkan sunat ab’adh seperti tasyahhud awal dan qunut, maka harus makmum mufaraqah dengan tujuan untuk melakukan sunat itu.
  • Makmum mufaraqah kerana sakit yang dialaminya.
  • Bimbang mengantuk menguasainya atau sesuatu yang merosakkan solatnya.
  • Bimbang hilang atau binasa hartanya atau ketinggalan rombongannya.

* Makhruh

Mufaraqah tanpa sebarang keuzuran.

Keadaan yang dibolehkan mufaraqah

1. Imam terlupa atau tersilap melakukan rukun sembahyang

Apabila imam tersilap atau terlupa melaksanakan rukun sembahyang, maka makmum sunat mengingati imam.

Caranya, bagi makmum lelaki adalah dengan ucapan tasbih (Subhanallah) manakala bagi makmum khuntsa dan perempuan adalah tashfiq.

Sekiranya imam menyedari akan kesilapan tersebut dan lalu mengerjakan rukun yang tertinggalkan itu, maka wajiblah bagi makmum turut mengikut imam.

Namun jika imam tidak melakukan rukun yang tertinggal, maka haram hukumnya makmum mengikut sembahyang imam tersebut.

Oleh yang demikian, makmum wajib berniat mufaraqah dan menyelesaikan sembahyangnya secara bersendirian.

2. Imam terlupa atau tidak melakukan perkara sunat dalam sembahyang

Apabila imam meninggalkan sunat dalam solat sama ada secara terlupa ataupun sengaja seperti tasyahhud awal atau qunut, maka makmum boleh sahaja terus mengikuti imam.

Namun hukumnya sunat bagi makmum untuk berniat mufaraqah pada situasi tersebut.

Bahkan menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, dalam perkara seumpama ini iaitu imam terlupa atau sengaja meninggalkan tasyahhud awal), mufaraqah daripada imam itu adalah lebih utama.

Bacaan niat mufaraqah

Dari segi lafaz niat, sebenarnya tiada lafaz niat yang khusus untuk berpisah daripada imam.

Makmum boleh sahaja berniat dalam hati apabila ingin berpisah daripada imam.

Namun berikut adalah antara lafaz niat yang boleh diniatkan:

  • “aku berniat mufaraqah”
  • “aku solat seorang diri..”
  • “aku sudah tidak mengikut imam..”
  • “aku tidak makmum lagi..”

Kewajipan makmum dalam solat

mufaraqah adalah

1. Mengikut imam dari segala gerak geri dalam solat tanpa mendahuluinya dan tanpa melakukan gerak solat serentak bersamaan dengan gerak solat imam.

2. Jangan mendahului imam dengan dua rukun fi’li dan jangan ketinggalan daripada imam dengan dua rukun fi’li tanpa sebarang keuzuran.

3. Jangan menyalahi imam dalam perkara sunat yang dikira mencacatkan solat apabila menyalahinya.

Antara perkara sunat dalam solat yang dimaksudkan ini adalah:

* Sujud Tilawah

Makmum wajib mengikuti imam melakukan sujud tilawah atau meninggalkannya.

* Sujud Sahwi

Makmum wajib mengikuti imam melakukan sujud sahwi jika imam mengerjakannya.

Jika imam tidak melakukanya, makmum boleh melakukannya setelah pasti imam bukan memberi salam kerana lupa meninggalkan sujud sahwi.

* Tasyahhud Awal

Makmum wajib meninggalkan tasyahhud awal jika imam meninggalkannya.

Jika dia melakukannya juga (pada ketika imam tidak melakukan itu) dianggap melakukan perbuatan tambahan yang tidak dilakukan oleh imam.

Namun begitu, jika imam melakukan tasyahhud awal, boleh makmum meninggalkan tasyahhud awal tersebut dan solatnya sah kerana dia hanya mendahului imamnya dengan satu rukun sahaja.

* Doa Qunut

Makmum tidak wajib mengikuti imam untuk membaca doa qunut.

Bahkan sah solat makmum tersebut sekiranya dia tidak membaca qunut walaupun dia mengikut imam yang membaca qunut, dan begitulah juga sebaliknya.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan mufaraqah adalah tindakan makmum yang keluar dari berjemaah dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat.

Sumber:

  1. Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-655: Hukum Makmum Terputus Daripada Mendengar Suara Imam Ketika Sedang Solat. Pusat Islam UPM
  2. Mufaraqah Dalam Sembahyang Berjemaah. Pelita Brunei
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.