Hukum Kutip Duit Atas Jalan, Boleh Ambil Sesuka Hati?
Apakah hukum kutip duit yang bukan hak milik kita di atas jalan raya?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan hukum apabila kita mengutip duit yang bertaburan atas jalan tanpa pemilik.
Baca juga:
Jumpa duit, tanda rezeki terpijak?
Pernah atau tidak anda terjumpa duit di atas jalan yang bukan milik anda? Biasanya apa yang anda buat dengan duit tersebut?
Biarkan atau ambil lalu guna untuk keperluan diri? Tidak dinafikan bagi yang benar-benar memerlukan, terjumpa duit hatta RM1 sekalipun ianya sangat bermakna.
Namun begitu, kita tidak boleh menghalalkan sesuatu yang bukan hak milik kita untuk dimiliki tanpa kebenaran si pemilik.
Dalam bahasa Arab, harta yang tercicir bermaksud Al-Luqatah.
Al-Luqatah ini adalah harta yang hilang dari tuannya dan dijumpai oleh orang lain.
Menurut Syeikh Mustafa Bugha pula Al-Luqatah mengikut syarak adalah sesuatu barang atau harta yang bernilai (di sisi syarak), dijumpai di tempat yang tidak mempunyai pemilik, dan tidak mengetahui hak miliknya.
Jenis-jenis Al-Luqatah
Menurut Syeikh Mustafa Bugh lagi, Al-Luqatah terbahagi kepada dua bahagian.
1. Harta Al-luqatah (haiwan)
Menjumpai haiwan peliharaan yang bernilai di sisi syarak.
Para ulama membahagikannya kepada beberapa bahagian iaitu haiwan yang boleh menguruskan dirinya sendiri seperti unta dan haiwan yang tidak dapat menguruskan dirinya seperti anak lembu.
2. Harta Al-luqatah (selain daripada haiwan)
Berkenaan dengan harta Al-Luqatah selain haiwan, Nabi SAW pernah ditanya berkenaan dengannya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid:
عن زَيْدَ بْنَ خَالِدٍ الْجُهَنِيَّ،صَاحِبَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ اللُّقَطَةِ الذَّهَبِ أَوِ الْوَرِقِ فَقَالَ ” اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فَأَدِّهَا إِلَيْهِ ”
Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhani, merupakan sahabat Rasullullah SAW telah berkata, Nabi SAW ditanya oleh seseorang yang tidak dikenali berkenaan harta Al-Luqatah (harta yang dijumpai) daripada emas atau perak.
Sabda Nabi SAW:
“Kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya).
Maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya.” – (Hadis Riwayat Muslim, No. 1722)
Hukum kutip duit yang bukan milik
Hukum kutip duit di atas jalan yang bukan milik kita mempunyai pendapat yang berbeza-beza.
Mazhab Syafie dan Mazhab Hanafi membolehkan kita mengambilnya ini kerana seseorang itu wajib menjaga harta saudaranya.
Sedangkan bagi Mazhab Maliki dan Mazhab Hanbali ia dilarang sama sekali.
Berkenaan dengan hal ini Syeikh Mustafa Bugha menggariskan beberapa pembahagian:
- Sunat mengambilnya bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya sekiranya merasakan kemungkinan barang yang dijumpai akan hilang.
- Harus mengambilnya bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya sekiranya merasakan barang itu tidak hilang.
- Wajib mengambilnya bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya sekiranya meyakini barang itu akan hilang apabila tidak mengambilnya ini kerana menjaga harta orang islam itu adalah wajib.
- Makruh mengambilnya sekira ia merasakan tidak dapat menjaga amanah pada masa akan datang.
- Haram mengambilnya kepada orang yang tidak beramanah dan tidak dapat menjaganya.
Cara untuk menghebahkan barang yang dijumpai (bernilai)
Islam mengajar kita cara yang betul untuk membuat hebahan berkenaan dengan barang bernilai yang kita jumpai dan bukan milik kita.
Berdasarkan hadis Nabi SAW daripada Zaid bin Khalid yang bermaksud “hebahkan ia selama setahun”.
Syeikh Wahbah Zuhaili menulis di dalam kitab beliau berkenaan cara menghebahnya:
المناداة عليها، أو الإعلان عنها حيث وجدها، وفي المجتمعات العامة كالأسواق وأبواب المساجد، والمقاهي
Mengumumkan ke atasnya (harta Al-Luqatah) atau mengiklankannya di tempat yang dijumpai, dan di tempat pengumpulan masyarakat seperti pasar, pintu masjid dan kedai-kedai makan.
Sekiranya harta tersebut tidak dituntut, adalah lebih baik ia diserah kepada pihak berautoriti bagi menjamin keselamatannya.
Lalu hal ini akan diputuskan oleh qodi atau hakim untuk proses kegunaan bertujuan kemaslahatan umum atau diserahkan kepada baitumal.
Cara untuk menghebahkan barang yang dijumpai (tidak bernilai)
Berkenaan dengan barang yang tidak menjadi tumpuan orang ramai dan mudah rosak seperti tali, kayu atau makanan.
Ia tidak harus diumumkan seperti sabda Nabi SAW daripada Jabir bin Abdullah:
قَالَ رَخَّصَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْعَصَا وَالسَّوْطِ وَالْحَبْلِ وَأَشْبَاهِهِ يَلْتَقِطُهُ الرَّجُلُ يَنْتَفِعُ بِهِ
Maksudnya: “Rasullullah SAW memberikan kami rukhsah (kelonggaran) mengambil tongkat, cemeti, tali dan sejenis dengannya yang diambil oleh seseorang bertujuan untuk mengambil manfaat dengannya.” – (Sunan Abi Daud, No. 1212)
Begitu juga dengan harta yang dijumpai kurang nilainya tetapi menjadi tumpuan orang ramai seperti wang yang kecil nilainya.
Maka seharusnya dia mengumumkan selama mana ia merasakan pemiliknya tidak mahu lagi mencarinya
Hal ini seperti mana yang dinyatakan oleh Saidina Ali RA berjumpa dengan Rasullullah SAW bertanyakan tentang satu dinar yang dijumpainya.
Lalu Baginda menyuruhnya untuk mengumumkan sebanyak 3 kali. Sekiranya tidak ada yang menuntutnya maka manfaatlah ke semuanya.
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan hukum kutip duit dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber:
- Al-Kafi #967: Hukum Mengambil Wang Yang Dijumpai Di Tepi Jalan. Mufti Wilayah Persekutuan
- Jumpa Duit Bukan Rezeki Terpijak. Sinar Harian