Hukum Pakai Gelang Kaki Bagi Wanita Dalam Islam

Hukum pakai gelang kaki adalah dibolehkan bagi wanita tetapi mempunyai larangan dan panduan yang tersendiri untuk memastikan pemakaian tersebut tidak jatuh kepada hukum haram.

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan hukum pakai gelang kaki dengan lebih terperinci berpandukan dalil yang kuat.

Baca juga:

Islam “meraikan” fitrah wanita

Sebut pasal barang kemas atau perhiasan diri pastinya sangat sinonim dengan kaum wanita baik di zaman dulu mahupun kini.

Bahkan kalau kita lihat dalam buku sejarah lama, pasti akan ada sahaja gambar wanita-wanita zaman dahulu yang memakai gelang dan rantai emas atau permata.

Hal ini jelas kerana fitrah wanita itu sendiri yang sukakan kecantikan, suka berhias dan suka dilihat cantik.

Dalam hal ini Islam sangat memahami fitrah tersebut. Namun setiap tindakan kita itu pasti mempunyai panduan, syarat dan batasan yang tertentu untuk memastikan ia tidak melanggar syariat Islam.

Dalil tentang perhiasan wanita

Perhiasan adalah sebuah benda yang digunakan untuk merias atau mempercantikkan diri. Ia biasanya terbuat dari emas ataupun perak dan terdiri dari berbagai bentuk dan design.

Contohnya seperti cincin, kalung, gelang tangan, gelang kaki, liontin dan sebagainya.

Syeikh Sadiq Hassan al-Qinnauji menakalkan daripada Abu Sa’ud, menyebut:

“Sesungguhnya setiap perhiasan itu diharuskan melainkan apabila didatangkan dengan dalil (melarangnya)” – (Lihat fathul al-Bayan fi Maqasid al-Quran 4/335)

Allah SWT juga berfirman dalam surah al-A’raf, ayat 31 yang bermaksud:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

Menurut tafsir ini, Syeikh al-Sa’di berkata apa yang dimaksudkan adalah mengenai perintah menutup aurat ketika solat.

Apa yang terkandung dalam ayat ini termasuklah dari segi memakai pakaian yang baik dan bersih, arahan menutup aurat dan penggunaan perhiasan untuk kecantikan.

Hukum pakai gelang kaki dalam Islam

Hukum pakai gelang kaki dalam Islam adalah dibolehkan. Namun kaum perempuan dilarang untuk menghentakkan kaki supaya gelang kaki itu berbunyi dan bertujuan menarik perhatian lelaki.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Nur, ayat 31 yang bermaksud:

وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Wanita pada zaman jahiliah dulu gemar memakai gelang kaki yang berloceng, lalu dihentakkan kaki agar di dengari dan di perlihat oleh para lelaki.

Justeru itu, Allah SWT sangat melarang perempuan muslimah melakukan perkara tersebut kerana jelas perbuatan itu bertentangan dengan syariat Islam.

Namun sekiranya tujuannya untuk menarik perhatian suaminya, maka perbuatan tersebut diharuskan.

Kanak-kanak perempuan yang dipakaikan gelang berlonceng atas tujuan untuk pengawasan juga diharuskan.

Justeru, pemakaian gelang kaki kepada perempuan itu harus tetapi ianya haram bagi lelaki kerana perhiasan hanya dibenarkan dipakai oleh para wanita.

Apakah hukum pakai gelang emas?

Diharuskan bagi kaum wanita memakai perhiasan emas, perak dan segala permata yang biasa kaum wanita memakainya seperti gelang tangan, gelang kaki, subang, cincin, perhiasan yang dipakai pada wajahnya, lehernya, tangannya, kakinya, telinganya, dan lainnya.

Hukum Wanita Pakai Gelang Kaki | Ustaz Azhar Idrus

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan hukum pakai gelang kaki dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat.

Dapatkan Ensiklopedia Fiqh Sunnah Wanita: Hukum Utama Bagi Wanita untuk memudahkan anda membuat carian tentang soal jawab yang berkaitan dengan hal ehwal kewanitaan di sini.

Sumber:

  1. Al-Kafi #1505: Hukum Memakai Gelang Kaki Bagi Wanita. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.